bhnews@bh.com.my
YAN: "Bebaskan saya, anak saya lapar...saya nak pergi beli susu tin untuk dia," demikian alasan seorang wanita sejurus ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di 'port' dadah di Kampung Seberang Jaya di Kuala Sala, di sini pagi tadi.
Wanita berusia 37 tahun itu turut meminta dibebaskan dengan alasan bimbang tiada orang menjaga anak dan bayinya jika ditahan, berikutan suaminya kini berada di penjara atas kesalahan mengedar dadah.
Helah itu bagaimanapun terbongkar apabila anak perempuan sulungnya tiba-tiba muncul di lokasi terbabit yang didakwa sering dikunjungi wanita itu, selepas serbuan dilakukan kira-kira jam 10 pagi.
"Saya ke sini untuk ambil motosikal saya yang dia guna tanpa kebenaran...saya tidak tahu pihak berkuasa buat serbuan di sini, tetapi saya tahu mak saya pasti akan datang ke sini setiap hari untuk lepaskan gian," katanya.
Anak wanita itu mendakwa ia bukan kali pertama ibunya ditangkap pihak berkuasa, namun masih tidak serik dan tiada usaha untuk berubah.
"Adik-adik saya ada yang masih bersekolah dan yang masih bayi, mereka dijaga oleh tok dan kami sekeluarga.
"Kami memang tak harap apa-apa dari emak, jika boleh biar dia ditahan lama, memandangkan sikapnya kini kian menjadi-jadi dan setiap malam mengamuk dengan parang...mungkin disebabkan pengaruh dadah yang diambilnya.
"Sikapnya itu membuatkan kami sekeluarga berasa terancam kerana bimbang dia akan mencederakan sesiapa," katanya.
Difahamkan wanita itu mempunyai lapan anak berusia empat bulan hingga 21 tahun, selain turut mempunyai tiga cucu berusia setahun hingga lima tahun hasil perkahwinan anak perempuan sulungnya.
Ketua Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK negeri, Nasru'd-din Abdul Rahman berkata wanita berkenaan adalah antara 33 penagih berusia antara 25 hingga 65 tahun yang ditahan dalam serbuan di 'port' berkenaan yang menjadi tumpuan penagih tempatan serta dari Langkawi, Alor Setar dan Sungai Petani.
"Semua yang ditahan bekerja sebagai nelayan, bekerja sendiri serta penganggur dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Opiat dan methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.