PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang penyiaran nama dan gambar anak Loh Siew Hong.
Perintah larangan itu juga membabitkan nama Muslim yang digunakanan anak-anak itu susulan penukaran agama dilakukan bapa kandung mereka, pada 2020.
Mahkamah membenarkan permohonan larangan itu yang dibuat peguam Hanif Khatri Abdulla, mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), ketika pendengaran permohonan mencelah dalam petisyen penceraian antara Loh dan bekas suaminya, Muhammad Nagahswaran Muniandy, menerusi persidangan video, hari ini.
Peguam Loh tidak membantah perintah itu.
MAIPs memohon untuk mencelah untuk menukar terma penjagaan anak-anak yang diberikan kepada Loh dalam petisyen penceraian, bagi membolehkan tiga anaknya, kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun, mendapat akses kepada bantuan, panduan dan pendidikan berkenaan Islam.
Majlis itu berkata, memandangkan keislaman tiga anak Loh didaftarkan di Perlis, maka ia bertanggungjawab memastikan “mereka mendapat akses ke atas segala hak dan kepentingan sebagai saudara baharu beragama Islam”.
Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters, menetapkan 28 April untuk mendengar permohonan pencelahan dikemukakan MAIPs.
Srimurugan Alagan dan Shamsher Singh Thind mewakili Loh. Manakala, Zainul Rijal Abu Bakar, Aidil Khalid dan Danial Farhan, mewakili MAIPs. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.