Ketua penerangan PAS berkata setiausaha agung DAP perlu lebih berhati- hati guna kuasa selepas umum mahu berundur sebagai menteri.

Fadhli berkata, walaupun dari sudut undang-undang, Loke masih menteri kerana peletakan jawatan belum berkuat kuasa tetapi dari sudut tatakelola, ia mengundang persoalan.
Katanya, apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakan selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.
“Memang Loke belum menjadi ‘caretaker minister’ dalam pengertian undang- undang. Tetapi dari sudut tatakelola, semangatnya patut hampir sama, iaitu lebih berhati hati menggunakan kuasa selepas mengumumkan mahu berundur.
“Lagi besar sesuatu keputusan atau komitmen, lagi tinggi tahap berhati hati yang sepatutnya diamalkan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan berkata Loke dan rakan sejawatannya dari China, Liu Wei, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang mewujudkan kerangka kerja kerjasama dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim, dan udara, serta sektor logistik.
Fadhli berkata, nampak ‘pelik’ apabila Loke masih meneruskan jadual menteri seperti biasa termasuk menggadakan mesyuarat, pertemuan dua hala dan menandatangani MoU walaupun sudah buat pengumunan untuk letak jawatan.
“Kemudian selepas selesai semuanya, barulah hendak menguruskan soal peletakan jawatan. Jadi, bila sebenarnya proses ‘berhenti’ itu bermula?” soalnya.
Beliau juga menggesa Loke menyerahkan semua urusan besar kepada pengganti dan pastikan peralihan berjalan dengan teratur.
Loke, yang juga setiausaha agung DAP pada Sabtu mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri susulan pengampunan bersyarat diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Kementerian sebelum ini berkata, selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, Loke akan kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatannya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.