`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 7, 2022

Fokus PH tawar calon terbaik, menang PRN baru umum MB, kata PKR

 

PKR bersama komponen dalam PH akan menamakan calon Menteri Besar selepas rakyat memberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, menurut Saifuddin Nasution.

BATU PAHAT: PKR menegaskan parti itu buat masa ini mahu menumpukan calon yang terbaik ditawarkan kepada rakyat Johor berbanding mengumumkan calon Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata parti itu bersama komponen dalam PH akan menamakan calon Menteri Besar selepas rakyat memberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN).

“Saya katakan buat masa ini fokus kami adalah menawarkan calon terbaik kami pada rakyat.

“Setelah itu, bila rakyat memberikan mandat dan keyakinan, biar dasar lawan dasar. Bukan calon lawan calon. Ia bukan soal meletakkan calon Menteri Besar untuk dipadankan dengan calon Menteri Besar,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sebab PH tidak mencalonkan Menteri Besar mereka lagi.

Pada 3 Mac lalu, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang Maszlee Malik menafikan cakap-cakap politik kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar jika PKR dan PH diberi mandat pada PRN Johor.

Saifuddin berkata sejarah PKR masuk bertanding dalam pilihan raya sebelum ini juga pernah tidak mengumumkan calon Menteri Besar mereka.

Beliau memberi contoh seperti tahun 2008, ketika Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak, sebelum itu tiada sesiapa mengenalinya.

“Tidak ada umum. Lepas rakyat bagi mandat, Nizar dipilih menjadi Menteri Besar dan dia seorang Menteri Besar sangat efektif untuk semua kaum,” katanya.

Rakyat serik

Dalam pada itu, Saifuddin menyanggah pandangan yang dimomokkan rakyat sudah serik undi PH selepas 22 bulan memerintah kerajaan.

Beliau mempersoalkan adakah semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memerintah kos sara hidup rakyat dan harga barang semakin baik.

“BN dan PN hari-hari bergaduh sesama mereka. Bergaduh itu politik yang pentingkan diri sendiri dan bukan untuk rakyat. Berbeza PKR tampilkan calon yang bawa ‘track record’ perkhidmatan bersifat dekat dengan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata kenyataan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno bahawa BN menyasarkan kemenangan dua pertiga di Johor adalah jelas hanya untuk memperkukuhkan kuasa mereka.

Beliau berkata, apabila mendapat kuasa seperti masa ini, mereka angkuh sehingga SOP Covid-19 juga dilanggar.

“Kenyataan tersebut jelaslah motif sebenar PRN Johor dipanggil oleh Umno ialah untuk kukuhkan kuasa mereka. Tatkala perebutan kuasa dalam kerajaan antara BN dan PN, yang penting bagi mereka adalah kuasa.

“Dominasi inilah legasi keangkuhan diwarisi Umno, BN mahu dikembalikan. Selepas dapat kuasa anjur majlis besar-besar yang membazir dan SOP ke laut,” katanya.

Semalam, Ismail berkata BN menyasarkan kemenangan dua pertiga pada PRN Johor.

Beliau melihat peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini cerah, namun gabungan parti itu tidak mahu hanya memperoleh majoriti mudah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.