KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dalam masa terdekat, lebih awal daripada jangkaan akhir tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang memperhalusi beberapa faktor agar majikan tidak mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan gaji minimum untuk mengurangkan tenaga kerja.
“Kerajaan mencadangkan pelaksanaan gaji minimum baharu dalam masa terdekat, bukan pada akhir tahun ini memandangkan ekonomi negara ketika ini bertambah baik dan kebanyakan perniagaan dilihat berkembang dan menunjukkan trend pemulihan,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan perkara itu ketika menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta kerajaan menyatakan alasan untuk melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 pada akhir tahun.
Dalam soalan tambahan, Kulasegaran yang juga Menteri Sumber Manusia ketika era pentadbiran Pakatan Harapan mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil masa lama untuk menetapkan paras gaji minum selepas ia kali terakhir disemak pada 2020.
“Pada Jan 2020 kita (kerajaan PH) semak gaji minimum, jadi saya tanya kenapa sehingga sekarang (kerajaan) belum berbuat demikian? Adakah kerajaan tak sedar kos sara hidup sudah naik terlampau tinggi hingga ramai pekerja hadapi masalah rumit.
“Adakah kerajaan tiada ‘political will’ untuk atasi masalah yang senang saja. Janganlah kita ingat masa pilihan raya saja kita memberi keutamaan kepada B40 sebenarnya ramai di antara rakyat Malaysia tidak ingin bekerja sekarang kerana gaji minimum terlalu kurang,” kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu.
Bagaimanapun, soalan itu dicelah Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) yang menyindir Kulasegaran mengapa tidak melaksanakan gaji minimum ketika menjadi menteri di kementerian berkenaan.
“Saya nak tanya Ipoh Barat, dia jadi menteri 22 bulan kalau betul hebat dah buat masa itu dah… mesti ada kekangan dia bukan dia tak nak buat. Masa jadi Menteri Sumber Manusia, patutnya Ipoh Barat selesaikan, kalau ada ‘political will’ seperti yang disebutkan. Ini semua cakap tak serupa bikin, buat manifesto berpuluh-puluh,” sindir Azeez.
Menteri kemudian bangun mengulangi pendirian kerajaan Keluarga Malaysia bahawa sudah bersedia untuk mengumumkan gaji minimum RM1,500 dalam masa terdekat.
“Kerajaan dah bersedia untuk umumkan gaji minimum dalam masa terdekat tetapi kita sedang perhalusi dan meneliti beberapa faktor di mana kita tidak mahu majikan lain ambil kesempatan gaji minimum dan mengurangkan pekerja mereka, sekali gus membantutkan usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran negara,” katanya.
Kadar pengangguran negara merekodkan penurunan daripada 5.3% ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (pkp) pertama pada 2020 kepada 4.2% pada hari ini.
“…dan dalam usaha menurunkan 4% ke bawah, kami tidak mahu majikan ambil kesempatan gaji minimum dan kurangkan pekerja maka kita sedang perhalusi, dan saya bagi jaminan di dewan mulia ini kita akan umumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Kali terakhir gaji minimum dinaikkan adalah pada 1 Feb 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.