`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, March 20, 2022

Hanya kestabilan politik, pemimpin integriti dan pengalaman mampu ‘selamatkan’ ekonomi, kata Johari

 

Johari Ghani berkata, Malaysia sangat memerlukan kestabilan politik selain pemimpin berpengalaman untuk menyelamatkan ekonomi negara.

PETALING JAYA: Malaysia amat memerlukan kestabilan politik segera selain pemimpin berpengalaman, cekap, dan berintegriti untuk menyelamatkan ekonomi yang semakin merosot, malah tercorot berbanding negara lain di rantau ini, kata Johari Ghani.

Bekas Menteri Kewangan II itu juga memberi amaran hutang negara yang mencecah RM1 trilion akan menambah tekanan ke atas kewangan kerajaan yang sudah pun sesak.

“Daripada hutang RM686 bilion pada 2018, (ia) telah mencecah lebih RM1 trillion iaitu peningkatan RM320 billion. Dengan hutang-hutang yang begitu tinggi, pembayaran faedah juga makin bertambah sehingga mencecah (iaitu) lebih RM42 bilion setahun.

“Sedangkan pendapatan negara tidak berkembang selari dengan perbelanjaan kerajaan,” kata Johari kepada Mingguan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata semua perangkaan penting seperti pendapatan per kapita dan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia amat merudum, khususnya apabila dibandingkan dengan negara jiran.

“Dari segi KDNK tahun 2021, ekonomi kita berkembang paling corot jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain (selain Singapura). Kita hanya berkembang 3.1%. Berbanding Filipina 7.4%, Kemboja 6.8%,Vietnam 6.7% dan Indonesia 6.1%,” kata beliau.

Prestasi hambar ekonomi menjadi isu penting di sebalik desakan Umno mahu PRU15 disegerakan pada perhimpunan agung Umno (PAU) yang berakhir semalam. Desakan itu, antara lain, demi mengembalikan kestabilan politik yang terjejas susulan kemenangan mengejut Pakatan Harapan pada PRU2018.

Walaupun PH ditumbangkan 22 bulan kemudian menerusi Langkah Sheraton, pembentukan kerajaan baharu bawah Muhyiddin Yassin, yang melibatkan beberapa parti, termasuk Umno, PAS dan Bersatu, tidak mengembalikan kestabilan politik. Sebaliknya keyakinan terhadap kerajaan semakin terhakis.

Johari, berkata peningkatan pendapatan per kapita Malaysia juga amat rendah berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara.

“Kita di kedudukan tercorot berbanding rakan-rakan lain di rantau ASEAN. Pendapatan per kapita Malaysia hanya berkembang 0.3% manakala Vietnam 4.4% dan Indonesia 4.0%,” kata beliau.

Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia juga sudah “terkebelakang” jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain. Pada tahun 2021 Malaysia hanya memperolehi FDI bernilai USD11.1 bilion berbanding Vietnam USD31.1 bilion dan Indonesia USD31.6 bilion.

Johari berkata adalah sukar untuk mengembalikan Malaysia ke tahap pencapaian ekonomi ketika di bawah teraju Barisan Nasional, selagi tidak ada strategi jangka pendek dan panjang berkesan digubal.

Namun, usaha itu hanya boleh dilakukan dengan memulihkan kestabilan politik dengan mendapat mandat baharu yang meyakinkan daripada rakyat, kata beliau.

Beliau berkata mandat menyakinkan itu akan membolehkan “kerajaan (baharu) menggubal dan melaksanakan polisi-polisi yang tidak popular bagi membaik pulih semula ekonomi ini tanpa menyebabkan kerajaan itu akan dijatuhkan.”

Beliau juga menekankan keperluan negara mempunyai pemimpin berpengalaman dan cekap selain berintegriti dan di yakini rakyat bagi untuk membina semula ekonomi negara.

“Ia sangat penting kerana apabila rakyat percaya kepada pemimpin, maka sesuatu polisi yang dibuat dan dilaksanakan oleh pemimpin tersebut untuk kepentingan masa depan negara, akan mendapat sokongan rakyat, walaupun polisi itu tidak popular, tetapi (ia) memberi kebaikan untuk generasi akan datang,” kata Johari. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.