`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 7, 2022

Kalau skandal 1MDB, kleptokrasi tak relevan, mengapa undi BN di Melaka tak meningkat? soal Salahuddin

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, PH akan terus memainkan isu skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’ dan kleptokrasi kerana pengundi atas pagar serta bandar menyedari kesan skandal seperti itu.

BAKRI: Skandal 1MDB, kes rasuah membabitkan ‘kluster mahkamah’ dan kleptokrasi masih relevan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk terus dijadikan modal dan senjata politik dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor menentang Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, jika isu tersebut dianggap lapuk dan tidak memberi kesan kepada pengundi sudah pasti undi yang diterima BN meningkat, namun sebaliknya berlaku apabila sokongan diterima gabungan itu tidak bertambah walaupun ia berjaya membentuk kerajaan di Melaka.

“Kalau isu itu tak berkesan saya rasa ramai pengundi atas pagar akan lari menyokong mereka (BN) di PRN Melaka. Di Melaka memang membuktikan Umno tak boleh lagi meningkatkan undi, mereka hanya dapat ‘undi putih’ sahaja.

“Sebab itu isu tentang negara, isu ‘kerajaan mencuri’ ini tetap relevan.

“Ini kerana generasi muda, golongan bijak pandai masih percaya kalau Umno-BN kembali berkuasa maka masa depan negara dalam keadaan sangat bahaya,” katanya semasa wawancara bersama FMT.

Katanya, PH akan terus memainkan isu itu kerana pengundi atas pagar serta bandar menyedari kesan skandal seperti itu boleh menyebabkan pelabur lari dan seterusnya merugikan negara.

Salahuddin, yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berkata, kekalahan gabungan itu pada PRN Melaka bukan disebabkan ia gagal menunaikan janji semasa menjadi kerajaan, sebaliknya pengundi luar takut untuk pulang mengundi kerana wabak Covid-19.

Katanya, situasi di Johor berbeza kerana pengundi tidak lagi takut untuk pulang mengundi memandangkan pemberian vaksin lengkap telah selesai dan boleh melindungi mereka.

Mengambil kira keadaan itu, beliau yakin nasib PH di Johor tidak akan sama seperti Melaka dan BN tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan 2/3 di negeri itu.

Jelasnya, walaupun BN berjaya menawan Melaka, parti itu sebenarnya kalah dari segi jumlah undi popular apabila berjaya membentuk kerajaan hanya dengan 42% undi tersebut.

“Kalau orang tanya bolehkah kita kalahkan Umno, sebenarnya Umno dah kalah di Melaka. Undi mereka tak meningkat, BN hanya bentuk kerajaan dengan 42% undi popular.

“Kali ini perhitungan rakyat di Johor dan Melaka akan berbeza. Kita kena letak ‘tagline’ ‘kerajaan mencuri’ lebih bahaya daripada Covid-19 dan rakyat kena keluar mengundi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.