`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, August 10, 2013

Tentang Guru agama Sikh (Bhgn 1)

Selaras dengan tuntutan subjek TITAS, makalah ini bertujuan berkongsi maklumat asas demi manfaat bersama.
COMMENT
Dalam makalah bertajuk “Allah dalam teks Hindu dan Sikh” (Free Malaysia Today, 22 Julai 2013), saya turut menyentuh mengenai Sri Guru Granth Sahib iaitu kitab suci agama Sikh. Makalah “Kisah Puasa” (Projek Dialog, 15 Julai 2013) pula menjelaskan larangan berpuasa dalam agama Sikh.
Maklumat asas yang dikemukakan itu ternyata mendapat sambutan positif daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Tindakan saya menulis makalah Bahasa Malaysia mengenai budaya “Bukan Melayu” dan agama “Bukan Islam” tidak bertujuan menyesatkan sesiapa. Sebaliknya amat sesuai dan selaras pula dengan mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) yang akan dijadikan mata pelajaran wajib di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai September 2013.
Seperti diketahui umum, TITAS “bukan bertujuan mengislamkan pelajar tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini” (Utusan Malaysia, 19 Julai 2013).
Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Zainal Kling turut mengakui bahawa objektif TITAS adalah “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” memandangkan “disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda ‘kosong’ tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013).
Akhbar sama memetik felo penyelidik utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan subjek TITAS sebagai “cara formal mendidik persamaan dan perbezaan antara rakyat Malaysia kerana secara tidak formal langsung tiada usaha ke arah itu”
Sebagaimana ditekankan oleh Kok Seong, matlamat akhir TITAS adalah “memupuk persefahaman, perpaduan lebih erat dan membentuk jati diri kebangsaan yang setara untuk semua”.
Maka, sebagai sumbangan kecil ke arah memupuk persefahaman antara agama dan budaya – serta untuk saya sendiri menambah ilmu – saya mengulangi membaca maklumat mengenai Sri Guru Granth Sahib dan sepuluh Guru yang terlibat dalam proses penulisan dan penyelenggaraan kitab suci itu.
Harus dinyatakan bahawa konsep “Guru” dalam agama Sikh tidak sama dengan penggunaan dalam Bahasa Malaysia, Tamil dan Sanskrit. Aspek paling penting tentang “Guru” dalam agama Sikh adalah bahawa beliau seorang insan yang sempurna dan bebas daripada segala dosa di sisi Tuhan. Guru tidak tunduk kepada mana-mana manusia, termasuk pemerintah dan raja-raja.
Selain daripada pembacaan dan pergaulan bersama-sama rakan-rakan dan saudara-mara beragama Sikh sejak usia kanak-kanak, kunjungan ke gurdwara (“kuil Sikh”; bermakna “pintu menuju Tuhan”) untuk menimba ilmu juga membantu pemahaman saya terhadap topik ini.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) terlibat secara langsung dalam mengendalikan “Konvoi ke Rumah Ibadat” – masjid, kuil, tokong, wat, gereja dan gurdwara – pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011 di Kuala Lumpur serta pada 17 Februari 2013 di Seremban. Kunjungan itu juga amat membantu meningkatkan pemahaman saya.
Dari segi istilah, Guru terdiri daripada dua suku kata yang berasal daripada istilah Sanskrit; iaitu “gu” (kegelapan) dan “ru” (cahaya) yang membawa makna “menghapuskan kegelapan (kejahilan) dan menggantikannya dengan cahaya (ilmu)”.
Ajaran asas, universal demi kemanusiaan
Terdapat sepuluh Guru dalam agama Sikh. Fakta ini tidak bermakna bahawa agama Sikh diasaskan oleh sepuluh orang; sebaliknya kesemua mereka dianggap sebagai “roh yang sama dalam sepuluh tubuh”.
Akhirnya, “roh” itu diabadikan dalam Sri Guru Granth Sahib yang boleh dianggap sebagai Guru kesebelas dan terakhir.
Guru Nanak Dev (20 Oktober 1469 – 22 September 1539) lahir dalam keluarga penganut Hindu di Talwandi, iaitu suatu wilayah di Punjab yang kini terletak di negara Pakistan. Diceritakan bahawa pada suatu hari, pada usia 30 tahun, semasa sedang mandi di sungai, Guru Nanak tiba-tiba hilang dan dipercayai lemas akibat dihanyutkan air.
Bagaimanapun, tiga hari kemudian, beliau muncul di tempat sama sambil melafazkan “bani” (gita puja; hymn). Terdapat 947 bani tulisan Guru Nanak yang terkandung dalam Sri Guru Granth Sahib; termasuk “Japji Sahib” yang merupakan bahagian permulaan dalam kitab suci berkenaan.
Selain daripada India (termasuk Pakistan dan Bangladesh pada waktu itu), Guru Nanak turut merantau ke Sri Lanka, Iran, Iraq, Mekah, Tibet, Afghanistan dan beberapa negara lain untuk menyebarkan ajaran agama Sikh.
Antara ajaran asas dan bersifat universal yang disampaikan oleh Guru Nanak adalah supaya bekerja keras (Kirat Karo), percaya kepada Tuhan (Nam Japo), berkongsi rezeki (Vand ke Shako), kesama rataan dalam kalangan manusia (Jaat Paat di Manahi) dan berkhidmat dengan penuh rendah diri (Seva).
Guru Nanak hidup pada zaman pemerintahan Empayar Mughal di bawah Bahalol Lodhi (1451-1489), Sikandar Lodhi (1489-1517), Ibrahim Lodhi (1517-1526), Babar (1526-1530) dan Humayun (1530-1540).
Maklumat ini pasti berguna untuk melengkapkan fakta sejarah apabila pelajar IPTS dan IPTA belajar mata pelajaran TITAS.
Sebelum kemangkatan Guru Nanak, beliau melantik pengikutnya, Lahina @ Guru Angad (31 Mac 1504 – 29 Mac 1552) sebagai penerus legasi. Guru kedua ini yang lahir di Ferozepur, Punjab menyumbangkan 63 gita puja dalam Sri Guru Granth Sahib.
Guru Angad menyeru para pengikut supaya berkhidmat kepada masyarakat tanpa mementingkan diri sendiri, berserah sepenuhnya pada ketetapan (takdir) Tuhan, serta mengelakkan kepura-puraan dan sikap menunjuk-nunjuk.
Sumbangan paling utama Guru ini yang hidup semasa pemerintahan Hamayun, Sher Shah Suri (1542-15450 dan Islam Shah (1545-1533) adalah memantapkan tulisan Gurmukhi. Sistem tulisan ini ada persamaan dengan sistem tulisan lain di India pada masa itu tetapi 35 huruf khas digunakan dalam Bahasa Punjabi.
Dari segi istilah, “Gurmukhi” membawa makna “dari mulut Guru” atau “seperti dilafazkan oleh Guru”. Walau bagaimanapun, Gurmukhi turut digunakan oleh penganut agama Hindu dan Islam di Punjab yang bertutur Bahasa Punjabi. Tulisan Gurmukhi penting bagi penganut agama Sikh supaya mampu membaca Sri Guru Granth Sahib dalam versi asal.
Guru Angad melantik Guru Amar Das (5 Mei 1479 – 1 September 1574) sebagai pengganti sebelum kemangkatannya. Semasa diangkat menjadi Guru ketiga pada tahun 1552, umur beliau adalah 73 tahun.
Sisi lain Empayar Mughal di India
Guru Amar Das yang lahir di Amritsar telah menggerakkan usaha menghapuskan “sati” iaitu amalan di mana si balu akan membunuh diri (atas pilihan sendiri atau kerana dipaksa) dengan melompat ke dalam api yang sedang membakar jenazah suaminya.
Selain daripada itu, beliau juga menghapuskan syarat pemakaian purdah oleh wanita, serta menggalakkan golongan balu berkahwin dan memulakan hidup baru.
Guru Amar Das menulis 869 gita puja yang kini terkandung dalam Sri Guru Granth Sahib. Atas permintaan dan lobi yang beliau lakukan, Akhbar (1556-1605) bersetuju menghapuskan cukai yang dikenakan terhadap penduduk Bukan Islam.
Guru ketiga itu juga memantapkan “langar” yang menjadi satu lagi keunikan masyarakat Sikh sehingga kini. Ia merujuk kepada dapur umum yang menyediakan dan menghidangkan pelbagai juadah nabati (vegetarian) kepada semua orang tanpa mengira kaum, agama dan status dalam masyarakat.
Sebelum Guru Amar Das mangkat, beliau melantik menantunya, Jetha @ Guru Ram Das (24 September 1534 – 1 September 1581) sebagai penerus legasi. Beliau yang lahir di Lahore (kini di Pakistan) menyumbangkan 638 gita puja dalam Sri Guru Granth Sahib. Tulisannya yang terkandung dalam “Rag Suhi” menjadi “bahi” penting dalam “anand karaj” iaitu upacara perkahwinan Sikh sehingga sekarang.
Guru Ram Das antara lain menyeru para umat supaya menjadi penganut Sikh yang sebenar dan sejati, serta menghargai sumbangan para Guru. Beliau jugalah yang mengasaskan bandar Amristar yang menjadi simbol penting dalam kalangan penganut agama Sikh sehingga kini.
Beliau melantik anak bongsunya, Guru Arjan Dev (15 April – 30 Mei 1606) sebagai pengganti. Guru kelima ini mula memikul tugas pada usia 18 tahun dan berjaya menyumbangkan 2,312 gita puja yang termuat dalam Sri Guru Granth Sahib.
Pada tahun 1604, beliau menyelenggarakan kitab Sri Guru Granth Sahib yang pada waktu itu dinamakan Adi Granth (bermakna “Edisi Pertama”). Guru Arjan juga menyeru penganut agama Sikh supaya menyumbangkan satu per sepuluh (1/10) daripada pendapatan kepada gurdwara. Sumbangan “daswand” ini menjadi sumber penting bagi gurdwara di seluruh dunia sekarang.
Pada tahun 1588, pembinaan Harimandir Sahib (“Kuil Emas”) di Amritsar selesai dan terus menjadi rumah ibadat paling suci dalam agama Sikh. Peristiwa berdarah dan pembunuhan beramai-ramai penganut agama Sikh juga pernah berlaku di Kuil Emas tetapi tidak perlulah dihuraikan di sini.
Selain Akhbar, Guru Arjan juga hidup semasa pemerintahan seorang lagi raja Mughal iaitu Jahangir (1605-1626). Pemerintah itulah yang mendera dan membunuh Guru Arjan di Lahore kerana beliau enggan mengubah kandungan dalam Sri Guru Granth Sahib. Sebelum mangkat, anaknya, Guru Hargobind sempat dipilih sebagai pengganti. – Bersambung pada 12 Ogos 2013
Uthaya Sankar SB suka menimba ilmu mengenai keunikan budaya pelbagai kaum dan agama melalui pembacaan dan dialog.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.