`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, March 27, 2022

Tidak Setuju Pandangan Jumud Terhadap Martabat Bahasa Melayu

 

(Malaysia Gazette) – Rencana tulisan Mergawati Zulfakar bertajuk Lost In Translation yang tersiar dalam akhbar The Sunday Star kelmarin (27 Mac 2022) keseluruhannya mempersoalkan keputusan dan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengangkat Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Sandaran hujahnya ialah pendapat beberapa orang pegawai diplomat yang tidak pula disebut namanya.

Keraguan tentang keupayaan bahasa Melayu atau lebih tepat tidak perlunya bahasa kebangsaan digunakan di peringkat antarabangsa bukan sikap dan pendirian baharu.

Hujah bahawa dunia kini dunia kosmopolitan dan bahasa Inggeris sudah begitu selesa digunakan sekian lama untuk perhubungan antarabangsa sudah menjadi klise dan “kepercayaan” basi yang dalam beberapa hal karut.

Saya katakan karut kerana di dunia bukan hanya bahasa Inggeris yang kerap digunakan tetapi banyak bahasa dunia yang lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Rusia, Belanda, Swiss, Sepanyol, Mandarin, Arab dan lain-lain.

Hujah pertama yang digunakan oleh Mergawati untuk menolak penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa ialah kerana di mana-mana mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikatakan hanya enam bahasa rasmi PBB yang disediakan terjemahan serentak.

Bagaimanapun, ini sebenarnya hanya isu teknikal.

Penulis sendiri mengatakan kemudahan terjemahan diberikan jika pemakluman awal diberikan dan negara terbabit sanggup membayar kos terjemahan.

Demi maruah negara, adakah kos terjemahan yang merupakan satu bentuk pelaburan negara tidak boleh diperuntukkan? Saya maklum bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing mengambil langkah sedemikian.

Bahkan peratusan negara yang menggunakan bahasa kebangsaan lebih tinggi daripada peratusan negara yang menggunakan bahasa Inggeris.

Hujah kedua pula adalah disandarkan kepada pendapat seorang diplomat muda bahawa keputusan Perdana Menteri untuk mencadangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN kononnya merupakan satu keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa, iaitu hanya sesudah lawatan Perdana Menteri ke beberapa buah negara ASEAN.

Diplomat muda itu dan penulis mungkin tidak menyedari bahawa cadangan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN telah bergema sejak tahun 1980-an dalam kalangan sarjana dan persatuan di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan bahkan Filipina.

Dalam Sidang Tahunan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pun cadangan itu saban tahun dijadikan resolusi. Untuk makluman, MABBIM, selain dianggotai oleh Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, turut disertai oleh Singapura dan Thailand sebagai anggota pemerhati.

Begitu juga Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang merupakan sebuah majlis yang merancang dan memantau perkembangan Sastera Melayu/Indonesia di rantau ini.

Penubuhan MASTERA telah dipersetujui pada asasnya oleh tiga negara pendiri Iaitu Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam Kongres Bahasa Melayu Sedunia pada 25 Ogos 1995. MASTERA telah diputuskan sebagai sebuah majlis serantau yang mewakili lembaga pemerintah setiap negara anggota. Keanggotaannya terdiri daripada tiga kelompok, iaitu negara pendiri, negara ahli dan negara pemerhati.

Soal sejak penubuhannya pada tahun 1967 segala dokumen ASEAN adalah dalam bahasa Inggeris tidak menghalang cadangan untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN.

Ini kerana secara realitinya wujud 300 juta orang penutur bahasa Melayu di sejumlah besar negara anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand (khasnya di bahagian selatan) dan di bahagian tertentu Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos, Myanmar dan Timor Leste.

Pandangan bahawa tidak perlu tradisi berbahasa Inggeris dalam ASEAN ditukar menurut perkembangan dan keperluan ialah pandangan dan sikap jumud.

Pendapat bahawa penggunaan bahasa selain bahasa Inggeris akan mengurangkan kecekapan komunikasi peringkat antarabangsa adalah jelas meleset.

Sekian banyak negara menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuarat atau forum antarabangsa dalam bahasa masing-masing dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain. Adakah negara-negara itu gagal dalam misi antarabangsa mereka?

Saya ada pengalaman yang sahih kerana dihantar oleh kerajaan bertugas di universiti di negara Republik Rakyat China selama lebih lima tahun.

Semua mesyuarat dengan wakil negara asing berlangsung dalam bahasa Mandarin sebagai bahasa kebangsaan dan diterjemahkan ke dalam bahasa negara tamu (Arab, Sepanyol, Turki, Thailand, Belanda dan lain-lain).

Adakah penulis hendak mengatakan bahawa Republik Rakyat China gagal di peringkat antarabangsa dengan kedudukannya sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia?

Saya juga ada pengalaman juga di Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan bahkan beberapa buah negara Eropah yang mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing.

Penilaian peribadi bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang sederhana mendorong Perdana Menteri mengusulkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa ialah pandangan nakal yang tidak objektif dan kehilangan arah.

Warganegara Malaysia sepatutnya berbangga mempunyai pemimpin yang berusaha melonjakkan maruah negara, termasuk melalui bahasa negara.

Pemimpin negara yang bahasa Inggerisnya sehebat penutur jati bahasa Inggeris sekalipun wajar bersifat patriotik dengan mengangkat asas jati diri negara.

Jika bahasa Inggerisnya tidak setara dengan penutur jati bahasa itu, sebenarnya tidak ada sebab untuk kita berasa rendah diri kerana bukan semua pemimpin dunia menguasai bahasa asing dengan cukup baik.

Kualiti kepemimpinanlah yang utama, termasuk usaha mengangkat maruah negara di mata dunia. Bahasa asing perlu dikuasai dan perlu digunakan di tempatnya yang wajar tetapi bukan penghalang usaha mengangkat martabat bahasa negara.

Demikian juga, prasangka bahawa usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa hanya menjadi alat politik tidak wajar dijadikan hujah kerana ia adalah buruk sangka tanpa bukti semata-mata.

Semua pihak mesti membantu pemimpin menjayakan cita-cita ini pada saat ruang terbuka. Sikap “Anglophile” tidak wajar mengaburkan mata hati kita.

Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan adalah Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.