`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 27, 2022

Ada pihak bawa agenda sendiri punca MN tergendala, dakwa Hadi

 

Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa ada pihak yang cuba membawa agenda persendirian untuk mengubah agenda perpaduan umat sehingga menyebabkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) tergendala.

“Namun, perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat.

“PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani,” kata Hadi dalam catatan Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS mengambil pendekatan politik taawun (saling tolong-menolong dalam hal kebaikan) dan akan menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan terpesong daripada konsep itu.

Katanya, kerjasama yang terbentuk itu mempunyai sempadan, iaitu hanya melibatkan perkara seperti perpaduan umat berasaskan Islam.

“Namun, PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

“Malah, PAS juga tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

“Meraikan kemungkaran semata-mata kerana menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip adalah konsep taawun yang salah dan berdosa,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga tidak akan rebah susulan kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat.

“PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin dan ahlinya tidak lemah sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah, masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.