`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, March 30, 2013

LIGS NAFI HARGA GETAH SABAH PALING RENDAH





KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyangkal tuduhan Chua Men Nam daripada Persatuan Pekebun Kecil Sabah bahawa harga getah di Sabah adalah yang paling rendah di Malaysia.

Pengurus Besarnya Datuk Harris Mathews berkata, harga getah di Sabah adalah lebih tinggi daripada di Semenanjung, walaupun diambil kira jarak logistik sejauh 1,300 kilometer dari Kota Kinabalu ke Pelabuhan Klang atau Singapura dimana getah harus diangkut untuk dieksport.
“Sebagai perbandingan, harga getah di Sabah dan Semenanjung pada 25 Mac ialah lateks RM7.80 sekilogram untuk Sabah dan RM7.50 (Semenanjung), cuplumps rendah RM3.60 sekilogram bagi Sabah dan RM3.10 (Semenanjung), cuplumps tinggi RM4.03 (Sabah) dan RM3.90 (Semenanjung).

“Harga terendah di Sabah untuk cuplumps adalah 50 sen sekilogram, iaitu lebih tinggi daripada di Semenanjung, manakala harga tertinggi adalah 13 sen sekilogram lebih tinggi berbanding yang ditawarkan di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Harris berkata, LIGS sentiasa membayar harga berpatutan untuk getah yang dibeli daripada para pekebun kecil tertakluk kepada keadaan dan mutu getah.

“Tidak dapat dinafikan bahawa kos di Sabah adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung disebabkan kos tambahan perkapalan serta kekurangan kemudahan infrastruktur.

“Oleh itu Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan untuk membantu para pekebun kecil getah serta mengurangkan perbezaan harga getah diantara Semenanjung dan Sabah telah memulakan Skim Insentif Pengeluaran Getah sebanyak RM30 juta sejak Ogos 2012,” katanya.

Beliau berkata, skim itu bertujuan meyamakan harga getah di Sabah dengan di Semenanjung.

Katanya, sejak tahun 2011, LIGS menggalakkan para pekebun kecil untuk menghasilkan getah kentalan dan bukan getah kepingan untuk mengatasi masalah variasi dalam kandungan getah kering.

“Pada masa ini, 60 peratus getah mentah yang dikeluarkan oleh pekebun kecil adalah dalam bentuk cumplumps dan sasaran LIGS adalah untuk mencapai 90 peratus pengeluaran dalam bentuk cuplumps,” katanya.

Mengenai ses getah mentah yang dibangkitkan oleh Chua, LIGS menjelaskan bahawa ses getah mentah adalah satu ses pencegah dan tidak ada pengaruh terhadap harga getah yang ditawarkan oleh LIGS.

Katanya, tujuan ses itu adalah untuk memastikan semua getah yang dikeluarkan di Sabah diproses dalam negeri ini dan untuk menampung keperluan tiga kilang getah tempatan yang memberikan pekerjaan kepada hampir 300 penduduk tempatan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak melarang getah mentah dibawa keluar dari Sabah jika ses getah mentah dibayar.

“Ini adalah kerana para pekebun kecil getah telah diberikan bantuan oleh kerajaan sebanyak RM14,000 se hektar untuk membersihkan, menanam dan menyelenggara kebun mereka selama lima tahun termasuk pembekalan baja, kimia dan pembinaan jalan-jalan pertanian.

“LIGS pula menguruskan kawasan yang telah ditanam sehingga pokok-pokok getah sudah matang untuk ditoreh,” katanya.

Di samping itu katanya, LIGS juga memberikan latihan dan membekalkan peralatan menoreh seperti mangkuk, pancuran, dawai pengikat, pisau menoreh serta penyelenggaraan jalan sebagai tanggung jawab sosial korporat.

“Penyebaran tuduhan palsu oleh Chua Men Nam yang berniat jahat adalah untuk menghasut para pekebun kecil menentang Kerajaan Negeri dan LIGS untuk tujuan persendirian,” kata Harris.

Beliau berkata, usaha sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini tidak pernah berjumpa dengan pengurusan baru LIGS sekalipun untuk membincangkan atau mendapatkan keterangan berkenaan isu-isu pekebun kecil.

Sebenarnya, hanya Persatuan Pekebun Kecil Bumiputra Sabah yang dipimpin oleh Modily Bangali yang telah mengadakan perjumpaan dengan LIGS dan isu-isu yang dibangkitkan telah diterangkan dan dijelaskan kepada mereka.

“Jika Chu jujur dan benar-benar mahu menjaga kepentingan ahlinya, dia sepatutnya datang berjumpa dengan pengurusan LIGS dan bukan sebaliknya membuat kenyataan palsu untuk merosakan industri getah negeri. LIGS menegaskan sekali lagi kepentingan para pekebun kecil getah adalah tumpuan utamanya. LIGS akan sentiasa memastikan kebajikan serta kepentingan pekebun kecil getah dijaga,” katanya.

Harris berkata, objektif LIGS adalah untuk menjadikan para pekebun kecil getah di Sabah sebagai golongan pendapatan tinggi dalam ekonomi luar bandar.

“Pada tahun 2012, pendapatan purata bagi peneroka di Tenom adalah sebanyak RM1,797 sebulan, di Kanibongan, pitas purata pendapatan adalah sebanyak RM1,150 sebulan manakala di Keningau purta pendapatan adalah sebanyak RM3,770 sebulan.

“Kerajaan negeri melalui LIGS berjaya menghapuskan kemiskinan diantara para peneroka dan mengurangkan kadar kemiskinan secara signifikan dikalangan para pekebun kecil,” katanya.(ST)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.