`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 26, 2022

PAU dulu dan sekarang

 

Artikel ini bukan mengenai pau daging, pau ayam, mahu pun pau kaya. Ini bukan promosi juadah buka puasa kerana Ramadan hampir tiba. Ini mengenai Perhimpunan Agung Umno atau singkatnya, PAU.

PAU secara tradisi pentas mencetus agenda yang mempunyai impak terhadap orang Melayu yang memerlukan bantuan dan pembelaan. Khususnya berhubung sosio ekonomi dan kebajikan.

Waktu Perikatan dan kemudian Barisan Nasional yang tulang belakangnya Umno, memerintah negara, begitulah keadaannya. Secara am, ada juga perkara “pelik” berlaku. Namun bukan yang “pelik” menjadi tumpuan penulisan ini.

Tumpuan terhadap agenda Melayu. Itu lah yang saya selaku wartawan nampak ketika mengikuti perkembangan Umno dan membuat liputan PAU ketika presidennya 0Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, dan Najib Razak.

Sekarang PAU nampaknya lain pula. Jika Umno mahu mengutarakan ide membantu orang Melayu seharusnya ia dilakukan pada PAU yang baharu berlalu, kerana negara masih terhoyong-hayang akibat Covid-19 .

Namun sebelum berbicara lanjut mengenai PAU zaman ini kita imbau PAU zaman lalu bersama wartawan veteran Zin Mahmud, yang pernah mengikuti perjalanan Umno secara dekat dan meliputi PAU secara menyeluruh terutamanya ketika beliau bertugas di akhbar Utusan Malaysia milik Umno .

“Umumnya PAU dulu fokus pada membincangkan isu-isu orang Melayu dan nasional berhubung dengan dasar dan pelaksanaan kerajaan,” kata Zin. Benar. Seperti dikatakan tadi, itu zaman Umno mengemudi Perikatan dan BN memerintah negara.

Kata Zin lagi, PAU merupakan lanjutan Kongres Melayu yang membawa kepada Umno sebelum Merdeka. “Dari resolusi PAU ia akan dibawa ke mesyuarat BN dan Kabinet untuk dilaksana,” kata beliau.

Di samping itu menurut Zin, PAU menjadi medan untuk mengkritik pembangkang dan ada kalanya membawa kepada tindakan menekan pembangkang. Ini kita sudah lihat pada PAU zaman lalu. Serangan, tekanan, dan tindakan keras ke atas DAP dan PKR khususnya .

Pada PAU tempoh hari serangan tertumpu kepada Bersatu walaupun parti itu duduk dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno. Tiada tindakan keras ke atas Bersatu kerana mungkin Menteri Dalam Negeri disandang orang Bersatu?

Atau Ismail selaku ketua kerajaan tidak setuju? Bukan rahsia Bersatu (dan juga PAS yang duduk dalam Perikatan Nasional) ‘senang’ dan menerima Ismail Sabri meskipun Umno bersengketa dengan mereka.

Kritikan dan serangan juga dilancar ke atas PAS pada PAU tahun ini. Meskipun tahun lalu PAS disanjung kerana telah bersama Umno menubuhkan Muafakat Nasional. Kini MN hampir mati. Maklumlah Umno dan PAS nampaknya “berperang” sudah.

Kata Zin lagi, apabila ada krisis dalaman terutama ketika ada pertandingan, PAU menjadi medan menghentam pihak lawan. (Izinkan saya mencelah. “Menghentam pihak lawan” khususnya yang mencabar kepimpinan).

“Ia berlaku pada zaman Datuk Harun mencabar kepimpinan, Ku Li lawan Musa, Anwar lawan penentangnya” kata Zin.

Beliau merujuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda Umno tahun 70-an. Ku Li lawan Musa ialah “pertempuran” sengit antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Musa Hitam merebut jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1981 dan 1984. Manakala “Anwar lawan penentangnya” merujuk kepada ketika Anwar Ibrahim berlawan dengan musuh politiknya dalam Umno sebelum dipecat pada 1998.

Izin saya menambah. Krisis dalaman Umno terjadi pada 1987 ketika Tengku Razaleigh bergabung dengan Musa mencabar gandingan Mahathir dan Ghaffar Baba. Pertempuran yang amat parah yang menyaksikan Umno berpecah.

Itu zaman lampau. Seperti dikatakan tadi sejak kebelakangan PAU “berwajah” lain.

“Apabila Umno hilang kuasa mereka tak dapat terima keadaan ini. Maka tumpuan mereka adalah mendapatkan kembali kuasa penuh. Mula-mula dalam PAU mereka berpakat dengan PAS untuk menjatuhkan PH. Dah PH, mereka nak jatuhkan PN pulak. Bila PN dah jatuh, mereka nak kuasai kerajaan sepenuhnya melalui PRU segera setelah menang besar di Melaka dan Johor,” menurut Zin. Sekali lagi betul apa yang dikata beliau.

PAU tempoh hari hanya beri tumpuan kepada PRU dan menekan atau mendesak Ismail supaya mohon perkenan Yang di Pertuan Agong bubar Parlimen untuk membolehkan PRU15 diadakan segera .

Lalu PAU tidak lagi ikut tradisi mengutarakan agenda Melayu. Tidak ada cakap mengenai “isu-isu orang Melayu dan nasional berhubung dasar dan pelaksanaan kerajaan” seperti dinyatakan Zin tadi.

Tidak ada resolusi pro-Melayu daripada PAU untuk dibawa ke Kabinet untuk dilaksanakan seperti amalan dulu-dulu. Secara peribadi saya berpendapat sebenarnya yang diharapkan ialah cadangan pro-rakyat – membantu semua bangsa tetapi diakui orang Melayu yang paling terkesan akibat pandemik.

Sebaliknya yang ada dan didengari daripada presiden ke perwakilan pro-presiden ialah cakap-cakap mengenai perlunya PRU diadakan segera. Kita tahu rentak PAU ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Maka timbullah kata-kata seperti “you are sleeping with the enemy“ dan “strike while the iron is hot”. Istilah Inggeris yang ditujukan kepada Ismail yang hanya beberapa minggu lalu mengarahkan perwakilan Malaysia menggunakan Bahasa Melayu apabila berucap di persidangan luar negara demi memperkasakan Bahasa Kebangsaan.

Malah, Ketua Puteri Umno tergamak menggunakan anatomi lelaki dan bersuara lantang menggunakan juga Bahasa Inggeris, “our balls are bigger than yours”. Makna dalam bahasa lembut Puteri Umno mendakwa mereka lebih jantan daripada jantan.

Sebenarnya bak kata wartawan A Kadir Jasin, “kata orang-orang yang tahu, bola besar yang dirujuk oleh Zahia Zarik Khan itu bertujuan mencabar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan PRU lebih awal”.

Ramai yang menyifatkan kata-kata itu kurang ajar dan biadap terhadap seorang yang lebih tua daripada orang yang mengeluarkan kata-kata itu. Mereka sedih malah marah kerana ia dilakukan oleh seorang pemimpin muda Umno, parti Melayu-Islam yang menggelar dirinya pejuang dan pembela bangsa dan agama.

Persoalan penting ialah adakah presiden parti malah pimpinan tertinggi Umno merestui gelagat Ketua Puteri Umno itu? Jika tidak restu adakah mereka sudah menegur atau menasihati beliau? Atau ambil tindakan mungkin?

Apa pun, mungkin oleh kerana tidak ada ‘desakan’ untuk program membantu rakyat dibawa secara jelas oleh pimpinan tertinggi di PAU, maka Ismail sendiri ‘terpaksa’ mengumumkan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaannya untuk meringankan beban rakyat terutama pada waktu mencabar ini.

Contohnya, pengeluaran khas KWSP, insurans keluarga miskin, juga pampasan kepada keluarga Muhammad Adib anggota bomba yang meninggal dunia pada insiden di kuil berdekatan Subang Jaya pada 2018.

Seperti dipaparkan pada artikel saya yang lalu, mungkin Ismail sedang berkempen menjelang PRU. Apa pun, nampaknya beliau terpaksa menggalas tanggungjawab memacu agenda Melayu dan rakyat umumnya pada PAU lalu, kerana presiden tidak atau kurang berbuat demikian.

Mungkin tindakan Ismail itu dilihat berkempen untuk Umno-BN? Atau untuk sendiri? Atau kerajaan pimpinannya? Waullahualam. Namun jika ada pujian pun, berhubung langkah-langkah yang diumumkan itu tentunya ia ditujukan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri dan bukan kepada PAU.

Walaupun tidak ada resolusi desak PRU15 diadakan seger pada PAU tempoh hari, yang jelas, kata Zin “PAU kali ini adalah untuk pembubaran Parlimen.

Saya melihat agenda khusus untuk membela Melayu dan rakyat amnya pada PAU nampak terabai dalam keghairahan pimpinan tertinggi Umno mahu PRU disegerakan untuk mencapai kemenangan majoriti besar yang tentunya akan menguatkan kedudukan Presiden dan timnya.

Ini andainya Umno menang PRU15. Persoalannya akan menang? Pasti? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.