Pada awal pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan timbul soal “deep state” yang diterjemahkan kepada “negara terpendam.” Ia timbul apabila kerajaan baru itu sukar untuk melakukan reformasi selaras dengan manifesto dan fahaman Pakatan Harapan ketika itu.
Tentunya “deep state” itu merujuk pada kakitangan-kakitangan kerajaan yang menghalang atau menyukarkan sebarang pembaharuan atau reformasi. Perkara ini dapat difahami memandangkan banyak kakitangan kerajaan yang menyokong Barisan Nasional. Sememangnya perkhidmatan awam tidak boleh berpihak pada mana-mana parti politik. Mereka mesti patuh pada kerajaan sedia ada. Namun budaya dan fahaman politik, lebih tepat lagi ideologi mereka tentu dibentuk oleh tradisi kerajaan memerintah selama 60 tahun, iaitu pimpinan Umno sejak negara mencapai kemerdekaan.
Jadi sudah tentu melalui kursus-kursus dan pergaulan semasa kerja, perkhidmatan awam termasuk institusi-institusi negara seperti universiti tentulah secara keseluruhan berfahaman ideologi nasionalisme kanan Umno. Tetapi ini tidaklah bermakna tidak ada anggota perkhidmatan awam yang menyokong fahaman pihak pembangkang tetapi tentulah bilangan mereka kecil. Contoh nyata perkara ini kemenangan besar yang diperoleh oleh calon Barisan Nasional di Putrajaya pada setiap pilihan raya umum.
Konsep “deep state” ini berasal dari Amerika Syarikat. Ia bermaksud ada sekumpulan orang dalam perkhidmatan awam dan institusi-institusi penting negara seperti CIA yang mengawal dan mempertahankan nilai-nilai nasional AS melangkaui apa yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik, sama ada Republikan dan Demokratik, walaupun mereka menang pilihan raya dan menjadi kerajaan.
Pemegang fahaman politik nasionalisme kanan seperti Umno dalam PH adalah PPBM. Sementara parti yang menuntut digerakkan pembaharuan dan reformasi datang dari PKR, DAP dan Amanah. Maka sudah tentu berlaku pertembungan antara PPBM di satu pihak dan PKR, DAP dan Amanah di pihak lain. Dalam hal ini fahaman politik PPBM sehaluan dengan “deep state.” Maka apa yang dituntut oleh parti-parti pembaharuan itu dihalang PPBM. Kegagalan untuk menggerakkan pembaharuan ini bagaimanapun disalahkan pada “deep state” dalam perkhidmatan awam.
Tentulah anggota perkhidmatan awam tidak senang dengan tuduhan seperti ini. Ia seolah-olah menyatakan sebahagian daripada mereka ada nelakukan sabotaj terhadap kerajaan pilihan rakyat. Apabila tidak pernah dinyatakan dengan jelas siapa itu “deep state”, penulis mengemukakan konsep “deep state of the mind”. Maknanya “deep state” itu hanya wujud dalam minda, bukan saja dalam kalangan anggota kerajaan tetapi sebahagian rakyat. Termasuk penulis sendiri.
“Deep state of the mind” ini keadaan minda rakyat yang sudah terdidik melalui maklumat yang diterimanya sepanjang hayat. Bayangkan tentulah minda sebahagian besar rakyat negara ini dibentuk oleh media massa yang dikawal oleh kerajaan sejak sebelum merdeka lagi. Ataupun program-program Biro Tata Negara (BTN) yang dijalankan sejak tahun 1970-an lagi. Tentulah ia membentuk minda sebahagian besar rakyat.
Tetapi minggu lalu apabila kerajaan PH tumbang akibat tindakan sebahagian daripada pemimpin PPBM dan PKR bergabung dengan BN dan PAS untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, maka ada tentulah terdetak dalam fikiran sebahagian pemimpin PH terutama dalam kalangan PKR, DAP dan Amanah yang memperjuangkan pembaharuan atau reformasi bahawa “deep state” itu sebenarnya tidak wujud.
Apa yang wujud konspirasi dari sebahagian ahli politik PPBM dan PKR yang bukan saja menolak kepimpinan Anwar Ibrahim tetapi agenda reformasi itu sendiri.
Malah dari awal lagi sudah bermula konspirasi untuk berpakat dengan parti-parti pembangkang ketika itu, khususnya Umno dan PAS bagi menubuhkan kerajaan baru yang bebas daripada Anwar, DAP dan agenda reformasi. Maka sebab itu selama pentadbiran PH, segala tuntutan reformasi oleh sebahagian daripada pemimpin PKR, DAP dan PPBM dihalang oleh mereka yang menolak agenda itu.
Perlu diingat PH memasuki pilihan raya umum ke-14 atas platform menentang kleptokrasi. Yang menyuarakan agenda reformasi hanyalah PKR, DAP dan Amanah. Walaupun agenda reformasi terdapat dalam Manifesto Harapan tetapi ia tidak ditekankan oleh kerajaan PH apabila mentadbir. Malah manifesto itu dirasakan tidak akan dilaksanakan.
Maka dari awal lagi sudah kelihatan ada hubungan antara sebahagian pemimpin PPBM dan PKR dari kumpulan Azmin Ali dengan Umno dan PAS. Malah PAS mengadakan pertemuan dengan Mahathir untu memberi jaminan sokongan pada beliau. Terdapat juga laporan yang menunjukkan terdapatnya pertemuan ahli-ahli politik yang melibatkan kalangan kumpulan Azmin dengan Umno dan PAS.
Ia menjadi rahsia umum hinggakan seolah-olah apa yang dilakukan oleh penentang-penentang Anwar itu bukan lagi konspirasi tetapi merupakan langkah politik yang sampai pada kemuncaknya dalam bentuk pertemuan di Hotel Sheraton Petaling Jaya di mana gagasan Pakatan Nasional berubah kepada Perikatan Nasional.
Proses ini memngambil masa sepanjang pentadbiran PH. Segala perkembangan politik PKR menjangkakan parti itu akan berpecah dengan kumpulan Azmin yang bersungguh-sungguh menghalang kemaraan Anwar. Tetapi tidak timbul pula PPBM akan keluar daripada PH dan menumbangkan kerajaan.
Sememangnya dipercayai terdapat persediaan dilakukan untuk berdepan dengan keadaan di mana Mahathir tidak lagi mengetuai PPBM dan PH. Juga untuk menganggap PPBM boleh bersikap seperti Amanah dengan menerima kepimpinan Anwar adalah suatu yang naif.
Namun begitu, apabila akhirnya kerajaan PH tumbang, timbul persoalan kemungkinannya dari awal lagi sebahagian pemimpin PPBM sudah merancang untuk mewujudkan keadaan begini. Juga persoalan kemungkinan berlaku sabotaj dalam PH sendiri. Adakah kekalahan calon PPBM dalam pilihan raya kecil merupakan sebahagian daripada proses sabotaj?
Mungkin buat masa ini, post-mortem pun dilakukan oleh parti-parti PH yang berasa dikhianati. Untuk memulihkan kepercayaan antara satu sama lain khususnya dengan PPBM adalah suatu cabaran besar. Bagi ahli sains politik dan sejarah, tempoh seminggu yang bergelora merupakan bahan kajian menarik. Bagi penganalisis politik, mereka akan berusaha membongkar apa sebenarnya berlaku pada tempoh itu. Pada satu hari memoir akan ditulis menceritakan pengalaman mereka yang terlibat atau saksi.
Kesimpulannya ialah Malaysia Baru tidak akan dapat ditegakkan kerana adanya “deep state” yang menghalang daripadanya terlaksana. “Deep state” itu bagaimanapun berupa “deep state of the mind” yang merupakan suatu naratif nasionalisme kanan dan dijadikan suatu suatu mitos. Mitos ini dijadikan realiti melalui konspirasi yang terserlah sebagai tindakan-tindakan politik.
Apa yang berlaku selama hampir 2 tahun ini hanya merupakan “correction” atau pembetulan terhadap kepimpinan Najib Razak. Tetapi dengan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, beliau hanya meneruskan Malaysia Lama yang diwujudkan sejak Tunku Abdul Rahman memerintah. Sememangnya sepatutnya Muhyiddin yang menggantikan Najib sebagai perdana menteri kerana beliau pernah menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.
Walaupun Anwar pernah juga menjadi timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, tetapi pemikiran dan sosok beliau bersama dengan partinya, PKR tidak dapat diterima “deep state of mind” Malaysia Lama.
PKR dan DAP buat masa ini tidak akan dapat diterima oleh kebanyakan rakyat negara. Mereka dapat menjadi kerajaan hanya kerana rakyat menyokong Mahathir dan PPBM bagi menolak kleptokrasi.
Amanah seperti juga PAS tidak akan dapat diterima oleh kebanyakan rakyat. Mereka akan sentiasa bergantung pada parti lain. Sebab itu GPS hanya menyokong Muhyiddin dan tidak menyertai Perikatan Nasional, sebabnya kerana ada PAS. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.