`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 18, 2021

Rumah tenggelam banjir, pengantin tak jadi sanding

 

Khemah untuk majlis pernikahan dan persandingan terpaksa dibuka semula.

KLANG: Pasangan pengantin baharu terpaksa melupakan hasrat bersanding selepas rumah mereka dinaiki air di Taman Klang Perdana, Sementa, di sini.

Ammar Imran Abdol Aziz, 26, berkata pelamin dan khemah makan beradab yang siap dipasang semalam, terpaksa dibuka semula selepas banjir kilat melanda taman perumahan mereka.

“Sepatutnya saya nikah hari ini, tapi rumah dah naik air. Dewan tempat majlis pun banjir. Kami kena nikah dekat Masjid Sementa.

“Majlis batal, tapi nikah tetap jalan. Pelamin semua kena buka balik. Khemah sudah siap pasang tapi memang tak boleh pakai. Tak sangka air naik sebegini cepat. Ini kali pertama kawasan perumahan kami dinaiki air tinggi macam ini,” katanya kepada FMT.

Pasangannya Nurul Ain, 26, turut terperangkap dalam banjir kilat di taman perumahan itu.

Pasangan pengantin ini reda majlis persandingan mereka terpaksa ditunda.

“Saya datang semalam (rumah pengantin lelaki), nak berinai. Tiba-tiba hujan lebat dan air naik. Sudah cabut pelamin, saya terperangkap, tidak boleh balik ke rumah, ” kata bakal doktor itu.

Media melaporkan kawasan Klang dilanda banjir kilat selepas hujan sepanjang hari di daerah itu.

Pengerusi Taman Perumahan Klang Perdana, Abdol Aziz Sahat, memberitahu ini kali pertama banjir seperti itu berlaku, sehingga ada penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, hampir 2,000 orang terjejas melibatkan 500 keluarga.

“Dijangkakan jam 12 malam semalam hingga 2 pagi air akan surut. Tapi ia tak surut. Jabatan kaji cuaca meramalkan hujan akan turun dalam dua tiga hari lagi. Ramai yang pertama kali, selepas 30 tahun hadapi benda ni, jadi akan paniklah,” katanya.

Sementara itu, Osman Abu Hassan, 62, berkata taman perumahan berkenaan pernah dua kali dinaiki air akibat air pasang namun ia kembali surut.

Penduduk perumahan mula meninggalkan rumah dan pergi ke PPS di Sekolah Agama Sementa, Klang.

“Rumah saya turut dimasuki air. Alhamdulillah, barang perabot sempat saya alihkan ke tempat lebih tinggi,” katanya.

Seorang lagi penduduk taman berkenaan, Syukri Ali memberitahu Taman Klang Perdana berada berdekatan laut yang memburukkan lagi banjir di perumahan itu.

“Taman Klang Perdana berada di bawah paras air laut. Tapi inilah kali pertama dalam 26 tahun banjir begini berlaku,” katanya.

Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini memberi amaran fenomena air pasang besar berlaku di Pelabuhan Klang yang akan menyebabkan banjir di Klang bertambah buruk.

Semalam, sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dan Telok Gong antara paling terkesan dengan kenaikan air sehingga ke paras pinggang.

Kawasan lain terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.