`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, January 30, 2018

MUSTAPA MOHAMED KHIANATI KELANTAN?

“SAYA nak mengaku hari ini, bahawa satu masa dulu, satu masa pok-pok (puak-puak) kita ini ada lah sedikit sebanyak, dok sekat sana sekat sini. Itu hakikatnya maka salah kita royak salah, ada sikit sebanyak…. (tenggelam oleh kegamatan dewan).
“Saya mengaku ni, saya mengaku. Saya juga anggota kerajaan (persekutuan), saya tahu benda-benda berlaku”.
Begitulah antara ucapan Mustapa Mohamed selaku Adun Air Lanas pada 21 November, 2007.
Mustapa yang ketika itu juga ahli Parlimen Jeli dan menteri pengajian tinggi melafazkan kata-kata tersebut ketika perbahasan belanjawan Kelantan 2008 di dalam Dewan Undangan Negeri.
Keratan video ucapan Mustapa tersebar meluas. Mustapa digelar pengkhianat kerana bersubahat menyekat peruntukan ke Kelantan. Gelaran yang masih mengekorinya setiap kali menjelang pilihan raya.
Saya berada di dalam Dewan pada hari tersebut dan mengikuti perjalanan Dewan sepenuhnya sebagai pembantu kepada exco kanan kerajaan negeri dan saya menulis hari ini selaku pembantu kepada YB Mustapa selama lebih tujuh tahun.
Mari kita melihat kembali konteks perbahasan hari itu. Ia bermula dengan Adun Kok Lanas (ketika itu) Annuar Musa menegur ucapan penuh sindiran bekas menteri besar allahyarham Nik Abdul Aziz ketika pelancaran Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktoberm 2007 di hadapan perdana menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi.
Pada hari itu Nik Aziz membaca teks ucapan yang disediakan oleh setiausaha politiknya. Antara lain ucapan itu menimbulkan keraguan terhadap keupayaan pentadbiran Abdullah melaksanakan pembangunan yang dijanjikan serta sikap perdana menteri yang mengabaikan menteri besar Kelantan. Antara lain, ucapan itu berbunyi:
“Beradablah ketika melangkah. Bukankah ini wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang ya terasa juga. Makan sirih berpinang tidak; Buah keranji atas perahu, singgah tidak kenang pun tidak; sampai hati buat tak tahu.”
Jadi isu ini ditimbulkan di dalam Dewan oleh Annuar yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ketika itu. Annuar menjelaskan betapa beliau berusaha memastikan menteri besar diberi penghormatan untuk berucap ketika perasmian ECER itu. Lantaran Annuar kecewa apabila platform itu digunakan untuk mengungkit kisah-kisah lama, apa lagi memalukan perdana menteri di hadapan ribuan hadirin.
Apabila giliran Mustapa bangun untuk berbahas, beliau memanjangkan rasa kecewa Annuar. Sebagai anggota kabinet kerajaan persekutuan, Mustapa mengambil peluang menjelaskan perbezaan pentadbiran perdana menteri sebelumnya dan Abdullah ketika itu.
Mustapa memberi jaminan oentadbiran Abdullah tidak sama dengan pentadbiran sebelumnya. Kerajaan persekutuan di bawah Abdullah mengambil pendekatan berbeza dan mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan penduduk Kelantan.
Maka dalam konteks itu, keluarlah kata-kata pengakuan itu dari bibir Mustapa. Tetapi adakah Mustapa sebenarnya mengaku beliau yang menyekat pembangunan di Kelantan sehingga digelar pengkhianat?
Ada yang benar-benar tidak tahu dan tidak ramai juga yang sengaja buat-buat lupa. Selepas Barisan Nasional kalah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990, Dr Mahathir Mohamad mengambil alih teraju Umno Kelantan dan menjadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sehinggalah terbubar Semangat 46 dan kembalinya Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam Umno.
Siapa Mustapa ketika itu? Beliau pemimpin pelapis yang diketengahkan oleh Dr Mahathir di peringkat persekutuan dalam tempoh transisi “pembinaan semula” Umno Kelantan.
Bagaimanapun Umno Kelantan ketika itu masih dikuasai oleh tokoh-tokoh lama. Mustahil untuk memikirkan bahawa Mustapa ketika itu mempunyai begitu besar pengaruh sehingga boleh meyakinkan pengerusi Perhubungan Umno negeri yang juga presiden Parti untuk menyekat peruntukan pembangunan di Kelantan.
Pada 30 Januari, 2008 dua bulan selepas “pengakuan Mustapa” di dalam DUN itu, saya menghadiri sidang media Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana. Pada sidang media itu, saya sempat mengemukakan soalan kepada Tun. Saya bertanya mengenai pengakuan Mustapa. Ini jawab Tun dan video jawapan itu masih terdapat di Youtube:
“Bukan Mustapa, tapi kesemua ahli Umno merasakan tidak perlu memajukan Kelantan.
“Kerana jika Kelantan dimajukan, mereka (PAS) akan beritahu kepada orang ramai, walau kita tidak undi Barisan Nasional, kita tetap akan dapat pembangunan. Jadi kenapa perlu undi Barisan? Oleh sebab itu pembangunan terpaksa dibekukan.”
Maka, keputusan membekukan pembangunan di Kelantan adalah keputusan perdana menteri yang juga presiden Umno dan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ketika itu.
Jadi jelaslah konteks yang cuba disampaikan oleh Mustapa, 10 tahun dahulu. Pendirian kerajaan persekutuan di bawah pemerintahan Abdullah adalah berbeza dengan zaman Dr Mahathir. Pentadbirannya lebih terbuka. Pentadbiran Najib Razak lebih-lebih lagi terbuka.
Apa yang perlu ialah kita belajar dari masa lampau dalam membentuk hari ini dan hari depan yang lebih bermanfaat serta lebih baik untuk kita. Itulah inti pati lafaz Mustapa hari itu jika kita memilih untuk melihat dari konteks keseluruhannya.
PAS hari ini juga sudah berbeza dengan PAS ketika Nik Aziz masih ada. Dr Mahathir hari ini juga berbeza dengan Dr Mahathir ketika itu.
Mustapa juga berbeza. Pengaruh dan kekuatannya dalam politik sudah di puncak berbanding pada zaman Dr Mahathir membekukan pembangunan di Kelantan. Sudah tentu jika hari ini ada usaha untuk membekukan pembangunan di Kelantan oleh “pok-pok kita”, Mustapa akan memberi pandangannya demi kebaikan semua pihak.
– https://www.themalaysianinsight.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.