`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, August 14, 2026

Hospital Pasir Gudang dijangka capai kapasiti operasi penuh Disember ini

 Status pengisian kakitangan HPG kini 48%, libat 1,075 petugas sejak mula buka Ogos tahun lepas, kata menteri kesihatan.

Haji Dr. Dzulkefly bin Ahmad
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, KKM kekal komited pastikan HPG dapat beroperasi secara optimum ikut perancangan fasa yang telah ditetapkan.
JOHOR BAHRU:
Pengisian kakitangan Hospital Pasir Gudang (HPG) akan dilakukan secara berperingkat dengan sasaran 66% menjelang September ini, sebelum mencapai kapasiti pengoperasian penuh merangkumi 304 katil dan 16 dewan bersalin pada Disember 2026.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini, status pengisian kakitangan HPG berada pada tahap 48%, melibatkan 1,075 petugas sejak mula dibuka pada Ogos tahun lepas.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang giat menggerakkan Pelan Tindakan Pengisian Kakitangan yang menyaksikan pengisian bagi Pegawai Perubatan (MO) berada pada paras 85.4%, iaitu 176 daripada 206 jawatan telah diisi setakat Selasa lepas.

“Urusan lantikan tetap pada tahun ini juga telah dibuka bagi melengkapkan baki kekosongan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

“Selain itu, HPG juga telah menawarkan 10 perkhidmatan kepakaran asas, manakala bidang ke-11, iaitu Oftalmologi bakal diperkenalkan dalam tempoh enam bulan akan datang.”

Dzulkefly berkata, kadar pengisian pakar perubatan pula dijangka melonjak kepada 48.05% apabila sembilan Pakar Pra-Warta melaporkan diri bermula bulan ini hingga selewat-lewatnya Februari 2027, berbanding 36.36% ketika ini.

Katanya, penempatan 80 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) baharu pada awal Oktober depan akan melonjakkan kadar pengisian daripada 68 kepada 91%, sementara kadar pengisian semasa jururawat, iaitu 32.24% pula dijangka meningkat kepada 40.42%, sejurus 70 jururawat tambahan melaporkan diri bulan depan.

“Bagi perjawatan yang merangkumi pelbagai profesion (termasuk juru X-ray, juruteknologi makmal perubatan, pegawai dietetik dan ahli fisioterapi), perolehan sumber manusia giat dilaksanakan secara progresif bagi meningkatkan kadar pengisian semasa yang kini berada pada paras 45%,” katanya.

Sebagai langkah interim, KKM turut melaksanakan pendekatan kluster dan pakar pelawat bagi menampung keperluan perkhidmatan di antara fasiliti yang mengalami kekurangan sumber.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan setiap pesakit diberikan perhatian sewajarnya berdasarkan penilaian klinikal serta rawatan pantas bagi kes-kes kecemasan.

Menyedari cabaran kekurangan tenaga kesihatan terutama bagi skim Jururawat dan Pakar Perubatan, Dzulkefly berkata pihaknya sedang giat melaksanakan reformasi berstruktur untuk penyelesaian jangka panjang.

Beliau berkata, inisiatif itu termasuk Pemerkasaan Laluan Kepakaran melalui peningkatan slot tajaan ‘parallel pathway’ kepada 600 slot setahun dan pemberian insentif kewangan seperti Bayaran Insentif Pakar dan Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW) kepada pegawai berkelayakan.

Selain itu, kapasiti pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM) ditambah kepada 3,000 orang bermula tahun lepas dan menyasarkan 5,000 pelatih menjelang Oktober 2027 menerusi pembukaan empat kolej baharu.

“Proses pengisian sumber manusia di HPG sentiasa dipantau rapi dan perlu dilaksanakan secara strategik serta tidak boleh dibuat secara drastik bagi satu-satu fasiliti sahaja,” katanya.

Dzulkefly berkata, KKM kekal komited bagi memastikan HPG dapat beroperasi secara optimum mengikut perancangan fasa yang telah ditetapkan, demi kemaslahatan dan kelangsungan kualiti penjagaan kesihatan rakyat Johor.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memohon perhatian KKM agar pengisian jawatan di hospital berkenaan dapat disegerakan supaya dapat beroperasi secara optimum bagi menampung keperluan kesihatan penduduk sekitar. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.