`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, June 9, 2013

Suami Megawati Sukarnoputri meninggal dunia

Suami Megawati Sukarnoputri meninggal dunia
JAKARTA: Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia, Encik Taufik Kiemas, meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH) semalam.
Allahyarham Taufik, 70 tahun, merupakan suami mantan presiden Indonesia yang juga pemimpin Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Cik Megawati Sukarnoputri.
Salah seorang kakitangan Encik Taufik memberitahu laman berita Kompas.com bahawa Allahyarham meninggal dunia pada pukul 7.01 malam waktu Singapura atau jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat.
Dalam catatan akaun Twitternya, Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Indonesia yang juga tokoh kanan PDI-P, Encik Pramono Anung, menulis bahawa Allahyarham telah meninggal dunia dan diminta mengampuni kesalahan serta mendoakan beliau.
Awal semalam, laman akhbar Jakarta Globe melaporkan terdapat khabar angin yang mengatakan Encik Taufik meninggal dunia tetapi berita itu dinafikan Setiausaha Agung PDI-P, Encik Tjahjo Kumolo.
Menurut Encik Tjahjo, ketika itu Encik Taufik sedang dirawat di SGH kerana kepenatan setelah melakukan lawatan kerja ke Ende, Nusa Tenggara Timur, pada 1 Jun lalu.
Beliau ke sana kerana menemani Naib Presiden Boediono merasmikan Monumen Bung Karno dan tapak Rumah Pengasingan Bung Karno.
Allahyarham dilahirkan di Jakarta pada 31 Disember 1942 dan meninggalkan seorang balu dan tiga anak - Encik Mohammad Rizki Pratama; Encik Mohamad Prananda Prabowo dan Cik Puan Maharani Nakshatra Kusyala, lapor laman berita Kompas.com.
Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono dan isterinya, Wanita Pertama, Cik Ani Yudhoyono, telah menyampaikan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.
Menurut laporan laman berita Republika Online, Dr Yudhoyono dan isteri juga turut menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham.
Sementara itu, laman Kompas.com melaporkan Encik Tjahjo sebagai berkata bahawa jenazah Allahyarham akan diterbangkan pulang ke Indonesia jam 9 pagi hari ini (waktu Singapura) dan disemadikan di samping kubur orang tuanya di Taman Makam Pahlawan Kalibata.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.