`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 15, 2022

Menang besar PRN Johor, ‘timing’ PRU, nasib MN bakal warnai PAU 2021

 

Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula esok dijangka menjadi persada pucuk pimpinan parti menguatkan desakan akar umbi yang mahu PRU15 disegerakan, susulan kemenangan bergaya di Johor, dan sebelum ini Melaka.

Pada PRN Johor Sabtu lalu, BN meraih 40 daripada 56 kerusi DUN untuk kemenangan melebihi majoriti 2/3, berbanding Perikatan Nasional tiga, Pakatan Harapan 12 dan MUDA satu kerusi.

Desakan supaya PRU diawalkan tanpa menunggu tamat tempoh penggal kerajaan berkumandang di Johor, namun ditepis oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno.

Tentunya beliau tidak boleh mudah menolak desakan yang sama jika dibuat pada PAU – badan tertinggi Umno.

Penganalis politik, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani tidak menolak kemungkinan PAU kali ini akan disusuli dengan PRU15 dalam masa terdekat.

“PAU kali ini agak istimewa kerana mungkin PAU terakhir sebelum PRU15 kerana terdapat desakan untuk PRU diadakan, tapi dalam masa sama akan ada juga pemilihan Umno,” katanya kepada FMT.

Spekulasi bertebaran bahawa kalangan pemimpin Umno tidak mahu Ismail melanjutkan memorandum kerjasama dengan Pakatan Harapan yang tamat Julai ini, sebaliknya mahukan beliau membubarkan Parlimen.

Ini untuk meneruskan rentak kemenangan besar yang dikecapi Umno selaku tonggak BN pada PRN Johor dan Melaka, khususnya menumpaskan PN yang merangkumi Bersatu dan PAS – yang turut bersaing dengan Umno untuk undi Melayu.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata pimpinan parti tidak menyekat perwakilan menyuarakan sebarang isu – asalkan tidak sensitif – pada PAU itu.

Justeru, selain PRU15, persoalan menarik ialah sama ada perwakilan akan mengupas hubungan Umno dan PAS, khususnya dalam konteks Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan dua parti itu pada 2019.

Pada tahun berikutnya, PAU meluluskan resolusi menggesa parti itu memperkukuhkan kerjasama dengan PAS tetapi mahu hubungan dengan Bersatu diputuskan.

Bagaimanapun, susulan tindakan PAS bekerjasama malah memperkukuhkan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu, masa depan MN ibarat hidup segan mati tidak mahu.

Oleh demikian, perwakilan kali ini berkemungkinan memberi isyarat jelas kepada parti mengenai masa depan MN, jika PAS terus berpaut pada Bersatu.

Sebarang pendirian menolak MN mahupun PAS dijangka memberi tamparan kepada pemimpin tertentu Umno, seperti Annuar Musa yang kerap menggesa Umno tidak menolak PAS mahupun Bersatu.

Alasan bahawa Umno-BN tidak boleh memenangi PRU tanpa PAS dan Bersatu yang kerap dikitarkan oleh PAS dan pemimpin tertentu Umno, dilihat tersasar bersandarkan keputusan PRN Johor dan Melaka.

Melihat situasi ini, Azizuddin berpendapat PAU kali ini akan menjadi titik noktah hubungan berkenaan berdasarkan keputusan PAS bersama PN terutamanya pada PRN Johor.

“Jadi akan ada desakan untuk ditamatkan hubungan itu dalam PAU,” kata beliau, yang juga pensyarah kanan politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM).

Di Johor, selain PH dan PN, Umno-BN dicabar 13 parti lain, namun gabungan itu meraih majoriti, meskipun undi popular untuk gabungan itu hanya 43%.

Selain 33 kerusi yang dimenangi Umno, parti komponen seperti MCA dan MIC turut bangkit semula dengan memenangi empat dan tiga kerusi untuk memperlihatkan kemampuan BN menarik sokongan Melayu dan bukan Melayu.

Segala faktor ini memperkuatkan keyakinan pemimpin seperti Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan, bahawa Umno-BN dalam keadaan kukuh untuk bertanding sendiri pada PRU, tanpa Bersatu mahupun PAS.

Selain itu, soal siapa menteri besar dijangka akan menjadi tumpuan susulan spekulasi Hasni Mohamad tidak terpilih, meskipun beliau disebut sebagai calon gabungan itu ketika BN berkempen dan akhirnya meraih majoriti 2/3 apabila pengundian selesai.

Belum dipastikan apakah yang mendorong Hasni semalam untuk mencadangkan pucuk pimpinan Umno memilih ‘orang muda’ untuk memimpin Johor, namun perkembangan terbaharu ini membuatkan Ketua Umno Johor Bahru, Shahrir Samad, sendiri berasa “malu hendak ke PAU”, menurut kenyataan.

PAU akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac di Kuala Lumpur. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.