`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 18, 2022

Peguam bela utama kes bunuh Nhaveen meninggal dunia

 

Kematian Ranjit Singh Dhillon adalah kehilangan besar bagi fraterniti guaman, menurut Pengerusi Majlis Peguam Pulau Pinang, S Ravi Chandran.

GEORGE TOWN: Peguam bela utama dalam kes pembunuhan T Nhaveen, Ranjit Singh Mahinder Singh, atau lebih dikenali sebagai Ranjit Singh Dhillon, meninggal dunia hari ini pada usia 60 tahun.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi tadi, menurut seorang teman rapatnya.

Beliau yang jatuh sakit kira-kira dua bulan lepas dimasukkan ke Hospital Island di sini atas penyakit yang tidak diketahui dan difahamkan kemudiannya dibawa ke IJN untuk rawatan lanjut.

Ranjit meninggalkan dua adik-beradik, Dr Jeswant Singh dan Jagjeet Kaur.

Perbicaraan pembunuhan Nhaveen, yang sepatutnya diteruskan minggu lepas, ditangguhkan ke bulan depan selepas Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu bahawa Ranjit sedang cuti sakit.

Pengerusi Majlis Peguam Pulau Pinang, S Ravi Chandran berkata, kematian Ranjit, iaitu pengamal undang-undang jenayah terkemuka di negeri itu, adalah kehilangan besar bagi fraterniti guaman.

“Beliau adalah senior yang sedia berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan junior dan menjadi mentor kepada ramai peguam jenayah di Pulau Pinang,” katanya kepada FMT.

Ranjit layak menjadi peguam pada 1988 selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM), menurut rakan lamanya, Theeba Jothi Jayaram.

Mereka sama-sama belajar di Sekolah Stowell, Bukit Mertajam dan kemudian di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam sehingga Tingkatan Enam. Mereka berdua turut melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di UM, tetapi Theeba menjadi junior Ranjit.

“Ranjit seorang yang bersifat girang dan suka bergaul, tetapi tegas dan teliti ketika mengendalikan kes.

“Saya terkejut mendengar berita pemergiannya. Beliau akan dirindui,” kata Theeba. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.