`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, March 12, 2022

Sultan Selangor sah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Istana perjelas laporan kedudukan JAKIM

 

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad berkata susulan rundingan dengan kerajaan yang mencapai kata sepakat, Majlis Raja-raja memilih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengerusi MKI.

PETALING JAYA: Laporan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diletakkan bawah bidang kuasa Majlis Raja-raja susulan mesyuarat majlis berkenaan baru-baru ini adalah “kurang tepat dan boleh mengelirukan”, kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad.

Dalam satu kenyataan, beliau bagaimanapun mengesahkan Majlis Raja-Raja membuat ketetapan jawatan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan disandang oleh salah seorang raja pemerintah secara bergilir selama dua tahun, dengan perdana menteri sebagai timbalannya.

Jawatan pengerusi majlis itu sebelum ini disandang oleh perdana menteri.

Syed Daniel berkata susulan rundingan dengan kerajaan yang mencapai kata sepakat, Majlis Raja-raja memilih Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai pengerusi MKI.

“Ketetapan ini selaras dengan perakuan yang dipersembahkan kepada raja-raja oleh Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan…yang berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak bawah bidang kuasa dan budi bicara raja-raja pemerintah, adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang raja pemerintah,” menurut beliau.

Katanya, pelantikan pengerusi MKI sebelum ini sememangnya dibuat oleh Majlis Raja-raja dan Perdana Menteri, sejak majlis itu ditubuhkan pada 1968.

Dalam kenyataan itu, Syed Daniel berkata laporan media sebelum ini yang memetik sebuah akhbar sebagai berkata JAKIM diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja susulan mesyuarat majlis berkenaan baru-baru ini, sebagai kurang tepat, justeru “kenyataan ini dikeluarkan untuk memberikan pencerahan”. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.