PETALING JAYA: Susulan keluhan pengusaha kantin berikutan penyelarasan harga makanan yang terikat dengan kontrak sekolah, segelintir ibu bapa meluahkan kebimbangan jika berlaku kenaikan harga makanan di kantin kelak.
Bapa kepada dua anak, Mohamad Syafiq yang juga dari golongan B40 berkata, dia terpaksa mencari ikhtiar penyelesaian lain iaitu sama ada menambah wang saku atau menyediakan bekal bagi anaknya jika harga makanan di kantin betul-betul naik nanti.
“Agak tersepit juga sedangkan saya baru memulakan perniagaan sendiri tahun lepas. Setakat ini wang saku sebanyak RM3 atau RM4 masih cukup untuk anak, tapi kalau harga naik nanti, naik RM1 sebenarnya pun jurang banyak.
“Bagi saya, pihak sekolah tidak perlu menaikkan harga makanan di kantin pun, sebab saiz (catuan) makanan yang diambil budak sekolah tidak banyak sangat. Mereka makan hanya untuk kenyang sewaktu sarapan pagi sahaja, kalau nak kurangkan ‘portion’ sedikit saya masih boleh terima,” katanya kepada FMT.
Suri rumah, Syarifah Laili yang mempunyai lima anak mengakui terpaksa menaikkan wang saku anaknya sekiranya harga makanan di kantin naik dengan melampau.
“Tak pasti harga ada naik ke tak, tapi biasanya saya bagi wang saku sebanyak RM3, cukup untuk membeli sepinggan nasi goreng biasa sahaja yang harganya mencecah RM2.
“Kalau seorang anak mungkin tidak terasa dengan kenaikan harga itu, tapi bagi yang mempunyai anak ramai seperti saya pasti terasa, biarpun naik 50 sen,” katanya.
Menurut seorang lagi bapa kepada tiga anak, Muhammad Ridzuan, agak sukar untuk mengetahui sama ada harga makanan di kantin akan naik kerana prosedur operasi standard (SOP) sekolah tidak membenarkan ibu bapa masuk ke dalam kawasan sekolah.
“Sebelum ini abang dan kakak hanya diberi wang saku sebanyak RM4 sahaja. Sekarang wang saku bagi anak ketiga saya sudah naik sampai RM6, pun tidak cukup lagi. Dulu dapat beli nasi lemak biasa dengan telur sahaja dengan RM2, tapi masa ini telah naik sampai RM3.50,” katanya.
Menurutnya, dia tidak dapat membayangkan jika perlu menambah berapa banyak lagi perbelanjaan persekolahan untuk anaknya sekiranya langkah penyelarasan harga makanan di kantin dilaksanakan.
Seorang lagi bapa, Rashid yang dari golongan M40 pula berkata, dia terpaksa akur dengan keputusan kerajaan berikutan kenaikan mendadak semua barang mentah.
Bagaimanapun, dia berharap sebarang kenaikan itu tidak terlalu tinggi sedangkan wang saku sebanyak RM3 bagi anaknya setakat ini masih mencukupi.
“Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah pengusaha kantin dengan pemberian subsidi mahupun pelanjutan tempoh kontrak, bukan sekadar naikkan harga sahaja,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.