`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 29, 2018

POLIS KENA BERLAKU ADIL DAN PROFESIONAL – KADIR JASIN

SYARIKAT usaha sama Cina (Malaysia) dengan orang Filipina keturunan Sepanyol yang diwakili oleh dua orang peguam tempatan mengupah 50 orang Melayu untuk “mengawal” kuil Hindu.
Tidak masuk akal tetapi benar. Orang Melayu itu dikatakan dari kumpulan yang menamakan diri mereka Kucing Merah. Mereka dilaporkan diupah RM150 hingga RM300 seorang.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberitahu sidang media di Putrajaya siang tadi berkata, siasatan polis mendapati peguam kepada One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki berkenaan untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 November.
Mahyuddin berkata dua peguam terbabit adalah antara 21 orang yang sudah ditahan bagi membantu siasatan polis.
“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kemarahan penganut (Hindu) sehingga timbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda. Kita kesal dengan tindakan cuai diambil pemaju, sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” katanya.
Dalam kejadian ganas tersebut, 23 kenderaan dibakar dan cermin sebuah pusat beli-belah dipecahkan.
Akibat rusuhan tersebut seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, diserang perusuh dan keadaan beliau dilaporkan kritikal.
One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan. 
Yang anehnya sehingga hari ini tidak seorang pun perusuh keturunan India ditahan dan penyerang Muhammad Adib dikenal pasti.
Minta maaf banyak-banyak kalau saya kata, susah sikitlah nak faham macam mana begitu ramai anggota polis dengan peralatan canggih dan diuar-uarkan sebagai terbaik di dunia tak nampak seorang pun daripada begitu ramai orang India yang berada di tempat kejadian melakukan apa-apa kesalahan.
Takkanlah bila begitu banyak kenderaan bermotor dibakar masih gelap lagi?
Guna Lampu Picit
Zaman saya kanak-kanak dan remaja pada tahun 1950-an dan 60-an polis bawa senjata api, cota dan lampu suluh (torchlight) enam bateri.
Masa itu belum ada elektrik dan kereta pun tak banyak untuk dibakar. Kalau ada yang dibakar, itu perbuatan pengganas komunis.
Jadi, kalau betullah polis abad ke-21 ini tak nampak perusuh kerana gelap, saya cadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri agar mohon peruntukan luar jangkaan daripada Kementerian Kewangan untuk beli lampu picit buat anggota PDRM.
Kalau tak silap saya, polis bawa kamera dan perakam video apabila membuat liputan perhimpunan umum dan tunjuk perasaan.
Jadi dengan segala kelengkapan canggih dan pengalaman yang luas mengawal tunjuk perasaan dan rusuhan maka saya hairan sangatlah apabila ada orang bagi tahu saya bahawa polis tak nampak penyerang Muhammad Adib.
Sementara itu, mengikut cerita Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, yang pergi ke Institut Jantung Negara petang tadi untuk melawat Muhammad Adib, keadaan beliau tenat.
Dr Mahathir yang pernah menjadi doktor kata, peralatan perubatan moden membantu menyelamatkan nyawa mangsa.
Tetapi kata beliau, jika dengan takdir mangsa meninggal dunia, ia adalah kes bunuh dan penjenayah yang melakukannya wajib dikenakan hukuman berat. Jadi polis tolonglah cari penjenayah itu.
Saya setujulah dengan pendapat banyak pihak, termasuk anggota kerajaan Pakatan Harapan sendiri, yang menggesa agar kita jangan tergesa-gesa sangat memansuhkan hukuman mati untuk jenayah berat.
Menteri Berhati-hati
Menteri tolonglah berhati-hati dan dengar nasihat Perdana Menteri
Mula-mula P. Waytha Moorthy, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas perpaduan negara dan integrasi nasional.
Tindak-tanduk beliau dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman rasanya tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.
Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar. Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau.
Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.
Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita. Kalau YB tak puas hati boleh komen dalam blog ini.
Kemudian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Beliau pun baru saja “dikuliahkan” oleh Perdana Menteri. Saya juga bercakap dengannya melalui telefon.
Saya setujulah dengan Perdana Menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan.
Kembalikanlah sekolah kebangsaan – rendah dan menengah – kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.
Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.
Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya.
Saya sebut dua nama saja. Ini tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya. Cuma kali ini bukan giliran anda.
Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka.
-https://kadirjasin.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.