`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 19, 2021

Masjid di KL dibuka untuk penempatan sementara mangsa banjir, kata menteri

 

Masjid-masjid di sekitar Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibuka kepada mangsa banjir yang memerlukan penempatan sementara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersedia untuk menerima mangsa banjir sebagai penempatan sementara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Idris dalam kenyataan berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menyelaraskan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan termasuk Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk tujuan berkenaan.

Katanya, masjid di seluruh kawasan Wilayah Persekutuan juga sudah bersedia untuk menyalurkan bantuan dan akan menyediakan keperluan yang bersesuaian.

“Pihak masjid juga menguruskan makanan melalui Program Dapur It’am dan JAWI Food Bank. Saya turut mengarahkan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan keperluan untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

“Saya berharap mangsa-mangsa banjir terus bersabar dengan ujian daripada Allah yang menimpa. Moga Allah mengangkat darjat kita disisi-Nya,” katanya.

Sejak semalam ribuan pengguna jalan raya terperangkap di dalam kenderaan masing-masing selama berjam-jam berikutan banjir menenggelamkan sebahagian besar lebuh raya di Lembah Klang.

Kawasan yang teruk terjejas adalah Klang dan Shah Alam, yang mengakibatkan puluhan ribu mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas malam tadi mengarahkan semua kementerian berkaitan menggerakkan aset ke kawasan terjejas bagi memastikan penduduk di kawasan banjir dipindahkan ke PPS dengan segera. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.