`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 8, 2022

Purata hujan lebih sebulan dalam 2 jam, punca banjir kilat, kata Menteri

 

Hujan berkenaan menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi menyebabkan air bertakung di kawasan terjejas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: Hujan lebat melebihi purata hujan sebulan yang direkodkan dalam tempoh dua jam sahaja menjadi penyebab berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart, di Kuala Lumpur, dengan bacaan 106.5 milimeter (mm) dan 155mm di Stesen Air Panas dalam tempoh sama.

“Dalam tempoh setahun, bacaan hujan adalah 2,500mm menjadikan purata bacaan 200mm sebulan, namun dalam tempoh dua jam sahaja bacaan yang direkodkan adalah melebihi 206mm.

“Ia menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi menyebabkan air bertakung di kawasan berkenaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tuan Ibrahim berkata, aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak berada pada aras bahaya dengan bacaan 31.99 meter (m).

“Aras air Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing merekodkan 30.38m dan 30.12m. Insiden banjir kilat ini menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Lebuhraya Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6 meter.

“Dianggarkan 103 rumah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, di sini, akibat banjir kilat,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah supaya berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.

“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

“Sekiranya hujan lebat serta air pasang laut berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Antara jalan yang teruk dilanda banjir kilat di sekitar ibu negara membabitkan Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Pasir Baru dan Kolej Telekom. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.