`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 13, 2022

Pendirian PAS tidak berubah, tetap tolak kerjasama DAP, PKR, kata Sanusi

 

Sanusi Md Nor berkata, tidak timbul isu PAS belum bersedia berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disebabkan tiada ‘khemah besar’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PAS konsisten menolak kerjasama politik bersama DAP dan PKR berbanding Umno yang didakwa bersikap ‘talam dua muka’ apabila menjalin ‘hubungan sulit’ dengan PKR seperti didedahkan bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa.

Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Md Nor berkata, disebabkan itu PAS menolak pembentukan ‘khemah besar’ yang didakwa akan turut disertai oleh Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, keputusan itu muktamad dan dinyatakan oleh Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini.

“Itu pendirian PAS, maka tidak timbul lah isu kononnya PAS belum bersedia berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disebabkan tiada ‘khemah besar’.

“Sebelum Umno atau mana-mana pihak dapat hidu mengenai cadangan ‘khemah besar’ itu, Abdul Hadi dan Jawatankuasa Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian menolak sebarang kerjasama politik dengan DAP dan PKR,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, pendedahan Annuar pada tahun lalu mengenai akuan bersumpah (SD) membabitkan sokongan pengerusi BN dan beberapa kepimpinan Umno terhadap Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri membuktikan sikap sebenar parti itu.

“Berbeza dengan Umno kononnya menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar seperti dinyatakan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) tetapi presiden sendiri (Ahmad Zahid Hamidi) adakan ‘hubungan secara sulit’ dengan Anwar.

“Ia didedahkan melalui perbualan telefon dan surat SD kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Umno sokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Hal itu didedahkan sendiri oleh Anwar, hasil pertemuan sulit beberapa tokoh dalam Umno dengan beliau antaranya pada 13 Oktober tahun lalu,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Sanusi tegaskan adalah lebih baik untuk Umno melihat apa yang dilakukan oleh mereka berbanding menuding jari menyalahkan pihak lain.

“Umno Perak juga mengadakan kerjasama dengan DAP di Perak, ini bukan rahsia lagi,” katanya.

Kerjasama itu antara lain yang dipersetujui untuk berikan peruntukan sama rata kepada ADUN kerajaan, iaitu BN, PAS dan Bersatu selain DAP dan PH.

“Drama pembentukan kerajaan Perak selepas Ahmad Faizal Azumu ditumbangkan bukan rahsia. Jangan fikir rakyat tak tahu,” katanya lagi.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Umno Kedah yang mendakwa PAS belum bersedia berdepan pilihan raya menyebabkan parti itu menolak untuk diadakan PRU15 lebih awal.

Penolakan PAS itu dikaitkan dengan kemungkinan parti itu belum mendapat tempat dalam formula ‘khemah besar’ melibatkan PH yang turut disertai DAP dan Amanah.

Pada Sabtu, Sanusi dilaporkan berkata, Malaysia akan hancur sekiranya rakyat memilih ‘satu atau dua pemimpin gila kuasa’ yang hanya mahu menyelamatkan diri mereka untuk mentadbir negara.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Ahmad Zahid bahawa PAS tidak berminat mengadakan PRU15 lebih awal kerana bimbang kehilangan 18 kerusi dimiliki parti itu ketika ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.