`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, March 24, 2013

11 soalan untuk ISMA


ISMA secara tiba-tiba mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya. Di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, hasrat ISMA itu tidak boleh dihalang sebagaimana nenek Maimun Yusuf yang dibenarkan menjadi calon bagi parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2008 dahulu.
Walaubagaimanapun, sebagai sebuah NGO yang mendakwa diri mereka sebuah jemaah Islam yang mirip Ikhwanul Muslimin di Mesir, beberapa persoalan perlu dijawab agar rakyat tidak terus terkeliru dengan beberapa kenyataan dan tindakan mereka mutakhir ini yang agak memeningkan.
44330_417751214972690_70156924_n
1. Melayu sepakat, Islam Berdaulat
Slogan yang dicadangkan oleh Timbalan Presiden ISMA Haji Aminuddin Yahaya dan dipersetujui oleh pimpinan ISMA ini secara jelas memberi jaminan bahawa Islam di Malaysia akan berdaulat jika kaum Melayu sepakat.
Persoalannya, bagaimana dengan tahun 1974 – 1978 apabila dua entiti Melayu terbesar iaitu PAS dan Umno bergabung, adakah kedudukan Islam pada waktu itu lebih baik?
Jika Islam eksklusif untuk orang Melayu, bagaimana pula dengan Cina Islam, India Islam dan kaum-kaum lain beragama Islam di Malaysia? Adakah Melayu Islam lebih mulia berbanding Muslim dari kaum lain?
2. PAS sepakat dengan Umno
ISMA konsisten mendesak agar PAS bersatu dan bersepakat dengan Umno kononnya untuk kedaulatan Islam. Malangnya, kewujudan ISMA adalah hasil kegagalan peristiwa ‘indimaj’ iaitu penggabungan tanpa penyertaan ahli antara tanzim Abu Urwah dan tanzim Ustaz Dahlan pada tahun 1995. Ini diakui sendiri oleh Ustaz Abdullah Zaik. Wajarkah satu pihak yang gagal dalam bersepakat tiba-tiba mengajar orang lain untuk bersepakat?
Telah wujud pelbagai jemaah yang memperjuangkan Islam di Malaysia. PAS, ABIM dan IKRAM. Jika benar ISMA memperjuangan kesepakatan Melayu Islam, mengapa diwujudkan lagi jemaah baru? Tidakkah lebih baik sertai dan kuatkan jemaah sedia ada?
3. Amanat Haji Hadi vs Amanat Dr Mahathir
Pada 4 Januari 2013, Presiden ISMA meminta agar Presiden PAS menarik balik ‘amanat Haji Hadi’ yang dibuat pada tahun 7 April 1981 di Banggol Peradong dengan alasan bahawa amanat itu telah menyebabkan perpecahan orang Melayu.
Persoalannya mengapa ISMA tidak mendesak Dr Mahathir supaya menarik balik kenyataan-kenyataan beliau yang memperlekehkan Hudud, menghina janggut Nabi Muhammad, menghina syariat Islam dan pelbagai lagi kenyataan yang dibuat sewaktu menjadi Perdana Menteri?
Adakah kenyataan Ustaz Hadi yang pada tahun 1981 hanya seorang AJK Pas Pusat (bukan ADUN, MP mahupun MB) lebih berpengaruh dan berbahaya berbanding kenyataan seorang Perdana Menteri yang juga presiden sebuah parti Melayu terbesar di Malaysia. Dr Mahathir memiliki akses pada segala bagai media arus perdana.
Juga mengapa perlu mengambil masa selama  32 tahun untuk mengkaji ke’sesat’an amanat tersebut?
4. Penglibatan dalam pilihanraya
Pada awal-awal penubuhan ISMA, salah satu modal yang digunakan untuk mengkritik jemaah PAS adalah kerana PAS terlibat dengan politik dan politik bagi ISMA adalah kotor.
Mengapa kini berubah? Adakan ISMA mengamalkan politik lidang bercabang?
5. Bertanding di Kapar
Sebelum ini, ISMA menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu yang ditandingi oleh calon bukan Islam samada belah BN atau PR. Salah satu yang menjadi tumpuan adalah Parlimen Kapar melibatkan calon India dari PKR (S. Manikavasagam) dan calon India dari MIC (P. Komala Dewi).
Hujah ISMA, calon Melayu mesti bertanding di kerusi majoriti Melayu. Tetapi apabila Datuk Abdul Rahman Palil (Ketua Umno Kapar) menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi parlimen Kapar, tiba-tiba ISMA melalui ketua biro politiknya membuat kenyataan terbuka memohon agar Rahman tidak meneruskan hasrat bertanding di Kapar sekaligus memberikan peluang kepada ISMA.
Mengapa begitu? Bukankan Rahman Palil adalah calon Melayu? Jika Rahman Palil bertanding, ISMA sepatutnya membatalkan hasrat. Ataupun keperluan wakil rakyat Melayu hanya alasan semata-mata?
6. Lim Kit Siang bertanding di Gelang Patah
Setiausaha Biro Politik ISMA, Ustaz Hazizi Abdul Rahman menyelar Lim Kit Siang kerana ingin bertanding di Gelang Patah, Johor dengan alasan bahawa Lim Kit Siang mempunyai agenda tertentu.
Persoalannya apa agenda tertentu yang ISMA maksudkan? Adakah agenda tertentu itu adalah untuk memenangi kerusi sekaligus membentuk kerajaan pusat? Jika itu agendanya, bukankan semua maklum agenda DAP sejak ditubuhkan adalah menang pilihanraya dan menjadi kerajaan? Mana ada parti politik atau individu bertanding tanpa agenda?
7. Larangan menjadikan  orang bukan Islam sebagai pemimpin
ISMA juga menggunakan beberapa ayat Al Quran misalnya ayat 144 surah An Nisa, ayat 23 surah At Taubah dan ayat 51 surah Al Maidah sebagai alasan bahawa tidak boleh menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin.
Persoalannya, bagaimana dengan ahli-ahli ISMA yang berkerja di tempat-tempat yang dipimpin oleh bos bukan Islam. Atau paling mudah, ahli ISMA yang bertugas sebagai doktor, ahli farmasi atau jururawat di hospital kerajaan? Bukankan pemimpin mereka iaitu Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai adalah seorang bukan Islam? Bagaimana juga dengan 11 menteri bukan Islam dalam kabinet?
8. Calon Muslim vs calon non Muslim
Di Melaka pada tahun 1994, ada seorang gadis bawah umur dirogol. Yang merogol gadis itu adalah seorang wakil rakyat Melayu beragama Islam. Manakala yang membela gadis itu adalah seorang wakil wakyat Cina beragama Buddha.
Jika kedua-dua wakil rakyat tersebut kembali bertanding dalam pilihanraya, siapakah yang akan diundi oleh ahli dan pendokong ISMA? (Dengan andaian ISMA atau mana-mana individu bebas tidak sempat menampilkan calon Melayu berwibawa kerana tempoh penamaan calon hanya sejam dan mereka tidak menjangka kedua-dua calon tersebut ditampilkan pihak PR dan BN).
9. Kuasa politik orang Melayu
ISMA menyatakan bahawa kuasa politik orang Melayu pasca PRU12 semakin merosot. Apa kriteria yang digunakan? Bukankan jumlah ahli parlimen Melayu meningkat daripada 123 orang dalam PRU11 kepada 130 orang dalam PRU12? Hanya ahli parlimen Umno yang merosot daripada 108 orang kepada 77 orang.
Bukankan jumlah MB atau Ketua Menteri Melayu juga kekal? Lim Guan Eng yang menjadi KM Pulau Pinang hanya menggantikan Koh Tsu Koon, juga bukan Melayu.
10. Perjuangan menegakkan Hudud
ISMA mengkritik PAS bahawa PAS sudah mula meminggirkan agenda Hudud. Jika begitu apa usaha ISMA dalam menegakkan Hudud? Sedarkan ISMA, bahawa Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) telah digubal dan diluluskan di DUN Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2003 di bawah pemerintahaan PAS? Mana blueprint Hudud milik ISMA?
11. Hubungan intim dengan Umno
Apa hubungan ISMA dengan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Sahlan Ismail yang diketahui orang kuat PM dalam mengatur pelan strategik mendapatkan sokongan NGO Islam? Apa yang dibincangkan dalam pertemuan di bilik mesyuarat Yayasan Tun Razak.
Benarkah ISMA tidak mendapat dana dari Umno ataupun agensi kerajaan di bawah kerajaan Umno bagi tujuan program berunsurkan politik?
-hasbiemuda

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.