yusmizal@hmetro.com.my
SEKURANG-KURANGNYA enam menteri disebut-sebut akan terbabit dalam rombakan Kabinet yang dikatakan akan dibuat dalam masa terdekat.
Mereka yang berada dalam senarai bayangan sesetengah pemerhati politik ialah Menteri Pendidikan Dr Mazslee Malik, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P Waytha Moorthy.
Nama mereka dikatakan tersenarai ekoran beberapa isu berkaitan kementerian masing-masing yang menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lalu.
Turut disebut-sebut untuk ‘naik pangkat’ sebagai menteri penuh ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Isu rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan sejak beberapa hari ini susulan pertemuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama ahli parlimen Barisan Nasional di kediamannya di Putrajaya.
Selain itu, isu membabitkan portfolio yang membangkitkan kemarahan rakyat seperti keputusan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, soal pengagihan zakat kepada golongan pondan, kereta terbang serta prestasi keseluruhan menteri Kabinet turut diambil kira.
Sementara itu, mengulas mengenainya, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, kemungkinan mana-mana menteri yang terbabit dalam rombakan hanya akan bertukar portfolio ke kementerian lain.
Katanya, isu besar yang ditunggu rakyat ketika ini bukan rombakan di peringkat Kabinet, tetapi apakah ada peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada penggantinya seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Secara keseluruhan, itu yang dinantikan kerana seperti tidak ada keperluan untuk merombak barisan Kabinet walaupun ada sebahagiannya prestasi di peringkat kementerian agak lemah.
“Apapun isunya, keresahan rakyat mengenai prestasi kerajaan lebih tertumpu kepada janji pilihan raya lalu. Memang beberapa menteri tidak mencapai prestasi yang memuaskan dan kemungkinan mereka akan ditukarkan untuk meredakan kemarahan rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.