`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, December 16, 2022

Kita boleh tahu siapa culik Amri Che Mat

 


Oleh sebab kerajaan telah berubah menjadi ‘lebih baik’, kita ada sebab untuk percaya yang menteri dalam negeri terkini di bawah Kerajaan Perpaduan akan sangat berbeza daripada Muhyiddin Yassin dari zaman Pakatan Harapan, mahupun Hamzah Zainuddin dari era Perikatan Nasional. Kita kini boleh tahu siapa penculik Amri Che Mat. Ini kerana kempen menteri yang menduduki jawatan menteri dalam negeri itu adalah ‘Kita Boleh’.

Amri Che Mat dihilangkan secara paksa pada malam 24 Nov 2016. Beliau keluar dari rumahnya untuk menemui seorang sahabat, kemudian tidak pernah lagi pulang. Terdapat saksi yang telah melihat lima buah kenderaan menghalang pergerakan kereta Amri, hanya kira-kira 550m dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis. Beliau diculik tanpa sebab diketahui. Kini, kita juga syukur boleh tahu siapa yang menculik Pastor Raymond Koh pada siang 13 Februari 2017 di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya.

Kedua-dua kes di atas sudah dirumuskan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai kehilangan paksa dalam satu inkuiri panjang bermula Oktober 2017. Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka. Pesuruhjaya Suhakam tatkala itu, Mah Weng Kwai, percaya individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara terbabit dalam penculikan tersebut. Dalam laporan akhir inkuiri melibatkan kehilangan mereka, Saiful Bahari Abdul Aziz disebut-sebut mempunyai maklumat mengenai kehilangan Amri. Panel Suhakam yang menyiasat kes kehilangan Amri mendakwa polis melakukan “usaha untuk mengaburkan” dan ini berkait dengan bekas pekerja kontrak Cawangan Khas itu.

Ahli keluarga Amri dan Koh berhak mengetahui apa yang berlaku terhadap orang tersayang. Dalam sebuah negara yang ada undang-undang; nasib setiap warganya mestilah dipertanggungjawabkan.

Sekarang kita boleh pula melihat bagaimana kerajaan hari ini akan bertindak untuk menjawab sendu doa Norhayati Mohd Arifin, isteri Amri yang dinafikan hak untuk mendakap suami tercinta. Kita juga akan melihat bagaimana menteri dalam negeri zaman Kerajaan Perpaduan ini akan berbeza daripada dua menteri sebelumnya. Beliau akan diadili bukan setakat pada SOSMA, tetapi kita akan melihat bagaimana beliau respon keputusan inkuiri Suhakam.

Saya percaya Tuhan tidak akan memberkati wewenang siapa pun yang berkerajaan dan bersemayam di atas tangis dan air mata. Saya menyatakan dahulu dan saya akan menyatakan sekali lagi sekarang. Kehilangan Amri akan kelak menjadi sumpahan terhadap mana-mana kuasa politik yang gagal melakukan apa pun.

Kita boleh mengetahui lebih lanjut, insyaallah.

Amri hanyalah pengasas kepada sebuah NGO yang kecil. Ditubuhkan pada 17 Oktober 2015, Perlis Hope diasas dan mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Beberapa hari selepas Perlis Hope ditubuhkan, iaitu pada 21 Oktober 2015, rumah Amri dikunjungi oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, bersama-sama pegawai daripada Jabatan Mufti berserta 20 orang pegawai polis yang diketuai oleh timbalan ketua polis Perlis. Akan tetapi ketika itu Amri tiada di rumah. Hal ini ada dibutirkan dalam keterangan Pengerusi Inkuiri Suhakam berkait kehilangan Amri pada 3 April 2019.

Pada 22 Oktober 2015, Amri ke Jabatan Mufti seperti yang diminta. Mesyuarat di situ turut dihadiri oleh seorang sarjan dari bahagian Cawangan Khas, Kangar, Perlis; seorang ahli Majlis Fatwa Perlis dan beberapa orang pegawai dari Jabatan Mufti.

Tup-tup pada 24 November 2016, Amri hilang. Akan tetapi kehilangan itu licik aturannya. Beliau sepatutnya ke Jitra, Kedah pada 11.30 malam. Pun, tatkala Amri memandu di Jalan Padang Behor kira-kira 550 meter dari rumahnya, seorang saksi iaitu Saiful Afdzan Seinei mendengar bunyi seakan-akan tayar dan kaca yang pecah lantas ternampak tiga buah kereta memintas laluan kereta Amri.

Tup-tup pada 25 November 2016, kira-kira jam 12.30 tengah malam, kereta 4WD Toyota Fortuner milik Amri dijumpai oleh Yousri Khalid, seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan terbengkalai di Bukit Chabang, Kangar, Perlis dalam keadaan beberapa cermin kereta dipecahkan. Melalui aduan yang dibuat oleh lelaki tersebut kira-kira 2.20 pagi, pihak polis mengesan kereta tersebut kepunyaan Norhafizal yang merupakan abang ipar kepada Amri.

Tup-tup pada 26 November 2016, iaitu dua hari selepas kehilangan Amri, Norhafizal dan Mohd Aizat Zahid, rakan terdekat Amri dari Perlis Hope ke tempat kejadian untuk memeriksa kawasan di sepanjang Jalan Behor, dalam usaha mengumpulkan info seputar kehilangan Amri. Mereka beroleh seorang saksi lain, Vee Yak dan lelaki tersebut memberi keterangan bahawa selama tiga hari berturut-turut sebelum kehilangan Amri, terdapat tiga buah kenderaan termasuk sebuah Toyota Vios bergilir-gilir meletakkan kenderaan berdekatan kedai bengkelnya. Disebabkan oleh perasaan kurang senang dengan keadaan tersebut, Vee sempat mencatat nombor plat Toyota Vios itu untuk simpanan beliau.

Dari keterangan Vee, kita maklum yang kereta tersebut dipandu kumpulan suspek yang sedang memerhati gerak-geri Amri sebelum beliau dilaporkan hilang. Bukti nombor plat tersebut kemudiannya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut. Setelah semakan dilakukan, polis mendapati nombor plat yang dilihat oleh Vee itu tup-tup palsu.

Kehilangan Amri tidak terbiar demikian sahaja. Seperti yang saya ungkit di awal, pada 21 April 2017, Suhakam menerima aduan daripada beberapa NGO dan ahli keluarga berkenaan kehilangan beberapa individu termasuk Amri. Susulan aduan diterima, Suhakam menjalankan beberapa temu bual dengan saksi-saksi yang disenaraikan dan membuat lawatan lapangan.

Tup-tup pada 5 Oktober 2017, Suhakam menubuhkan panel inkuiri yang terdiri daripada Pesuruhjaya Mah Weng Kwai, Pesuruhjaya Prof Aishah Bidin, dan Pesuruhjaya Nik Salida Suhaila Nik Salleh. Panel ini bertanggungjawab menjalankan inkuiri berkenaan kehilangan beberapa individu. Langkah ini merupakan kali pertama Suhakam menjalankan inkuiri terhadap kes yang berkaitan dengan Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan Semua Orang daripada Tindakan Penghilangan Paksa.

Kita semua masih ingat, tup-tup ketika 12 Mei 2018, seorang sarjan berkunjung ke rumah Amri untuk menemui Norhayati pada kira-kira 10.30 malam. Menurut Norhayati, sarjan tersebut memberitahunya bahawa Amri diculik oleh sepasukan pegawai dari sebuah Cawangan Khas, di bawah arahan orang atas. Ekoran dari itu pada 15 Mei 2018, Norhayati bertindak membuat laporan polis berdasarkan maklumat ini. Meskipun pada 18 Mei, tup-tup sarjan yang dinamakan tersebut membuat laporan balas bagi menyangkal dakwaan Norhayati. Pun, sesuatu yang penuh tanda tanya telah terjelma.

Pada 30 Mei 2018, Norhayati memberi keterangan buat kali kedua dalam siasatan Suhakam terhadap kehilangan suaminya. Norhayati dalam inkuiri tersebut mendakwa sarjan yang menemuinya mengaku bahawa suaminya diambil oleh pasukan sama yang mengambil Koh pada 13 Februari 2017.

Gabungan terbesar dalam Kerajaan Perpaduan hari ini menggunakan slogan ‘Kita Boleh’. Kaum minoriti memilih mereka sambil berdoa kerana setiap daripada mereka ingin percaya yang menteri dalam negeri terkini di bawah Kerajaan Perpaduan akan sangat berbeza daripada Muhyiddin dari zaman Pakatan Harapan, mahupun Hamzah dari era Perikatan Nasional. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.