MPN Sarawak berkata sebarang dasar atau arahan mesti berdasarkan keputusan rasmi, bukannya kenyataan dikeluarkan anggota tiada mandat.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, berkata sebarang dasar atau arahan parti mesti berdasarkan keputusan rasmi pemimpinnya, bukannya kenyataan atau arahan secara individu tanpa mandat.
“Adalah tidak wajar untuk mana-mana individu membuat seruan yang seoalah-olah mewakili keseluruhan pendirian PKR dan Amanah Sarawak, apatah lagi mengarahkan ahli serta penyokong parti memberikan sokongan kepada parti lain tanpa melalui proses perbincangan dan persetujuan rasmi,” katanya dalam kenyataan.
“MPN Sarawak menolak sebarang cubaan mengaitkan nama, keahlian, dan sokongan PKR Sarawak dengan arahan politik yang tidak mendapat pengesahan rasmi daripada kepimpinan parti.”
Menurut kenyataan itu, kerjasama politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak menentukan pendirian parti lain secara unilateral. MPN menyeru ahli dan penyokong kekal tenang serta tidak terpengaruh dengan kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan parti komponen PH.
PKR dan Amanah antara komponen PH tidak menyertai PRN Sarawak. Namun, DAP telah meletakkan 14 calon bertanding daripada keseluruhan 82 DUN. Parti itu menang dua kerusi pada PRN 2021.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah yang sebelum ini menguasai 79 kerusi, bertanding di semua 82 kerusi dengan 29 kerusi sudah menang tanpa bertanding apabila penamaan calon ditutup pada 28 Nov, iaitu kurang 13 kerusi untuk membentuk majoriti mudah.
Awal hari ini, Ketua Penerangan PH Sarawak Tay Wei Wei membuat rayuan tersebut sambil memetik keputusan PKR dan Amanah untuk tidak menyertai pilihan raya itu.
Sebelum ini, Tay yang juga bekas ketua penerangan PKR Sarawak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan partinya tidak bertanding. Beliau memohon ahli dan penyokong PKR serta Amanah mengundi 14 calon DAP. Mereka juga harus menyokong PBDS di 28 kerusi lain. - FMT



No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.