`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 18, 2013

Siapa pendatang?


Beberapa individu berkongsi pandangan mengenai label yang masih digunakan pada kaum Cina dan India di negara ini.
COMMENT
Salah satu istilah yang agak sensitif dalam kalangan penduduk negara Malaysia adalah “pendatang”. Sekadar contoh mudah, bayangkan jika Ibrahim Ali, Ridhuan Tee Abdullah atau Tun Mahathir Muhammad dipanggil sebagai “pendatang” oleh sesiapa sahaja.
Saya memetik nama-nama di atas sekadar sebagai contoh secara rambang bagi mewakili golongan etnosentrik (Ibrahim), menganggap dirinya Melayu (Ridhuan Tee), dikatakan sebenarnya kaum India (Mahathir) dan bersikap ultra kiasu (sekali lagi, Ridhuan Tee).
Pada masa sama, kaum India dan Cina sejak dahulu masih menjadi mangsa label “pendatang” walaupun menjadi warganegara sah; serta sesungguhnya lahir di negara ini serta tidak pernah ada sebarang kewarganegaraan lain.
Pada 13 Mac 2013, saya cuba mendapatkan reaksi dan komen rakan-rakan menerusi Facebook tentang situasi di mana warganegara Malaysia daripada kaum India dan Cina masih digelar “pendatang”. Selepas lebih 55 tahun negara merdeka, wajarkah label seperti itu digunakan?
Seperti yang dapat dijangkakan, tidak ramai yang tampil berkongsi pandangan memandangkan ini topik yang dianggap (ulang: dianggap) sensitif dan mungkin mengguriskan hati. Bukan mengguris hati “mangsa” iaitu kaum Cina dan India yang masih dilabel sebagai “pendatang”, tetapi hati “pemangsa” iaitu puak etnosentrik, ultra kiasu dan politikus tertentu yang suka menindas, menghina dan mempersenda kaum India dan Cina dengan gelaran “pendatang”.
Dari segi istilah, Kamus Inggeris-Melayu Dewan memberikan makna “immigrant” sebagai “pendatang, imigran”. Kamus Pelajar Bahasa Malaysia mendefinisikan “pendatang” sebagai “orang yang mendatang (tidak asli)”. Sementara Kamus Dewan Edisi Empat menghuraikan “pendatang” sebagai “orang mendatang, orang asing yang datang ke, atau memasuki sesebuah negeri lain”.
Dalam membincangkan topik sensitif ini, Rita Robert Rawantas yang menggunakan nama “Pena Alam” di Facebook berpendapat bahawa penggunaan label “pendatang” terhadap warganegara kaum Cina dan India di Malaysia “memang tidak berakal, berniat jahat dan akan menimbulkan salah faham antara kaum”.
“Percayalah, di Sabah, makna ‘pendatang’ itu maklum bagi seluruh rakyatnya juga kesan sosial, ekonomi dan budaya akibat kedatangan mereka ke muka bumi Sabah,” kata penulis sambilan berumur 35 tahun dari Sabah itu.
Bercakap mengenai topik yang sama, Kamalakannan Veerapathran dari Kelana Jaya, Selangor melahirkan rasa simpati terhadap mana-mana puak yang masih melabelkan orang Cina dan India sebagai “pendatang”.
“Saya bersimpati kerana pemikiran mereka dikaburkan oleh sistem pendidikan yang masih bermain (memanipulasi) dengan fakta. Berapa ramai orang Melayu cuba mendapatkan fakta asal-usul mereka? Berapa ramai orang Melayu cuba mendapatkan jawapan mengapa Orang Asli/Asal dipanggil dengan nama itu?” soal pemuda berumur 34 tahun itu yang lahir di Klang.
Kamalakannan yang bekerja sebagai penolong pengurus berpendapat bahawa sekiranya fakta-fakta sebenar tidak disorok, maka penggunaan label “pendatang” bagi orang Cina dan India tidak akan wujud. Keharmonian antara kaum pula pasti lebih erat dan baik berbanding situasi sekarang.
Seorang pegawai farmasi, Gunalan Jeyaraman turut tampil memberikan pandangan terhadap topik yang saya kemukakan menerusi Facebook. Baginya, label “pendatang” yang digunakan sewenang-wenangnya itu seolah-olah merendahkan taraf kewarganegaraan kaum Cina dan India menjadi penduduk kelas kedua.
Wajar meletakkan sesuatu pada tempatnya
“Saya berpendapat kaum Cina dan India masih tidak menikmati kemerdekaan sepenuhnya selagi wujud prasangka dan label ‘pendatang’. Situasi ini mungkin berpunca daripada pemerintah (kerajaan) yang membuat dasar-dasar berbentuk ‘pecah dan perintah’ dalam hampir semua bidang,” kata pemuda berusia 30-an yang berasal dari Parit Buntar, Perak.
Pemuda itu yang kini tinggal di Klang berpendapat bahawa dasar “pecah dan perintah” mengakibatkan ketidaksamaan dan diskriminasi antara kaum. Maknanya, ada kelompok rakyat yang dipinggirkan, diabaikan dan dianak tirikan secara langsung dan tidak langsung.
Nurfarah Hanani Amir Hamzah dari Kampung Puah, Setapak turut memberanikan diri berkongsi pandangan dan komen berhubung topik label “pendatang” yang masih digunakan terhadap warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina dan India.
“Sebagai generasi keempat ‘pendatang’ Indonesia di Malaysia, saya berfikir adalah tidak adil untuk saya mendapat hak Bumiputera sedangkan sebilangan besar kaum India dan Cina yang sudah beratus-ratus tahun tinggal di Malaysia masih dianggap sebagai pendatang,” kata pegawai dietetik itu yang lahir di Petaling Jaya.
Nurfarah Hahani yang menggunakan nama Farahanani Amhazali di Facebook turut meneliti isu ini dari sudut agama.
“Makna ‘adil’ yang saya faham dalam konteks Islam adalah ‘kewajaran meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Adil bukannya bermaksud mengikut garis panduan undang-undang rekaan manusia. Jika terdapat kesilapan atau kekurangan pada undang-undang yang dijadikan panduan, kita harus selalu mengkaji kewajaran undang-undang itu sendiri,” kata wanita berumur 20-an itu.
Pegawai dietetik tersebut mengaku bahawa beliau berasa ralat kerana “kesetiaan kaum India dan Cina sering dipertikaikan apabila saya menghadiri kursus-kursus kenegaraan anjuran universiti semasa saya belajar dahulu.”
“Saya rasa hairan kerana hak/kedudukan istimewa orang Melayu/Bumiputera didasari garis panduan yang tidak jelas. Misalnya, apakah orang Sulu yang lahir di Malaysia lebih Bumiputera berbanding kaum India dan Cina yang juga lahir di tanah ini?
“Saya bukan seorang peguam. Pemahaman saya mengenai undang-undang mungkin cetek tapi soal kemanusiaan dan keadilan sebagaimana ditekankan dalam Islam paling saya utamakan. Sentimen ‘bangsa Melayu’ sering dicanangkan seolah-olah Malaysia akan musnah jika kaum-kaum lain turut mendapat peluang menguasai ekonomi, perundangan dan sebagainya,” kata Nurfarah Hahani dalam mesej yang dihantarnya kepada saya untuk berkongsi pandangan bagi makalah ini.
Wanita itu juga dengan berani menyebut mengenai apa yang dilihatnya sebagai hipokrasi atau kepura-puraan pihak tertentu.
“Di suatu medium, mereka menganjurkan persahabatan dan perpaduan kaum. Akan tetapi, pada program yang lain, pihak yang sama itulah menghasut dan mewujudkan prasangka antara kaum.
“Sebagai orang Melayu dan Islam, saya percaya setiap rakyat wajar diberi hak/keistimewaan yang sama sebagai warganegara. Usah kita lupa bahawa kesetiaan pada negara bukan terletak pada kaum, agama dan warna kulit semata-mata,” tegasnya.
Saya percaya, yakin dan sangat berharap bahawa pandangan ikhlas yang dikongsi ini mampu memberikan kita keyakinan bahawa masih ada harapan bagi negara Malaysia dalam soal mewujudkan “Bangsa Malaysia” di mana tiada mana-mana kelompok atau kumpulan minoriti ditindas, dizalimi atau diabaikan.
Jika masih ada puak etnosentrik, ultra kiasu, politikus dan sebagainya yang terus-menerus menggunakan label “pendatang” bagi merujuk kepada warganegara Malaysia daripada kalangan kaum Cina dan India, kita gunakan segala kuasa dan kudrat yang ada untuk menghalau mereka dari negara ini. Biarlah mereka menjadi “pendatang” pada erti kata sebenar di mana-mana negara lain!
Uthaya Sankar SB tidak ada walau setitik rasa hormat pada puak etnosentrik, ultra kiasu dan politikus yang melakukan penindasan dan kezaliman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.