`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Wednesday, January 31, 2018

Benarkan bukan Islam jadi peguam syarie, kata mufti Pulau Pinang

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata walaupun menghormati keputusan kes Indira Gandhi, kedudukan mahkamah syariah juga perlu dipertahankan.
mufti-wan-salimPETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan tindakan seorang ayah mengislamkan 3 anaknya tanpa persetujuan ibu mereka menunjukkan sudah tiba masa peguam bukan Islam dibenarkan berkhidmat di mahkamah syariah, kata mufti Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang membataskan mahkamah syariah terhadap orang Islam sahaja.
“Kita perlu sedar dan pentingnya untuk dikaji semula berhubung undang-undang yang tidak membenarkan orang bukan Islam itu berperanan di mahkamah syariah. Lebih baik daripada tidak dibenarkan,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, mahkamah syariah boleh mendengar hujah kedua-dua pihak.
Salim berkata ia kerana mahkamah syariah lebih wajar membuat keputusan dalam kes penukaran agama berbanding mahkamah sivil kerana hakim sivil “tidak terdedah kepada latar belakang pengajian Islam”.
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak ke atas 3 anak Indira, dan memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam perlu mendapat persetujuan kedua ibu bapa, bukan hanya salah seorang daripadanya.
Mahkamah turut berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes penukaran agama sebelah pihak.
Keputusan itu mengakhiri pertarungan 9 tahun hak penjagaan anak antara agama, susulan tindakan bekas suami Indira yang memeluk Islam, Muhammad Riduan Abdullah menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan bekas isterinya yang beragama Hindu, pada 2009.
Wan Salim berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, tetapi menambah kedudukan mahkamah syariah juga perlu dipertahankan.
Menurutnya, keputusan mahkamah syariah seharusnya tidak boleh dibatalkan atau dicabar oleh mahkamah sivil.
“Kita batalkan berdasarkan Islam dalam perlembagaan kita yang tercatit dalam Perlembagaan Malaysia sebagai agama Persekutuan. Jadi kita boleh tafsirkan ini sebagai bercanggah dengan perlembagaan dari segi itu,” katanya.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memutuskan peguam bukan Islam tidak boleh beramal sebagai peguam syarie di mahkamah syariah.
Ia susulan permohonan Victoria Jayaseele Martin, lulusan syariah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak membenarkan beliau menjadi peguam syarie.
Menurut Wan Salim, kerajaan perlu menekankan mengenai keadilan Islam itu bersifat sejagat.
Beliau berkata Islam itu adil untuk semua orang termasuk bukan Islam dan hak kebebasan untuk memilih agama juga perlu ditekankan.
“Tentang kebebasan memilih agama, adalah terjamin mengikut Islam untuk seseorang individu apabila sampai umur matang, akil baligh dengan syarat seorang itu diberi peluang untuk mendengar ajaran agama. Tidak kisah dengar agama lain pun tidak apa.
“Tetapi dia juga perlu diberi kebebasan untuk mendegar dan mengetahui ajaran Islam itu. Tidak boleh dihalang oleh sesiapa atau mana-mana pihak. Sebab kita sebagai orang Islam, kita yakin, kalau manusia diberi pilih antara agama dengan cara bebas, dia akan memilih Islam.”
Menurutnya, disebabkan Islam yang dianggap fitrah, tidak boleh ada paksaan dalam menerimanya. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.