`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Wednesday, September 23, 2026

Bank Rakyat perkukuh agenda transformasi digital bersama Alibaba, Lenovo

 Kerjasama itu meliputi teknologi awan, AI, fintech dan perdagangan rentas sempadan selain membuka peluang baharu kepada PMKS Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sesi libat urus strategik Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo dalam lawatannya ke China. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Bank Rakyat memperkukuh agenda transformasi digitalnya menerusi libat urus strategik dengan Alibaba dan Lenovo bagi meneroka teknologi baharu, meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas sokongan kepada perniagaan Malaysia.

Libat urus itu yang diadakan sempena misi Bank Rakyat ke Shanghai, China, merangkumi bidang pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI), analitik data, fintech dan perdagangan rentas sempadan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, turut menyantuni sesi libat urus strategik Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo yang antara lain bertujuan memperkukuh kerjasama Malaysia-China dalam bidang teknologi digital, AI dan fintech.

Pengerusi Bank Rakyat, Mohd Irwan Mohd Mubarak, berkata libat urus berkenaan menjadi langkah penting dalam memperkukuh keupayaan digital bank itu ketika landskap perkhidmatan kewangan terus berkembang pesat.

“Melalui libat urus strategik ini, Bank Rakyat menggabungkan keupayaan teknologi global dengan pemahaman kami terhadap pasaran Malaysia untuk meneroka penyelesaian yang boleh meningkatkan pengalaman pelanggan, memperkukuh kecekapan operasi dan mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menerusi libat urus dengan Alibaba Cloud, Bank Rakyat akan meneroka penggunaan pengkomputeran awan, AI, analitik data dan penyelesaian digital lain bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia.

Bank Rakyat juga akan meneroka inisiatif membawa PMKS tempatan, khususnya pelanggannya, ke platform e-dagang Alibaba bagi membolehkan mereka memasarkan dan menjual produk kepada pasaran antarabangsa serta memperluas perdagangan rentas sempadan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lenovo akan dijemput menyertai Fintech Community Hub Bank Rakyat sebagai rakan ekosistem untuk membantu mengenal pasti syarikat fintech berpotensi bagi bekerjasama dengan bank itu menerusi program pemecutnya.

Kerjasama itu turut memanfaatkan rangkaian syarikat pemula dan fintech Lenovo bagi mengenal pasti rakan teknologi serta penyelesaian inovatif yang boleh dibangunkan dalam ekosistem Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, pula berkata penggunaan teknologi bukan hanya bertujuan mengubah perkhidmatan perbankan, tetapi juga memperkukuh ekosistem yang menyokong perniagaan Malaysia.

“Dengan bekerjasama dengan pemain teknologi global yang mapan, kami dapat mempercepat penerokaan dan penggunaan keupayaan yang menambah baik cara kami melayani pelanggan, memperkukuh operasi serta menyokong perniagaan dalam ekonomi yang semakin digital.

“Yang penting, libat urus ini membolehkan kami menghubungkan PMKS Malaysia dengan teknologi, platform digital dan peluang antarabangsa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.