`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, July 10, 2022

‘Islam bukan bahan lawak’, pemimpin muda PAS, DAP kecam wanita tanggal pakaian tutup aurat

 

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Nasrudin Hassan dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, tidak bersetuju dengan tindakan wanita dalam persembahan lawak menanggalkan pakaian selepas berbusana menutup aurat.

PETALING JAYA: Pemimpin PAS dan DAP senada mengecam tindakan seorang wanita yang menanggalkan pakaian selepas berbusana menutup aurat kerana dianggap menghina Islam, dalam persembahan komedi di sebuah kelab, di ibu negara.

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Nasrudin Hassan, berkata Islam bukan “prop” untuk dijadikan bahan lantunan lawak sesuka hati, manakala Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, pula menyifatkan wanita itu bukan mahu membuat komedi, sebaliknya melakukan “kejutan bodoh”.

Nasrudin berkata, umat Islam perlu berhati-hati dalam tindakan ucapan agar tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci itu.

Beliau yang juga yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), berkata, wanita berkenaan dianggap mempersenda dan memperkecilkan Islam selepas tampil di khalayak dalam keadaan menutup aurat, termasuk mengaku menghafaz al-Quran, lalu “bangga” meleraikan satu persatu pakaian luaran sehingga separuh telanjang.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Dalam pada itu, Steven yang juga bekas timbalan menteri belia dan sukan, berkata beliau mahu pihak berkuasa adil dalam soal mengambil tindakan berhubung penghinaan agama.

“Nak buat kejutan tak perlu libatkan agama, tak kira agama apa, inikan pula buat benda yang tidak senonoh. Tiada tempat di Malaysia untuk perbuatan seperti itu!” katanya.

Beliau berkata, akan terus menyokong bakat komedi berdiri di negara ini.

“Jangan kerana seorang yang melampau semua jadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, wanita yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi berdiri ditahan polis, termasuk direman tiga hari, bermula hari ini.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek wanita itu ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ketika ini.

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjalankan siasatan awal berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam, baru-baru ini, yang berlaku di sebuah kelab, di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, wanita berusia pertengahan 20-an itu yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.

Susulan daripada kecaman ramai, pengurusan kelab komedi, Crackhouse Comedy Club (CH), mengutuk sekeras-kerasnya tindakan wanita itu yang didakwa menghina kesucian agama Islam menerusi perbuatannya.

Dalam kenyataannya, CH menyatakan selepas berlaku persembahan itu, individu terbabit termasuk pasangannya dilarang daripada kembali ke premis berkenaan. Pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.