`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, March 8, 2022

Kuari runtuh: Operasi mencari, menyelamat 2 mangsa ditangguh

 

Mior Faridalathrash Wahid berkata, operasi dijangka mengambil masa dua hari untuk melakukan proses mengeluarkan mangsa. (Gambar Bernama)

IPOH: Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini ditangguhkan petang ini.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid, berkata ia berikutan pergerakan tanah masih dikesan berlaku di sekitar kawasan runtuhan batu, selain keadaan faktor cuaca tidak mengizinkan.

“Ini kerana kita tidak mahu dalam usaha (pasukan keselamatan) melakukan operasi, ada insiden yang tidak diingini berlaku. Kita menunggu keizinan dari pihak JMG (Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia) dan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), sebelum proses mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.

“Operasi ini dijangka mengambil masa kira-kira dua hari untuk melakukan proses mengeluarkan mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian yang turut disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman, di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Mior Faridalathrash berkata, kejadian seumpama itu merupakan kali pertama berlaku di kawasan itu, dan syarikat yang mengendalikan kerja-kerja kuari tersebut mempunyai lesen yang sah.

Dalam pada itu, beliau berkata dua mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua mangsa yang mengalami kecederaan iaitu Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, yang hanya cedera ringan.

Kedua-dua mereka telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita masih lagi menyiasat punca sebenar runtuhan itu berlaku. Berdasarkan siasatan, hari ini tiada proses letupan kuari dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, taburan hujan yang tinggi sejak dua minggu lalu antara punca berlakunya runtuhan kuari itu.

“Batu kapur mengandungi kalsium karbonat yang mudah larut apabila terkena air dan mengakibatkan terbentuknya rongga pada batuan terbabit. Ini menyebabkan struktur batuan berkenaan lemah dan berlakunya kegagalan muka cerun seterusnya batu boleh runtuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zukni berkata pihaknya telah pun menghantar beberapa pegawai bagi melakukan pemantauan di lokasi kejadian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.