IPOH: Vijayakumaran Gengan, 50, bangga dengan anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, namun jauh di sudut hati, mekanik itu sebenarnya resah.
Bapa itu sedar anak lelakinya, Naveenkumar, 18, yang berjaya memperoleh 8A dan 1B memerlukan wang serta komputer riba untuk menyambung pengajiannya kelak.
Namun pendapatan yang tidak menentu menyebabkannya mustahil baginya menyediakan kemudahan itu untuk Naveenkumar.
“Ada satu masa, saya langsung tiada motosikal untuk dibaiki dan terpaksa membuat kerja sambilan. Naveenkumar selalu bantu saya baiki motosikal pelanggan.
“Saya selalu berfikir adakah saya boleh memberikan kehidupan terbaik kepada anak-anak. Ada masa, saya tidak ada duit untuk diberi kepada anak untuk ke sekolah,” katanya kepada FMT.
Vijayakumaran sebelum ini bekerja sebagai mekanik di sebuah kilang selama 13 tahun, sebelum terbabit kemalangan yang menyebabkan kakinya patah.
Dia diberikan cuti sakit selama dua minggu, namun Vijayakumaran mengambil cuti tambahan selama satu hari yang akhirnya menyebabkan dia dibuang kerja.
“Perkara itu menyebabkan pengurus syarikat tersebut marah dan mereka memberhentikan saya serta-merta. Saya merayu supaya tidak diberhentikan namun gagal. Selepas itu, saya mula membaiki motosikal di halaman rumah demi menyara keluarga,” katanya.
Mujur isterinya, Deivaletchumy Arumugam, 52, sudi membantu meringankan beban dengan bekerja di sebuah kilang berdekatan rumah di Taman Mas, Buntong.
Vijayakumaran berkata, dia turut mengambil upah menyanyi lagu Tamil dalam apa saja majlis, namun undangan diterima amat sedikit.
“Anak saya akan memohon masuk ke menara gading. Dia akan memerlukan sedikit wang pendahuluan dan komputer riba. Kami berharap ada pihak boleh membantu,” katanya.
Naveekumar, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pari merupakan anak keduanya. Anak sulungnya, Janani Vijayakumaran, 20, kini melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan kimia di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), turut mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, iaitu 8A.
Vijayakumaran berkata, harapan kini disandarkan kepada dua anaknya itu supaya boleh mengubah kehidupan mereka sekeluarga. - FMT
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu mesej kami di WhatsApp FMT Helpline @ 019 3899839.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.