(Harakah) – Ternyata Perikatan Nasional (PN) sudah mara sekarang. Bukan lagi sekadar berkampung di Putrajaya. Gelombangnya membadai ke Perak, Melaka dan Kedah.
Ketika singgah di selatan tanah air, badai itu meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kerajaan PH Johor roboh lebih awal berbanding Putrajaya.
Jumaat lepas segalanya sudah selesai. Tiga hari kemudian menyusul di Putrajaya tempat tsunami PN bermula.
Gelombang PN dimulakan PH sendiri. Angkara merebut jawatan perdana menteri. Strategi Tun Dr Mahathir Mohamad seperti jatuh ditimpa tangga.
Pelan awal sekadar mahu mematikan langkah pesaing tradisi, sebaliknya tersilap langkah apabila kapal sendiri ditembuk. Akhirnya bahtera PH karam.
Detik-detik akhir Dr Mahathir cukup berliku. Tindak tanduknya minggu lepas banyak mencacat gelarannya sebagai negarawan. U-turn berkali-kali. Begitu juga Anwar Ibrahim dan PH buat pusingan 360 darjah.
‘Corner baring’ membuatkan PH terkulai di pintu Istana Negara. Ramai yakin episod politik tidak mati di situ. Gelombang PN seperti sukar dihentikan.
Di Perak diberitakan anggota-anggota Exco sudah mengemaskan barang. Serupa suasana ketika Utusan Melayu ditutup akhir 2019.
Hiba menyaksikan detik-detik akhir kerajaan PH Perak. Seorang Exco yang mewakili PAN dikatakan menangis.
Laman berita melaporkan Adun Titi Serong dilihat menangis teresak-esak. Sedunya ketika menurunkan gambar sendiri di pejabat Exco.
Perak hanya dijarakkan 2 kerusi antara PH dan PN. Apabila Bersatu meninggalkan PH bermakna gabungan itu hilang dua kerusi kepada 26.
Manakala PN pula bertambah dua kerusi kepada 28. Dun Perak mempunyai 59 kerusi. PH didominasi DAP dengan 18 kerusi, diikuti PAN (6), PKR (4) dan Bersatu (2).
Manakala pembangkang iaitu BN 25 kerusi dan PAS 3 serta Bebas (1). Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu sudah membayangkan kerajaan baharu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu membayangkan Perak dijangka akan beralih gabungan mengikut acuan di Putrajaya.
Kemelut serupa juga melanda Melaka. PH menguasai 15 kerusi manakala BN – 13. Kerusi PH dibantu Bersatu dengan dua kerusi.
Hari ini apabila Bersatu mufarakah dengan PH bermakna bilangan Adun berkurang kepada 13. Dan PN pula akan bertambah kepada 15.
Kemungkinan besar sehari dua lagi Melaka juga akan mendapat ketua menteri baru menjejaki Johor.
Situasi lebih getir berlaku di Kedah. Kekuatan PH sebelum ini disumbang Bersatu yang menang di 6 kerusi Dun. Adun terbabit termasuk Mukhriz Mahathir.
Mukhriz mewakili Dun Jitra, Dr Ku Ab Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Amiruddin Hamzah (Anak Bukit), Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah) dan Juhari Bulat (Ayer Hangat).
Antara lima Adun terbabit Amirudin yang didapati masih setia terhadap Mukhriz. Manakala empat lagi belum jelas.
Lagipun Dr Ku Ab Rahman bekas Adun Umno yang menyokong PH sebelum ini.
Sekiranya empat Adun terbabit termasuk Ku Ab Rahman berkiblat kepada Muhyiddin Yassin maka hayat kerajaan PH Kedah juga berakhir.
Hasilnya PN akan memiliki 21 Adun. Sekiranya teori itu menjadi kenyataan sekali peluang PAS kembali semula meneruskan legasi ditinggalkan Ustaz Azizan Abdul Razak pada 2013.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.