`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 20, 2020

Sediakan pendekatan tak hipokrit dalam dasar larangan merokok



Bermula 1 Jan 2020, sesiapa yang merokok di kawasan tempat makan akan dikenakan kompaun maksimum sehingga RM350 kerana Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan.
Sepatutnya mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250. Namun begitu, terdapat sedikit belas kasihan bagi kesalahan pertama di mana kompoun tersebut boleh dikurangkan ke RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh izin kompaun diterima.
Konsep “tiada maaf bagimu” akan digunakan untuk perokok yang melakukan kesalahan ke-2 dan ke-3 di mana kompaunnya bernilai RM250 dan RM350 tanpa sebarang belas kasihan.
Difahamkan pemilik premis turut akan dikenakan kompaun jika gagal memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok. Pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.
Kegagalan premis untuk mematuhi undang-undang ini akan menyebabkan mereka dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan ke-2, dan kompaun ini akan meningkat ke RM350 bagi kesalahan ke-3 dan seterusnya.
Ironinya, pemilik premis makan masih dibenarkan untuk terus menjual rokok kepada pelanggannya manakala pemilik kelab malam dan pub yang turut menyidangkan makanan kepada pelanggan dikecualikan daripada larangan merokok ini.
Daripada menentukan kawasan mana tidak boleh merokok sehingga menyebabkan bisnes sesetengah pihak terjejas, apa kata kerajaan mewujudkan undang-undang khas untuk menyediakan kawasan khas merokok bagi perokok tanpa mengambil kira apa jenis premis perniagaan.
Pertama, sesiapa yang dibenarkan menjual rokok mesti menyediakan satu ruang khas untuk perokok menunaikan hobinya. Ruang khas ini mestilah lutsinar, kedap asap sepenuhnya dan dipastikan tidak mengganggu pelanggan yang tidak mahu diganggu asap rokok dengan kelengkapan penapis dan penyaman udara untuk menapis asap sebelum ia dilepaskan ke atmosfera.
Contohnya, mana-mana restoran, pub dan kelab malam yang menjual rokok perlu menyediakan satu bahagian khas kedap asap untuk para pelanggan yang ingin merokok sambil menikmati makanannya.
Kedai serbaneka seperti 7-11 dan Familymart perlu menyediakan satu pondok merokok lutsinar tapi tertutup di luar kedainya untuk para pelanggannya yang ingin merokok sambil menikmati air sejuk yang dibeli.
Pemilik pusat beli-belah juga perlu menyediakan kawasan khusus untuk perokok berbentuk pondok untuk melepaskan gian ketika penat berjalan berbelanja. Sama juga dengan pemilik kawasan pelancongan dan taman tema. Pastikan juga ada tandas yang dikhususkan kepada perokok sama ada lelaki dan wanita. Kos pembinaan pondok ini boleh dikongsi bersama oleh premis-premis yang menjual rokok.
Bagi majlis pembandaran pula, mereka boleh menyediakan pondok merokok yang sama di setiap kilometer, berdekatan kawasan tandas awam dan taman-taman rekreasi. Jika boleh, pastikan pondok ini dibina di setiap kilometer.
Begitu dengan di setiap Rehat & Rawat lebuhraya, pemilik konsesi lebuh raya perlu membina pondok-pondok merokok untuk para pemandu yang ingin merokok. Jika boleh, pemilik konsesi boleh sediakan tandas yang dikhususkan kepada perokok juga.
Bagi bisnes perkhidmatan pula, boleh disediakan juga gerabak kereta api khusus untuk perokok dan bas khas boleh merokok dengan harga tiket yang lebih mahal, kerana duit yang lebih itu diperlukan untuk tujuan pembersihan dan menukar penapis udara.
Dengan memastikan semua pondok dan tandas merokok ini dilengkapi dengan sistem vending (seperti mesin menjual air tin) untuk mengutip yuran kemasukan, kos-kos untuk membina pondok merokok bakal akan ditanggung para perokok dan cukai terhadap industri rokok.
Jika rokok yang mahal sanggup dibeli, yakinlah para perokok akan sanggup membayar yuran kemasukan ke pondok merokok ini serta membayar harga yang lebih tinggi sikit untuk duduk di ruang khas merokok di restoran.
Duit yang dikumpul itu boleh digunakan untuk kerja-kerja servis membersihkan pondok dan menukar penapis dan penyaman udara di pondok untuk keselesaan perokok menghabiskan masa intim bersama rokoknya.
Mengadakan kawasan merokok ini tidak akan menjejaskan usaha Kementerian Kesihatan untuk terus menyaman sesiapa yang merokok di kawasan larangan.
Malah, pendekatan ini akan membolehkan semua restoran terus merai keuntungan daripada perokok dan juga bukan perokok, di samping mendisiplinkan para perokok untuk hanya merokok di kawasan tertentu dan bukannya merata-merata di kawasan kelabu yang tidak ditentukan undang-undang seperti sekarang.
Bukankah pendekatan ini lebih bersifat win-win dan kurang hipokrit? - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.