`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, March 14, 2013

Isu Lahad Datu: Apabila Umno biasa berbohong



Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN

SEHINGGA kini Umno dan Najib Razak menghadapi masalah bagi meyakinkan rakyat bahawa tragedi Lahad Datu bukan hasil teori konspirasi. Mengapa berlaku sebegitu?

Jawapannya rekod Najib dan Umno sendiri. Umno dan Najib sudah terlalu biasa menipu rakyat hinggakan kini mereka menghadapi krisis keyakinan bagi meyakinkan rakyat dalam apa sahaja isu.

Najib dan Umno hanya layak menyalahkan diri sendiri jika rakyat yakin isu Lahad Datu adalah hasil teori konspirasi.

Dilema Umno meyakinkan rakyat ini mengingatkan saya kepada cerita di zaman kanak-kanak dulu. Kisah bagaimana budak gembala kambing yang sering menipu orang kampung kononnya kambingnya dimakan serigala.

Orang kampung yang terpedaya dengan pembohongan budak tersebut dengan jujur cuba memberi bantuan kepada budak tersebut.

Apa yang orang kampung dapat? Budak penipu itu mentertawakan orang kampung kerana mudah ditipu.

Akhirnya apabila serigala benar-benar datang memakan kambing, jeritan budak penipu itu tidak lagi berguna. Orang kampung sudah tidak percaya lagi pada si penipu. Sudah 12 pilihan raya Umno tipu rakyat, maka rekod buruk mereka kini nampaknya memakan tuan.

Teori konspirasi bukan fenomena baru dalam dunia politik. Tragedi 11 September yang menyaksikan serangan ke atas Menara Berkembar, World Trade Centre (WTC) dan Pentagon sehingga kini tidak diterima sepenuhnya sebagai tragedi sebenar.

Tidak sedikit rakyat Amerika dan penduduk dunia ini yang percaya tragedi 9/11 adalah hasil teori konspirasi jahat George W Bush, Dick Cheney dan Donald Rumsfeld. Tidak sedikit tulisan, buku, rencana, dokumentari dan filem dihasilkan bagi menyokong teori konspirasi tersebut.

Malahan wujud satu organisasi yang dinamakan 9/11 Truth Movement yang berjuang untuk membawa mesej bahawa 9/11 adalah hasil teori konspirasi. Ada juga yang menyatakan kemusnahan menara kembar dan WTC adalah daripada apa yang dipanggil "Controlled Demolition" (keruntuhan secara terkawal).

Dr Mahathir Mohamad sendiri antara tokoh politik yang percaya 9/11 adalah satu drama yang dihasilkan bagi menyerang Islam.

Wujud juga satu kumpulan pakar tentera yang dikenali sebagai "army specialist April gallop" yang menyaman pentadbiran Bush dalam isu 9/11 atas alasan kejadian tersebut hasil daripada teori konspirasi yang dirancang  rejim Bush.

Isunya di sini, teori konspirasi bukan benda baru. Ia boleh dan telah berlaku dalam politik. Politik sekular yang bergurukan Machevelli dengan prinsip "matlamat menghalalkan cara" yang tidak menjadikan dosa dan pahala sebagai asas berpolitik memberi laluan mudah untuk teori konspirasi berkembang.

Apa sahaja teori konspirasi sudah tentu beralaskan motif. Apa motif tragedi 9/11? Penyokong teori konspirasi menyatakan motifnya adalah penaklukan Iraq dan Afghanistan serta perkiraaan kepentingan geostrategik di Timur Tengah seperti rancangan "pipeline" yang dilancarkan Unocal dan syarikat minyak yang lain.

Adakah tragedi Lahad Datu adalah hasil teori konspirasi masih belum diketahui.

Dengan ketiadaan Kertas Putih dan sidang Parlimen khas membincang isu ini dengan telus, Najib perlu faham ia menyuburkan anggapan bahawa ada suatu yang tidak kena dalam isu ini.

Adakah ia teori konspirasi? Wallahu 'alam.

Bagaimanapun saya berpendapat Najib menghadapi masalah besar meyakinkan rakyat ia bukan teori konspirasi.

Masa kejadian yang sangat hampir dengan tarikh pilihan raya umum -pilihan raya yang paling mencabar buat beliau - tidak membantu Najib dan Umno bagi menolak teori konspirasi.

Ini ditambah dengan Najib sendiri menghadapai pelbagai isu yang dilihat mengikat beliau seperti isu pendedahan Deepak dan Bala tentang Altantuya, isu pendedahan Umno terlibat memberi kad pengenalan secara mudah dan tidak sah kepada bukan warganegara dan yang terbaru pula pendedahan berani bapa Saiful bahawa Anwar menjadi mangsa teori konspirasi.

Semua isu ini meyakinkan rakyat Najib amat perlu satu 'grand design' yang besar dan paling licik untuk menarik balik keyakinan rakyat.

Apa yang lebih malang semakin isu ini berlarutan semakin banyak rakyat melihat kenyataan yang berubah-ubah dan bercelaru daripada mulut pemimpin Umno.

Kerajaan Najib dilihat secara konsisten tidak konsisten. Kita tidak tahu adakah mereka yang datang ke negara kita adalah penceroboh atau pengganas atau apa? Jika pengganas mengapa di awal isu ini kerajaan bersedia berunding dengan pengganas dan dikhabarkan diberi makan dan minum ketika berunding?

Sejak bila sebuah kerajaan berunding dengan pengganas yang datang menceroboh negara dengan membawa senjata?

Jika seorang senator Australia yang datang secara sah tiada rundingan dibuat dan terus dihalau balik, mesti ada sesuatu yang istimewa kepada pengganas yang datang dari Sulu dengan membawa senjata dan berkubu di Felda Sahabat 17, Lahad Datu hingga mereka dibawa berunding!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.