`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, March 17, 2022

Mak cik dah dapat RM200 masa kempen

 

Sebenarnya mak cik tak hairan pun kalau ada mana-mana betina dapat sebuah rumah banglo mewah berharga 40 juta ringgit di Chelsea atau Liverpool. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Sebenarnya mak cik tak berapa nak kisah kalau siapa pun jadi pemimpin. Kalau ada tanah sesiapa kena ambil untuk buat projek bola, pun mak cik tak cakna. Mak cik tak ada perasaan on atau off pun dengan sesiapa. Mak cik cuma on dan terangsang bila nampak duit ungu dalam sampul itu. Yang tak mahu beri RM200 dan hanya cerita pasal tekanan air rendah, duit KWSP, dan pasal laptop budak; itu mak cik serasa off. Siapa pun perintah, janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Kalau Putin datang sini dan dia beri 200, Putin pun mak cik sanjung, Putin baik. Putin dermawan. Putin prihatin. Putin stabil.

Dengan wang 200 itu mak cik sudah pun membeli barangan dapur, dan peti ais sudah dipenuhkan. Malah, barang-barang basah macam ikan kembung, sotong, ikan pari dan ayam tiga ekor itu sudah lama jadi tahi, masuk dalam pembentung Indah Water, dan sudah dikitar semula jadi baja pun. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari, terlungkup atau terlangkup negeri, mak cik tak ambil peduli sangat.

Jadi apabila budak nama Faisal Tehrani itu datang menyapa mak cik dan menerangkan perihal satu titah diraja pada 14 Ogos 2018, daripada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di International Malaysia Law Conference 2018 bertempat di Royale Chulan, Kuala Lumpur; mak cik sebenarnya tak berapa nak endah. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Apa Chulan-Chulan?

Budak nama Faisal Tehrani itu ada ustaz Azam sebut yang dia syiah, dan dia liberal, dan dia sokong Cina yang tak suka Forest City. Faisal itu mesti budak Atuk. Justeru apabila budak nama Faisal Tehrani itu menceritakan perihal sebuah konferens dengan tajuk “Raising the Bar: Innovate, Integrate and Emulate” mak cik melongo sajalah. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Si Faisal itu nak anti rasuah ke, nak anti mana-mana sundal ke, nak anti mana-mana Kak Long yang ada maki staf KFC ke; janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari.

Memang budak nama Faisal Tehrani itu ada beritahu mak cik betapa Sultan Nazrin dari Perak menekankan perihal kedaulatan undang-undang dalam titah dia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 itu. Mak cik tak berapa faham sangat benda-benda yang orang kata pengubahan wang haram. Gubah wang hukumnya haram ke? Sebab yang mak cik tahu wang kalau pemimpin beri atas nama sedekah, itu semua halal. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari.

Si Faisal itu ada beritahu mak cik mengenai titah Sultan Nazrin yang rumusannya begini; ‘perubahan kerajaan baru-baru ini (ketika tahun 2018) memberikan kesempatan untuk mengukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini. Undang-undang yang mengekang kebebasan individu sedang dilihat kembali. Ada langkah untuk membetul dan menyegarkan institusi melibatkan demokrasi, dan pentadbiran merangkumi aspek pilihan raya, Dewan Rakyat, kehakiman, penguatkuasaan dan usaha-usaha membanteras dan membaiki keadaan untuk menggendalakan rasuah.’

Mak cik rasa absurd sedikit. Mak cik manalah baca kolum FMT. Mak cik baca dan beriman dengan grup Whatsapp. Kalau video Youtube kata Putin itu bos, mak cik malah akan melatah, wah puting aku bos.

Siap budak Faisal itu siap baca titah Sultan dalam bahasa Inggeris:

“The recent change of government here in Malaysia has given fresh impetus to efforts to strengthen the rule of law in the country. Laws that are deemed restrictive of individual liberties are being reviewed. Efforts are underway to remove undue constraints on the media. Steps are being taken to remedy and revitalise the core institutions of democracy and good governance, including the Elections Commission, parliament, the judiciary, the regulatory and enforcement agencies and the anti-corruption commission. We look forward to all these important initiatives reaching full fruition. The people of Malaysia and the country deserve no less.”

Kalau bukan sebab dia menyebut nama Sultan Nazrin, mak cik memang dah usir dia. Sebab ada singgung raja, suhu feudal dalam pembuluh darah mak cik terus mencanak. Apa Sultan bijak itu titah mak cik tak berapa nak reti. Lagipun, reformasi institusi ini haiwan apa? Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari.

Kemudian si Faisal Tehrani itu membebel yang Sultan Nazrin bertitah lagi betapa warga negara mestilah sedar yang demokrasi dengan kedaulatan undang-undang itu sangat penting. Bahawa baginda berpesan akan tanggungjawab demokrasi serta kedaulatan undang-undang itu tidak berakhir di kotak undi. Yang lebih mak cik terpinga ialah bila Faisal Tehrani bilang, dalam titah diraja Sultan Nazrin itu baginda cukup-cukup mengingatkan rakyat tidak boleh memilih atau menyokong keputusan kehakiman yang sesuai dan cocok mengikut selera kita sahaja. Sebab kedaulatan undang-undang itu utama dalam hal sebenar keadilan ini:

“Citizens need to recognize that democracy without the strong rule of law is merely demagoguery by another name. Voters must understand that their responsibility to democracy and the rule of law does not end at the ballot box. Voter education tends to focus on the holding of free and fair elections and little else. But a healthy and functioning democracy is not just one that gives voice to different constituencies at election time, as noisy and fractious as this process may be. Rather, it is one in which the law creates a boundary beyond which none, no matter how powerful, may trespass without penalty. Citizens must grasp that a robust rule of law means that they cannot pick and choose amongst judicial decisions, supporting only those which favour their own interests, and rejecting the very concept of the rule of law when it goes against them. A ‘whole-of- society’ approach, in contrast, requires that all develop an innate respect for the rule of law and for legal institutions, even when individual rulings contravene their own interests.”

Argh, janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Mak cik tak peduli sangat on atau off pemimpin di atas. Kedaulatan undang-undang? Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari.

Bila anak mak cik telefon memberitahu yang, ‘Gayah mungkin tak dapat nak balik Raya dan kena sukat sedikit duit kiriman bulanan sebab harga minyak dah naik’; mak cik ada rasa terkilan sedikit. Tak bolehkah Gayah berjimat? Bila anak mak cik pandai blame mak cik, memang mak cik meletup macam Kak Long maki staf KFC lah. Sebab, janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. 200 itu bukan rasuah. Itu sedekah. Yang beri kepada mak cik itu sambil sengih-sengih ada meyakinkan, ‘Ini bukan sogok mak cik.’

Mak cik tak ambil tahu pun kalau ada mana-mana betina dilenjan dan beroleh sebuah rumah banglo mewah berharga 40 juta ringgit di Wales atau Edinburgh. Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Sebenarnya mak cik tak berapa nak perhati kalau siapa pun jadi pemimpin. Mak cik tak ada perasaan on atau off pun dengan sesiapa. Mak cik cuma on dan berahi tak khabar bila nampak duit ungu dalam sampul. Kalau tak dapat ungu, dapat jingga banyak-banyak keping pun jadi. Tak pun, dapat duit hijau yang licin-licin itu pun dah ok, boleh juga beli kangkung.

Sebenarnya kurang ajar kalau menyalahkan pengundi Johor bila harga minyak naik. Babi tonyok sungguh sesiapa yang memadankan muda pengundi Johor kerana harga minyak meningkat. Sebab, janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari. Sebab dengan 200 itu mak cik kenyang berbelanja barang-barang basah macam ikan, kerang, kepah dan ayam seekor. Semua itu sudah melintas usus mengetul jadi barisan tahi, dah hancur-hancur leper tercurah dalam pembentung Indah Water, bahkan lama sudah diproses kembali sampai menjadi baja.

Janji mak cik dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari, terlungkup atau terlangkup negeri, mak cik tak ambil peduli sangat. Tapi sampai Gayah tak mahu balik Raya serta menyalahkan mak cik yang tak berapa on dan off dengan persoalan kepimpinan, itu mak cik dendam. Tapi sekali fikir, ‘janji aku dah dapat RM200 masa kempen tempoh hari.’ -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.