Nama dia “Cina”. Sebetulnya dia anak Melayu, tetapi betul-betulnya dia anak Cina. Dia berasal dari Sandakan. Dalam tahun-tahun 1960-an, keluarga Cina dan India yang terbeban oleh keadaan ekonomi, biasa menyerahkan anak perempuan mereka kepada keluarga Melayu untuk didewasakan. Jadi dia anak Cina, yang dipelihara Melayu. Maka dia bernasib baik biarpun Cina, dia puteribumi. Beruntung sekali menjadi Cina yang Melayu.
Oleh sebab dia anak Cina, walaupun dia Melayu; satu kampung menggelarnya “Cina”. Siti Cina lebih tepat. Itu dipanggil belakang-belakang. Dia sendiri tidak sedar.
“Cina” tidak ingat di mana dia pernah membaca, mungkin daripada kolumnis sebuah portal berita, bahawa dalam pelajaran sains politik, yakni dalam kamus siasah; tidak ada istilah kerajaan pintu belakang. Dia tidak mahu mendengar istilah itu. Pintu belakang tidak ada dalam terminologi politik. Seilmu “Cina” yang ada ialah kalimat demokrasi.
Yang betul ada, terma rampasan kuasa. Pintu belakang memang tak ada. “Cina” tidak percaya kepada apa-apa yang ditujah dari belakang. Kalau rampasan kuasa dia pernah mendengar kata tersebut.
Sejak masih kecil, “Cina” mengalami sejenis penyakit. Dia tidak boleh menuturkan huruf P, dan entah mengapa ia berbunyi G. Makanya tiap kata yang dilafaz dengan huruf P, terutama di awal kata; akan berbunyi seakan G.
Pada mulanya, ibu bapa Melayu “Cina” menyangkakan anak mereka itu gagap, atau pelat. Tetapi hanya setelah “Cina” meningkat remaja, barulah dia sedar kesukaran menutur huruf P sehingga kedengaran seolah-olah G itu adalah sejenis kecacatan.
Kata “Pintu Belakang” misalnya akan disebut “Gintu Belakang”. “Gandai”. “Genyamun”. “Gengkhianat”. “Genipu”. “Gerikatan”. “Garti”. “Gerhana Menteri”. Suaminya, Haziq, jatuh cinta kerana pelat-pelat itulah. “Macam orang Perancis,” kata buah hatinya.
Nama penyakit itu, Dysarthria. Ia berkait dengan masalah mengawal otot.
Nasib “Cina” memang bergemerlapan kemilau. Meskipun dia Cina tetapi diakan anak Melayu. Jadi dia puteribumi. Pada 1970-an dia mendapat keberuntungan Dasar Ekonomi Baru. Untungkan jadi Melayu?
“Cina” mendapat biasiswa untuk berangkat belajar di Miami, Amerika Syarikat. Di situlah dia mengenal Haziq. Sewaktu “Cina” di bangku sekolah rendah, dia memang pandai. Dia memang rajin. “Cina” selalu dapat nombor 1. Untuk memujuk kawan-kawan yang dengki, Ustazah Hajjah Nik Zailah akan memberitahu seisi kelas, “Jangan rasa kalah dengan dia. Sysssttt sebenarnya dia budak Cina. Dia anak Cina. Sebab itu mata dia sepet. Dia bukan Melayu pun. Sebab itu dia pandai semacam. Ingat, mak bapak dia makan babi. Kafir harbi. Kena bayar jizyah.”
Sebelum dari itu, “Cina” tidak tahu pun dia anak Cina. Jadi, dia pulang dari sekolah menangis teresak-esak, dan bertanyakan siapa ibu bapanya. Ibu bapa “Cina” yang Melayu hanya menjawab, “Itu tidak penting anakku. Warna darah mama sama dengan warna darah kamu. Jadi kamu anak mama. Kamu anak Malaysia.”
Setelah kejadian itu, mereka sekeluarga berpindah dari Gombak ke Sandakan. Mama beritahu, “Papa dapat kerja dengan Raja Brooke.”
“Cina” lulus cemerlang dan menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktorat. Nasib baik “Cina” jadi Melayu. Makanya dapatlah dia belajar sehingga ke akhir, dengan tanggungan kerajaan. Kalau “Cina” anak Cina tidak tahulah di mana dia.
Di universiti, “Cina” cepat naik pangkat, sebab orang tak menyangka dia Cina. Dia beroleh jawatan “Grofesor C” dengan mendadak. Sewaktu dia berjuang untuk naik setakah lagi, sebagai Profesor berstatus B, ada pesaing di fakulti menabur tohmah. Padahal mereka sama-sama bekas pelajar STF.
“Argh dia anak Cina. Dia bukan pun Melayu. Sebab itu liberal semacam. Tak pakai tudung. Rambut merah. Mengapa dia harus diberi ‘geluang’ berganda-ganda seperti itu?”
“Cina” tidak pun naik pangkat. Lagipun suami Cina adalah pensyarah untuk mata pelajaran “Hak Asasi Manusia” di Fakulti Undang-undang. Orang memanggil Haziq pensyarah liberal. Dan kerana suaminya tidak pernah menghimpit naib canselor, Haziq malah belum naik “Grofesor Madya” pun.
“Cina” diejek di belakang, “Grofesor yang tidak reti mengucap huruf P, terbalik menjadi G. Memang Cina pelat…gelat…macam Doraemon.”
Di universiti, “Cina” mengajar subjek “Sains Golitik”, di Fakulti Ilmu Kemanusiaan. Meskipun tiada yang manusiawi lagi tentang kemanusiaan pada fakulti itu.
Dalam demokrasi, kalau tidak silap kata Abraham Lincoln; rakyat adalah penentu. Rakyat yang berkuasa menaik dan menurunkan “golitikus”, menteri, “gerhana menteri”. Kata pintu belakang tiada. Namun, dalam glosari sains politik ada satu kerja sial – rampasan kuasa – dan “Cina” sangat terdera dengan terma itu. “Cina” sangat benci rampasan kuasa. Ini kerana tatkala mengaji dalam bidang sains politik peringkat doktorat, tesis PhD “Cina” adalah mengenai rampasan kuasa.
Ada sekali “Cina” pernah terbaca kata-kata Warren Buffet, “Ketika mencari seseorang pemimpin untuk digajikan, carilah 3 mutu; integriti, bijaksana dan semangat. Jika mereka tiada yang pertama, kedua-dua yang terkemudian akan membunuh kamu.”
Demikian yang kita carikan pada seorang pemimpin – “gemimpin” – integriti (bukan pengkhianat pencuri), bijaksana (bukan lebam) dan semangat (bukan nafsu rakus yang tidak berkesudahan).
Ada aneka jenis rampasan kuasa. Yang terlihat jelas ialah campur tangan kuasa besar dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan. Amerika Syarikat melanggar Afghanistan bertarikh 12 Nov 2001, atau tentera Tanzania menceroboh Uganda pada 11 Apr 1979, dan memaksa Idi Amin mencicit lari.
Ada juga jenis rampasan kuasa yang berlaku ekoran kerajaan digulingkan oleh pasukan pemberontak. Sepertinya Kabila merampas pemerintahan Congo setelah ibu kota republik itu ditawan pada 17 Mei 1997, dan Kabila melantik diri sendiri pada 29 Mei.
Rampasan kuasa juga kadang terjadi lanjutan dari pembunuhan seorang pemimpin. Misalnya berlaku kepada keluarga diraja Nepal apabila Raja Birendra seluruhnya dibunuh oleh putera mahkota pada 1 Jun 2001.
Juga rampasan kuasa, berlaku acap kali setelah kerajaan pilihan rakyat gugur. Lantaran adanya “gengkhianat”. Pada 28 Okt 1958, Perdana Menteri Unu, dari Burma, meletak jawatan dan terpaksa menyerah kuasa kepada Jeneral Ne Win setelah parti pemerintah AFPFL berpecah.
Ia turut menimpa Paraguay pada 22 Jun 2012. Kisahnya begini, Presiden Fernando Lugo memenangi pilihan raya pada April 2008 atas tiket gabungan parti yang diberi nama – Patriotic Alliance for Change – ia adalah pilihan raya pertama pembangkang beroleh kejayaan untuk menumbangkan parti pemerintah nan korup setelah berkuasa selama 61 tahun, iaitu Parti Colorado. Polisi kiri Lugo mendorong kemarahan pihak elit konservatif yang kemudian mengapi-apikan masyarakat buruh, dengan menyebar kisah-kisah tidak benar. Malangnya ramai terpedaya.
Pada 21 Jun 2012 tiba-tiba Lugo, diberi masa 2 jam untuk berhujah mempertahankan diri. Dalam huru-hara yang singkat, nasib Lugo dipindahkan kepada Senat Agung. Senat memilih untuk memecatnya pada 22 Jun 2012. Senat Agung campur tangan. Mereka masuk campur, tolak, darab, bahagi sekaligus. Lugo menerima nasib malang itu kerana ada pengkhianat dalam koalisi partinya sendiri. Tetapi orang Paraguay tidak mudah didiamkan. Mereka membantah besar-besaran, penggantinya berdepan kempen #notmypresident.
Itulah sebabnya juga “Cina” tidak percaya kepada apa-apa yang dihujah atau ditujah dari belakang. Tambah-tambah dia asal Sandakan. Orang Sandakan tidak reti ditujah belakang.
Sebelum mama meninggal dunia, “Cina” pernah terlanjur melukakan hati orang tua itu. “Cina” tidak sengaja. “Cina” memohon kemaafan dari Tuhan Allah. “Cina” cuma bertanya, terbit dari nubari rasa ingin tahu yang bergejolak. “Siapakah ibu saya yang sebenar?”
Mama enggan menjawab, “Darah kita bersatu Siti, darah mama dan darah kamu. Kami tidak pernah menganggap kamu Cina. Kami dewasakan kamu dengan penuh kelebihan yang ada. Kami sekolahkan kamu, pandaikan kamu, dan syukur ada DEB, maka ada segala macam kesenangan. Bersyukurlah.”
Di kampus, sepanjang 2019, dia mendengar macam-macam suara bahawa dia menjadi “Grofesor” C secara tidak layak. Sebabnya dia tidak cukup Melayu. Dia malah digunjing-gunjing sebagai Cina. Dia ditohmah naik kerana Cina. Sebab ada kenal menteri Cina. Dia, “Cina” rasa dianjing. Rupanya tidak memadai bernama Melayu, bertutur Melayu, beragama Melayu dan percaya serba-serbi apa yang Melayu percaya. Selama-lamanya juga Melayu menyalahkan “Cina”. Dia dikata di belakang.
Kerana meraba-raba siapa dirinya sebenar, Cina akhirnya nekad mencari adik-beradik kandung. Dia rupanya punya 7 adik-beradik. Semua sudah meninggal dunia. Kecuali yang bongsu. Sekarang menetap di Kajang. Lelaki. Tukang kebun di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan. Selama beberapa bulan dia cuba mengejar adiknya. Takdir menemukan mereka pada 29 Feb di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Pertemuan itu dingin sekali. Adiknya cuma mengatakan, “Perlukah kita saling mengenal setelah semua ini? Lagipun kakak sudah jadi Melayu. Dan saya tetap Cina makan babi sampai mati. Anu saya kulup tak potong. Kakak akan ke syurga. Jalan saya ke neraka. Seluruh keluarga kita bersatu di situ. Kakak baliklah. Kamu Melayu. Saya Cina.”
Kata-kata itu kasar sekali. Esoknya dia pulang ke Sandakan dengan hati amat terluka. Sungguh, luka itu menganga. Dia menangis sehingga bengkak mata. Haziq berusaha mengalih tumpuan isteri, seorang “Grofesor Sains Politik”, “Lihat darling ini ada perkembangan politik terkini. ‘Gerhana Menteri’ baru.”
1 Mac itu dia kenang sampai bila-bila. 1 Mac 2020 itu hari “Cina” meratapi nasibnya sebagai Melayu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.