`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 21, 2022

PAU berakhir, Ismail Sabri masih tertekan?

 

Tidak seperti yang dijangka ramai, usul mendesak PRU15 diadakan segera tidak muncul pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam. Adakah ini “mengecewakan” Presiden Umno dan orangnya?

Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hasan, serta beberapa perwakilan pro-Presiden sebelum ini dengan jelas dan lantang mahu PRU diadakan secepat mungkin. Itu dilihat tekanan buat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun pada sidang media di akhir PAU, Zahid menegaskan Umno “tidak menekan Perdana Menteri membubarkan Parlimen kerana menghormati keputusan Kabinet yang dianggotai pelbagai parti selain BN”.

Lalu beliau menyerahkan kepada “kebijaksanaan” Perdana Menteri menentukan bila PRU akan diadakan walaupun menjangka pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya “sebelum atau selepas Julai ini”.

Penganalis, pemerhati, juga pengamal politik percaya jika usul mendesak PRU diadakan segera dibawa dan diluluskan PAU, Ismail akan tertekan. Umum tahu beliau dan penyokongnya mempunyai pandangan berbeza daripada Zahid dan tim berhubung bila PRU mesti diadakan.

Namun pada ucapan penggulungannya Ismail selaku Naib Presiden Umno memberitahu perwakilan beliau akan berbincang dengan ‘top five’ Umno (presiden, timbalan presiden, dan naib presiden) dan “jika yakin akan menang kita tidak akan tunggu satu saat pun untuk bubar Parlimen untuk PRU15”.

Persoalannya, menurut Hisomuddin Bakar, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, menilik secara mendalam “adakah semua ini akan dilakukan tanpa syarat? Bagaimana nasib dan kedudukan penyokong beliau (Ismail) yang diberikan pelbagai gelaran? Apa jaminan politik yang diberikan, terutamanya peluang untuk bertanding bagi mereka yang masih berminat meneruskan perjuangan di dalam parti dan kerajaan?”

Menurut penganalisis politik, Oh Ei Sun, Ismail sekadar “berlengah-lengah” untuk melanjutkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri.

Pun begitu bagi Hisomuddin, selepas ucapan penggulungan Ismail, “nampaknya nada presiden dan timbalan presiden Umno seakan menjaga air muka naib presiden berkenaan”.

Apa pun kalau benar Zahid “kecewa” dengan tiadanya usul segerakan PRU15, satu lagi hasratnya terkabul apabila PAU bersetuju pemilihan parti ditangguh selama enam bulan selepas PRU diadakan.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk dalam Umno sendiri meramalkan Zahid akan dicabar, kemungkinan besar oleh Ismail. Itu semua kini tidak membawa apa-apa makna dengan keputusan PAU menangguh pemilihan parti selepas PRU kerana Zahid akan kekal sebagai presiden sehingga PRU15 diadakan.

Dilihat pada sudut ini beberapa pemerhati politik berpendapat Zahid sudah “menang” kerana “mengawal segalanya sekarang manakala Ismail tunduk”.

Kata Oh, selaku presiden parti, Zahid akan memutuskan siapa calon pilihan raya Umno dan “kemungkinan besar akan mencalonkan ‘loyalist’ – orang yang setia kepadanya dan beliau boleh berada pada kedudukan mengenepikan Ismail sendiri”.

Tetapi pada ucapan penggulungannya, Zahid membayangkan Ismail diizin meneruskan memegang jawatan perdana menteri jika Umno-BN memenangi PRU15.

Memilih calon pilihan raya adalah kuasa mutlak presiden seperti diperuntukkan peraturan dan perundangan parti.

“Apakah presiden akan menandatangani watikah calon kepada mereka yang dikatakan gunting dalam lipatan?” tanya Hisomuddin.

Zahid dalam ucapan dasarnya pada hari pertama PAU kerap menyebut tindakan musuh dalam selimut.

Menurut Hisomuddin, semua ini termasuk dalam perundingan Ismail dan Zahid bagi memastikan situasi menang-menang. Namun “jika gagal kesepakatan dicapai mungkinkah keluarga Umno akan bergolak kembali?”

Kata beliau apa yang dihurai ialah spontan setelah meneliti apa yang berlaku dalam Umno tetapi “nampak tak terhenti disini.” - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.