`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Friday, August 14, 2026

Isu TH: Asyraf Wajdi arah peguam serah notis kepada warganet

 Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tindakan terhadap individu yang didakwa berniat jahat melalui penyebaran dakwaan tidak benar.

asyraf wajdi
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini dilapor berkata cubaan mengaitkan beliau dengan pelbagai isu berkaitan TH adalah usaha untuk memburukkan imejnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengarahkan peguam menyerahkan notis tuntutan (LOD) bagi memulakan tindakan saman terhadap warganet berhubung dakwaan berkait isu Tabung Haji (TH).

Asyraf menerangkan tindakan itu diambil terhadap individu-individu yang didakwa berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruahnya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar.

“Saya telah mengarahkan peguam saya, Adnan Seman untuk menyerahkan LOD bagi memulakan saman fitnah sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun yang memfitnah dan sengaja mahu memburukkan dan menjatuhkan reputasi saya dengan mengaitkan dengan pelbagai isu TH,” katanya di Facebook.

Asyraf menjelaskan tindakan itu bagi memberi ruang kepada kebenaran dibuktikan menerusi proses pengadilan.


TH kembali menjadi perhatian rakyat susulan penerbitan laporan suruhanjaya siasatan diraja berhubung pengurusan dan operasi lembaga itu, dan pembentangan di Dewan Rakyat dalam suatu sidang khas pada Selasa.

Laporan RCI tentang TH itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.

Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan, lapor Bernama.

Terdahulu, Asyraf dilapor berkata cubaan mengaitkan beliau dengan pelbagai isu berkaitan TH adalah usaha untuk memburukkan imejnya, lapor Buletin TV3.

Asyraf menegaskan kedudukannya selaku timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) ketika itu tidak mempunyai kuasa untuk terbabit dalam operasi atau ketetapan dasar, termasuk menggantikan menteri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.