`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 19, 2020

Pembeli kecewa rumah diurus kerajaan Selangor terbengkalai sejak 2018

Pembeli rumah projek Residensi Jaya di Seri Kembangan berhimpun hari ini bagi menuntut kerajaan negeri membantu mengatasi masalah projek tidak berjalan sejak 2018.
SERI KEMBANGAN: Lebih 50 pembeli sebuah projek perumahan terbengkalai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
Wakil pembeli projek perumahan Residensi Jaya di sini, Helmi Hamid, 38 berkata, beliau terkilan apabila harapan untuk memiliki rumah pertama musnah kerana projek yang diharapkan siap pada 2021 masih tidak berjalan.
“Kami minta kerajaan negeri membantu dan menyelesaikan masalah pembeli. Jika ada rumah lain yang sudah siap dibina atau hampir siap bolehlah berikan rumah itu kepada pembeli projek ini. Rumah ini dibeli pada 2018.
“Pemaju berjanji sekiranya sudah ada lebih 50% pembeli, projek akan mula dibina. Tetapi pada akhir 2018, projek masih tidak berjalan. Pembeli yang lalu di kawasan ini hanya nampak semak samun sahaja,” katanya sewaktu ditemui di tapak pembinaan berkenaan, hari ini.
Residensi Jaya mempunyai 2 blok, jenis C bernilai RM210,000 dan D (RM250,000). Setiap blok setinggi 11 tingkat dan mempunyai 394 unit apartment dan 9 unit kedai.
Pada 25 Okt tahun lalu, pemaju yang seharusnya bertanggungjawab menyiapkan rumah berkenaan diisytiharkan bankrap.
Wakil pembeli rumah Residensi Jaya Helmi Hamid.
Helmi berkata, lebih mendukacitakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), agensi bawah kerajaan Selangor bersikap lepas tangan, apabila memberitahu lembaga itu hanya mengurus surat kepada pembeli yang berjaya.
“Mereka (LPHS) kata, mereka hanya memilih pembeli dan mengeluarkan surat kepada yang berjaya. Mereka tidak boleh berikan apa-apa jaminan. Kami cuma mahu dapatkan keadilan kerana ini adalah projek Selangorku.
Semakan yang dibuat pembeli mendapati, LPHS masih menawarkan projek Residensi Jaya ini kepada pembeli pada Dis 2019, iaitu selepas pemaju projek diisytiharkan bankrap.
Katanya, 221 pembeli rumah projek berkenaan sudah membayar wang deposit sebanyak 10% daripada harga rumah, namun sehingga kini tidak mengetahui status wang deposit mereka.
“Rumah harga RM250 ribu, bayar deposit sebanyak 10%, sebanyak RM25 ribu. Jadi, mana pergi pergi duit itu, kami mahu tahu.
“Adakah pemaju sudah ambil atau pihak lain yang ambil. Kalau deposit itu masih ada, pulangkanlah kepada kami,” katanya.
Hasil pertemuan pembeli dengan LPHS pada 25 Okt tahun lalu dan 14 Jan ini, pembeli diberitahu bahawa LPHS merupakan pelaksana dasar dan segala penyelesaian ditentukan pihak pemaju.
Helmi berkata, walaupun pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha, dan beberapa arahan sudah dikeluarkan oleh exco berkenaan, namun pemaju masih tidak mengambil sebarang tindakan.
Siti Normadiana Ahmad
Seorang lagi pembeli, Siti Normadiana Ahmad, 38, berkata, berikutan semakan, beliau terkejut apabila mendapati pemaju yang sepatutnya menguruskan pembinaan projek ini sudah diisytihar bankrap oleh mahkamah.
“Kami yakin sebab projek ini disokong kerajaan, dan saya pula pembeli rumah pertama. Kami dapat tawaran perumahan projek ini juga daripada LPHS, bukannya daripada pemaju swasta. Kami menaruh kepercayaan pada kerajaan negeri.
“Saya tidak berani untuk beli rumah di luar sebab rakan saya sendiri sebelum ini ditipu pemaju swasta. Oleh sebab itu saya membeli Rumah Selangorku, ini pula balasan yang kami terima,” katanya.
Normadiana berkata, beliau berharap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan campur tangan dalam menyelesaikan masaah dihadapi pembeli.
Wong Siew Ki.
Turut hadir bersama pembeli adalah Adun Balakong, Wong Siew Ki.
Katanya, sangatlah memalukan apabila projek yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Haniza sudah memberi amaran dan arahan kepada syarikat pemaju, tetapi sehingga hari ini tiada perkembangan terkini berkaitan projek ini.
“Pemaju sepatutnya beri penjelasan, bukannya menangguhkan projek dan tidak mempedulikan gesaan pembeli.
“Saya sedih dan akan terus minta Exco memberi tekanan kepada pemaju. Hentikan kerugian yang lebih banyak,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.