PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa mana-mana perjanjian yang dilakukan khususnya melibatkan peralihan kuasa perlu mematuhi syarat dan rukun ditetapkan Islam.
Hadi berkata, perjanjian peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim boleh dipertikaikan kesahihannya kerana dilihat tidak memenuhi tuntutan perjanjian dalam Islam.
“Perjanjian dalam Islam tidak boleh buat benda mudah, semua janji dalam Islam ada hukumnya, khususnya janji dalam pemerintahan negara. Ada syarat dan rukun dalam perjanjian yang perlu dipatuhi, bukan janji hendak serah kuasa sahaja.
“Ia bukan mudah begitu, kalau kita orang Islam, hukum Islam mesti jaga syarat dan rukun, kalau tidak cukup syarat dan rukun, maka janji itu tidak sah. Kena lihat janji itu sah atau tidak,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Rusila, Marang, hari ini.
Hadi menambah, antara syarat dan janji yang perlu dipatuhi dalam perjanjian peralihan kuasa adalah berjanji menjaga kepentingan Islam, jika tidak, maka hukumnya haram.
“Perlu ada ijab dan qabul, iaitu perjanjian untuk serah dan terima. Bahkan, perlu ada tempat dan masa untuk peralihan kuasa berlaku, bukannya kosong.
“Kalau kosong, maka ia tidak cukup syaratlah. Rukun tidak cukup dan syarat juga tidak cukup. Kalau dari segi Islam ia bukan janji, ia hanyalah cakap-apa, tanyalah mana-mana ulamak sekalipun. Kalau janji tidak sah, maka ia tidak boleh dipakai,” katanya.
Pada 14 Jan lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.
Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.
Anwar sebelum ini menggesa semua pihak dalam PH tidak membincangkan soal peralihan kuasa secara terbuka, susulan gesaan pimpinan PKR mendesak Mahathir melepaskan jawatannya.
Hadi berkata, Mahathir juga tidak wajib mengikut desakan yang dibuat penyokong pro-Anwar kerana perjanjian peralihan kuasa ini dilihat tidak mengikut tuntutan agama.
“Desakan ini tidak betul, salah dan tidak ikut agama. Sebab itu sebagai orang Islam, kalau tidak ikut agama macammana?
“Ia tidak Islamik dan tidak ikut demokrasi barat. Mahathir berdepan dengan orang yang bebal. Saya bukan hendak bela sangat Mahathir tetapi itulah yang berlaku. Sebab itu, kalau tidak penuhi rukun perjanjian peralihan kuasa, kenapa hendak paksa,” katanya.
Pada masa sama, Hadi berkata peralihan kuasa pentadbiran negara bukanlah perkara mudah, semudah menukar pemandu bas ekspres. Hal ini kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan negara.
“Bukan mudah hendak tukar perdana menteri. Kalau ikut amalan demokrasi begitu, rakyat pilih PH dahulu sebab lihat Mahathir yang berada di hadapan, jadi diangkat Mahathir dan pasukannya.
“Kalau tukar pemandu bas, pemandu bas yang ditukar juga perlu membawa ke arah Kuala Lumpur, bukannya ke arah Pulau Pinang. Mana boleh macam itu dan tidak sampailah tujuannya. Itu baru bawa bas ekspres,” katanya.
Bagi Hadi, pemimpin PH pada hari ini perlu mengutamakan janji dan manifesto yang dibuat terhadap rakyat, bukannya terus mendesak supaya wujud peralihan kuasa segera. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.