Malaysia memasuki minggu kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan harapan kurungan dalam rumah akan berakhir pada 31 Mac ini.
Harapannya pada 1 Apr ini, semua rakyat boleh keluar rumah, menghirup udara segar dan hidup kembali “normal”. Apa yang dimaksudkan dengan “normal” ialah keadaan yang wujud sebelum PKP ini.
Tetapi harapan ini bukan saja bagi rakyat Malaysia, malah untuk seluruh dunia. Pada 1 Apr, banyak negara di Eropah dan lain-lain seperti Australia masih dalam tempoh perintah kurungan(lockdown). Mereka juga mengharapkan apabila tempoh itu berakhir, keadaan akan kembali “normal”.
Namun melihat aliran perkembangan, apa yang sedang berlaku di seluruh dunia, banyak negara belum melakukan perintah berkurung, tetapi merancang untuk itu. Sementara mereka yang sedang berada dalam perintah kurungan, dengan melihat angka kes, dijangkakan keadaan akan berterusan untuk berminggu-minggu mendatang, kalau pun tidak berbulan-bulan.
Kenyataan-kenyataan pakar juga menunjukkan suasana “tidak normal” akan berterusan untuk jangka panjang, berbulan-bulan, malah keseluruhan 2020.
Kenyataan ketua-ketua kerajaan dari sidang akhbar yang diadakan setiap hari di banyak negara menunjukkan Covid-19 ini tidak akan dapat ditundukkan dalam jangka waktu yang diharapkan.
Mereka memberi amaran jika rakyat tidak berkurung di rumah dan melakukan penjarakan sosial, keadaan sukar ini berterusan. Para pemimpin itu mempunyai maklumat yang lebih daripada orang ramai. Mereka tidak menceritakan semuanya bagi mengelakkan kegemparan dan panik awam. Perkara itu dapat dilihat apabila berlaku pembelian panik sebelum perintah berkurung atau kawalan pergerakan.
Negara yang kelihatan ke arah pemulihan ialah China apabila pusat mula tercetus wabak ini, Wuhan menamatkan perintah kurungannya dan hospital sementara Covid-19 ditutup. Angka kes di situ juga menurun dan kilang-kilang mula kembali beroperasi.
Tetapi China terus berjaga-jaga di samping menghantar bantuan kepada Itali, kini merupakan negara paling teruk diselubungi Covid-19. Maka Wuhan dan China tetap tidak dapat kembali menjadi “normal”. Malah seluruh dunia tidak akan menjadi “normal” walaupun selepas wabak ini dapat ditundukkan. Ini termasuklah Malaysia.
Covid-19 tidak seperti SARS (sindrom pernafasan akut teruk) dan MERS (sindrom pernafasan virus korona Timur Tengah). Pandemik kali ini mengubah sama sekali semua aspek kehidupan manusia. Ia merupakan titik perubahan bersejarah. Baik dari segi sosial, ekonomi mahupun politik. Perkara ini juga akan berlaku di Malaysia.
Maka pada 1 Apr, Malaysia tidak akan kembali “normal” atau lebih tepat lagi, “normal baru” akan berlaku. Jika angka kes tidak bertambah baik, boleh jadi PKP akan diteruskan. Kalau lebih buruk, ia mungkin boleh bertukar menjadi perintah kurungan. PKP ini pun disebut sebagai perintah kurungan separa (partial lockdown).
Tetapi andai kata PKP sudah dicabut, suasana berjaga-jaga terus perlu dilakukan. Virus masih ada dan kuarantin terus berlaku. Malah Kementerian Kesihatan seperti yang dilaporkan akan meningkatkan keupayaan untuk ujian pada April ini. Maknanya suasana berjaga-jaga terus berlangsung, malah lebih ketat lagi. Lebih-lebih lagi dalam langkah menghalang kemasukan orang terinfeksi.
Dengan sekatan kemasukan orang asing, yang juga turut dilakukan oleh negara lain, banyak kerja berhubung dengan negara asing pasti terjejas. Pelancongan keluar dan ke dalam negara pasti terganggu. Ia memberi kesan pada ekonomi negara dan orang ramai.
Selama 2 minggu PKP pun pasti menjejaskan pendapatan banyak orang dan syarikat. Seterusnya ia menjejaskan pendapatan negara. Maknanya “normal baru” lebih miskin berbanding sebelum serangan Covid-19.
Kemelesetan ekonomi dijangka berlaku sehingga mencecah tahun depan, tetapi bukan saja Malaysia, malah seluruh dunia. Maka untuk bercakap mengenai ekonomi, ia lebih kompleks dan ia tidak boleh dijangkakan. Dalam hal ekonomi pun, dari sudut global atau nasional, ia sudah tidak “normal” lagi.
Tetapi bukan saja ekonomi. Malah dari segi sosial. Orang sudah tidak bersalaman di seluruh dunia. Sentuhan dikurangkan.
Penjarakan sosial akan menjadi “normal baru”. Orang bercakap secara berjauhan. Majlis-majlis akan berkurangan. Jika diadakan, ia dibuat secara kecil-kecilan. Pasti ia menjejaskan acara-acara perhimpunan awam.
Walaupun gerakan jemaah tabligh akan diteruskan, tetapi peristiwa Covid-19 akan memberi kesan juga pada mereka. Orang ramai akan berasa takut. Bukan saja ijtimak tidak akan menjadi besar-besaran, malah begitu juga perhimpunan awam lain.
Keadaan ini akan menjejaskan kegiatan politik. Perhimpunan politik secara besar tidak dapat diadakan. Dalam hal ini, yang lebih terjejas pihak pembangkang.
“Normal baru” akan lebih meningkatkan teknologi. Bagi mengurangkan perjumpaan sesama orang, maka sistem tanpa tunai akan ditingkatkan, khususnya penggunaan e-dompet. Begitu juga dengan perkembangan lain seperti pembelian atas talian, pembelajaran atas talian serta aplikasi yang mengurangkan perjumpaan sesama manusia.
Lanskap ekonomi juga pasti berubah secara besar-besaran. Ada syarikat yang tutup dan pekerjanya hilang pekerjaan. Industri pelancongan, pengangkutan dan peruncitan akan berubah. Malah produk pengguna. Akan berlaku kesedaran mengenai pembaziran yang berlaku sebelum ini. Maka akan lebih jelas mengenai barang atau perbuatan essential (keperluan) dan non-essential (bukan keperluan) yang disemai sepanjang PKP.
Keseluruhannya, kesedaran mengenai kebersihan akan lebih jelas. Maknanya sudah tidak “normal” untuk memandang remeh soal kesihatan dan kebersihan.
Kesedaran mengenai alam sekitar juga lebih tajam. Walaupun Malaysia tidak mempunyai amalan pemakanan eksotik, tetapi pemerdagangan haiwan liar juga membimbangkan. Begitu juga pemusnahan hutan dan biodiversiti. Hutan yang tinggal akan dipelihara. Memusnahkan hutan suatu yang tidak normal.
Akhir sekali, tetapi amat penting ialah tuntutan berfikiran sains dan cekap politik suatu “normal baru.”
Sepanjang PKP ini berlaku perdebatan media sosial mengenai pemikiran agama dan sains. Suatu jalan tengah akan dipilih. Kehidupan beragama mententeramkan, tetapi ia perlu menerima realiti daripada kajian saintifik.
Dalam hal politik pula, keadaan akan lebih meruncing. Ini kerana ketika negara sibuk dilanda Covid-19, Malaysia diheret ke dalam kancah dalam detik-detik kritikal.
Masalah politik tidak akan selesai dengan berakhirnya Covid-19. Tetapi dalam “normal baru” ini kelak, rakyat tidak akan dapat menerima cara politik lama. Elit politik yang sedia ada diragukan mempunyai kecekapan untuk menghadapi pelbagai ancaman negara, bukan saja hal kesihatan, tetapi juga ekonomi.
“Normal baru” tidak akan stabil sebaliknya ia merupakan era tidak menentu dan rakyat perlu bersedia untuk menerima mereka tidak akan dapat kembali pada zaman sebelum 2020.
Pada satu pihak, Malaysia perlu bersedia dengan keupayaan domestik. Maknanya jika sempadan ditutup, keperluan dalam negara mencukupi. Di satu pihak lain pula, penggantungan dengan negara luar hendaklah bersifat pelbagai, tidak bergantung pada China semata-mata. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.