`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 6, 2020

Rayani Air tak boleh beroperasi tanpa mohon lesen, kata sumber

Rayani Air mula beroperasi pada Disember 2015, tetapi Lesen Perkhidmatan Udara dan Sijil Pengendali Udaranya dibatalkan pada 13 Jun 2016 kerana melanggar syarat ditetapkan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Rayani Air Sdn Bhd yang kini tidak beroperasi, belum mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) bagi menyambung semula operasinya di negara ini, kata sumber terdekat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sumber itu berkata, mustahil untuk syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang patuh syariah itu memulakan operasi tanpa mendapatkan lesen dari CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terlebih dahulu.
“Tiada lapangan terbang membenarkan operasi, tiada slot pengoperasian dan mereka tidak boleh berlepas,” katanya kepada Bernama mengulas kenyataan bekas ketua pegawai eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran yang syarikat itu akan beroperasi semula tahun ini.
Dalam catatan di media sosial, Alagendrran berkata, syarikat penerbangan itu akan menampilkan imej baru, tetapi mengekalkan konsep patuh syariah.
CAAM ialah pengawal selia awam yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kecekapan perkhidmatan penerbangan, manakala Mavcom mengawal hal ehwal berkaitan aspek ekonomi dan hubungan pengguna bagi industri penerbangan.
Ditanya tempoh yang diperlukan Rayani Air untuk memperoleh AOC jika ia mengemukakan permohonan, sumber itu berkata, proses kelulusan boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk memastikan syarikat itu mematuhi semua peraturan dan piawaian berkaitan dasar, prosedur, sumber manusia, pesawat dan kelengkapan.
“Ini bukan isu CAAM terlalu tegas atau tidak (untuk menapis syarikat penerbangan yang tidak lagi beroperasi). Ini melibatkan keselamatan awam dan pengendali perlu memenuhi piawaian ditetapkan CAAM dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Setiap permohonan akan dinilai supaya ia memenuhi piawaian dan peraturan. Oleh itu, semuanya bergantung kepada kesediaan mereka,” katanya.
Rayani Air memulakan penerbangan pada Disember 2015, tetapi Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan AOC syarikat itu dibatalkan pada 13 Jun 2016 kerana melanggar syarat ditetapkan, selain kedudukan kewangan dan komersialnya yang lemah untuk meneruskan operasi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.