`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 20, 2022

SPRM, bekas Exco Johor diminta fail afidavit nilai pasaran kenderaan mewah

 

Abdul Latif Bandi (tengah), anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latif (kanan) dan perunding hartanah Amir Sharifuddin Abd Raub meninggalkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas pendengaran kes. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan empat yang lain, termasuk bekas anggota Exco Johor, supaya memfailkan afidavit bagi menentukan nilai pasaran 21 kenderaan mewah yang dirampas daripada empat individu tersebut.

Ini bagi membolehkan mahkamah mengenakan sejumlah wang sebagai jaminan sekiranya panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah memutuskan untuk membenarkan permohonan mereka menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi.

Pada 19 Dis tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM untuk melucut hak harta milik bekas anggota Exco Johor Abdul Latif Bandi bernilai lebih RM6 juta.

Individu lain ialah anak lelaki Latif, Ahmad Fauzan Hatim, menantunya, Nur Shaliza Mohamad Salleh dan perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kenderaan mewah terbabit termasuk sebuah kereta Mercedes Benz G63 AMG, sebuah Bentley Continental GT Coupe, sebuah Land Rover Proversport, sebuah Porsche Cayenne, sebuah Nissan Skyline dan sebuah Toyota Vellfire.

Barangan lain yang dirampas ialah 16 jam tangan berjenama mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai mata wang asing melibatkan mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Keempat-empat mereka memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan, yang masih belum ditetapkan.

Hanipah mengeluarkan perintah itu selepas SPRM yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izahany Zainal dan peguam mewakili individu terbabit, Abdul Rahim Ali bersetuju untuk memfailkan afidavit bagi membantu mahkamah sekiranya panel hakim membenarkan penangguhan.

Hanipah yang bersidang bersama-sama Ahmad Nasfy Yasin dan Mariana Yahya memerintahkan pihak terbabit memfailkan afidavit selewat-lewatnya 30 Jun dan akan mendengar permohonan itu pada 5 Julai.

Terdahulu, Norzilati berkata, tidak ada keadaan khusus untuk membenarkan penangguhan itu.

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan empat pemohon memfailkan afidavit mengenai nilai pasaran kenderaan sebagai jaminan sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan permohonan mereka.

Rahim berkata, kenderaan itu tidak diselenggara dan dibaiki ketika berada di bawah jagaan SPRM bermula 2017 hingga 2019.

“Kira-kira RM500,000 dibelanjakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan selepas kenderaan dipulangkan kepada pemohon berikutan keputusan Mahkamah Sesyen,” katanya.

Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen menolak permohonan pelucuthakan SPRM dan mengarahkan harta rampasan itu dikembalikan kepada pemilik. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.