`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Wednesday, September 23, 2026

Politik identiti Malaysia

 Apakah yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan akan berlaku di Melaka?

Mohsin Abdullah

Ia berlaku di Johor, berlaku juga di Negeri Sembilan. Adakah ia akan berlaku di Melaka? Saya bercakap mengenai apa yang saya anggap ‘politik identiti’ dalam pilihan raya sebelum ini.

“Apa yang berlaku di PRN Johor dan Negeri Sembilan menjelaskan satu dapatan yang begitu menarik tapi hakikatnya menggusarkan,” kata seorang kawan yang membuat tinjauan di dua PRN berkenaan. Kata kuncinya ialah ‘menggusarkan’.

Seterusnya, kata kawan saya, “politik asalnya bergerak dari idea reformasi atau perubahan kembali ke pangkuan identiti”. Semasa artikel ini ditulis, pengumuman mengenai pembubaran DUN Melaka baru saja dibuat maka tentulah persoalan di minda saya ialah adakah yang ‘menggusarkan’ akan berlaku di Melaka.

Terus terang saya tidak suka politik identiti. Tetapi menurut profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Zainal Abidin Sanusi, ada beberapa aspek serta interpretasi mengenai ‘politik identiti’.

Siapalah saya untuk mempertikai seorang ahli akademik maka ada eloknya saya tidak menggunakan istilah ‘politik identiti’ untuk penulisan ini. Namun menegaskan apa yang saya kata tadi ialah saya tidak suka taktik politikus mengambil sesuatu perkara untuk dijadikan isu perkauman, di samping meniup atau membakar sentimen ras untuk mendapat sokongan di peti undi.

Mungkin istilah tepat untuk saya gunakan ialah ‘politik perkauman’. Istilah ini dulu sering digunakan.

Berbalik kepada kawan saya tadi yang meninjau PRN Johor dan Negeri Sembilan pada Julai dan Ogos lalu. Kata beliau:

“Tanah ini milik Melayu, kami orang asal, yang lain adalah pendatang, jangan besar kepala, sedarlah hidup menumpang. Semua konotasi ini jelas kedengaran dalam siri kempen, penerangan dan serangan.”

Menurut pemerhati politik ada juga terjadi semasa kempen di Negeri Sembilan, apabila pemimpin DAP iaitu Anthony Loke dituduh mahu jadi menteri besar meskipun tidak benar. Tetapi ada pengundi termakan kata-kata bohong itu.

Bak kata kawan saya, frasa berbaur provokatif bergulir lalu berkembang menjadi sentimen yang dipegang dan naratif yang dipercayai sehingga berjaya mencipta gelombang yang membadai dua negeri itu.

Hampir pasti politikus yang main game itu akan main game serupa di Melaka.

Seorang kawan menarik perhatian saya kepada buku ‘Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment’ oleh penulis Amerika Syarikat, Francis Fukuyama. Buku itu menurut kawan saya berhujah bahawa politik hari ini bukan lagi sekadar perebutan kekayaan tetapi perebutan untuk diiktiraf sebagai tuan.

Namun, di negara yang ada konsep ‘Ketuanan Melayu’ bukankah orang Melayu sememangnya ‘tuan’? Jadi apa yang nak dibimbangkan?

Bagi saya, yang mahu menjadi tuan ialah politikus dan mereka bergerak atas nama Melayu untuk menghalalkan taktik mereka.

Di Israel ada konsep ‘Ketuanan Yahudi’. Carian Google memberitahu bahawa politik identiti di Israel berpusat pada usaha menentukan sifat negara itu sebagai sebuah entiti bangsa dan agama Yahudi, di samping berdepan perpecahan kaum, aliran, agama, dan status minoriti Arab.

Politik Israel didominasi parti-parti Zionis yang mendaulatkan identiti Yahudi dari segi bangsa dan agama, manakala parti-parti agama bukan Zionis memainkan peranan penting dalam gabungan kerajaan serta menuntut keistimewaan dan pelaksanaan nilai-nilai agama dalam undang-undang sivil.

Bekas diplomat Israel, Shlomo Ben-Ami, menulis untuk The Strategist pada Sept 2018: “Israel chooses identity over democracy”. Penganalisis politik Palestin, Ehab Jabareen, menerusi kolum di Al Jazeera berkata, “Israel’s religious right is changing the state from within”.

Pada 16 Ogos lalu, Al Jazeera melaporkan Itamar Ben-Gvir si pemimpin berhaluan paling kanan yang memegang jawatan menteri keselamatan dalam pentadbiran Benjamin Netanyahu berkata tentera Israel perlu bunuh 30 atau 40 rakyat Palestin di Gaza setiap malam.

Semua itu untuk menunjukkan kehebatan ketuanan Israel. Netanyahu juga menggunakan serangan harian ke atas Gaza dan Tebing Barat dan perang Iran sebagai lambang kekuatan Israel menjaga rakyatnya.

Yang sering dilaungkan ialah hanya pemimpin yang kuat boleh mengangkat bangsa Yahudi dan menangkis ancaman terhadap rakyatnya. Bolehlah dijangka cakap-cakap besar dan tindakan kejam akan dipertingkatkan menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober ini.

Keadaan di Malaysia tidak seburuk itu meskipun ada politikus kita yang main taktik ketuanan, kehebatan bangsa dan mempertahankan agama untuk menang pilihan raya.

Lantas, eloklah kita elokkan keadaan untuk memastikan keburukan di Israel tidak akan terjadi di negara ini sampai bila-bila pun. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.