`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, June 14, 2022

Tak hadir mesyuarat PSC, Maszlee bidas Radzi, wakil KPM tak profesional

 

Maszlee Malik (kiri) kesal dengan tindakan Radzi Jidin dan wakil Kementerian Pendidikan tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen semalam.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik membidas Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dan wakil Kementerian Pendidikan (KPM) tidak profesional kerana tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) semalam.

Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen (JKPKP) itu bagi membincangkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan Radzi pada 2 Jun lalu.

Bekas menteri pendidikan itu berkata, JKPKP mahu KPM menjelaskan rasional pemansuhan PT3, persiapan serta alternatif terhadap keputusan itu.

“Hal ini amat dikesali kerana ianya meremehkan kuasa Parlimen dan merendahkan konsep pengasingan kuasa yang wujud di negara ini.

“Sikap tidak profesional ini juga menimbulkan seribu tanda tanya apakah yang menyebabkan mereka takut untuk berhadapan dengan Parlimen melalui JKPKP. Apakah yang ingin disembunyikan?” soalnya dalam kenyataan.

Oleh itu, Maszlee yang juga ketua JKPKP berkata, jawatankuasa itu akan menemui Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun bagi membincangkan ketidakhadiran Radzi dan wakil KPM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.