`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 21, 2013

Isu jet Rosmah: Muhyiddin sedang diperangkap? - Shahbudin Husin


Dalam perkembangan yang semakin membingungkan orang ramai berhubung isu penggunaan jet eksekutif yang membawa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan ke Qatar baru-baru ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mendedahkan bahawa lawatan ke Qatar itu adalah atas jemputan peribadi dan bukannya urusan rasmi yang melibatkan kerajaan.
Pendedahan ini, jika benar, secara automatik menolak hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini yang mengatakan lawatan Rosmah ke Qatar itu adalah atas jemputan kerajaan negara Arab itu dan membawa banyak faedah kepada negara.
Sehubungan itu, Shahidan meminta rakyat berterima kasih atas susah payah dan sumbangan isteri Perdana Menteri itu.
Dalam masa yang sama, Azalina yang merupakan bekas Menteri Pelancongan dan dilantik sebagai Pengerusi CCM Berhad baru-baru ini, dipercayai atas pengorbanannya menarik diri daripada bertanding menentang Shahrizat Jalil bagi jawatan Ketua Wanita Umno turut mendedahkan pemergian Rosmah dengan menggunakan jet eksekutif itu diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet.
Dalam Parlimen sebelum ini, Shahidan hanya menjelaskan pemergian Rosmah dengan menggunakan jet eksekutif dan perbelanjaan kerajaan diluluskan oleh Kabinet, tetapi beliau mengelak untuk menjelaskan sama ada Najib yang mempengerusikan mesyuarat ketika itu ataupun Najib keluar daripada bilik mesyuarat ketika perkara mengenai mengenai lawatan isterinya itu dibincangkan.
Sekali lagi, jika benar Muhyiddin yang memberi kelulusan ini, ternampak bahawa beliau cuai dan tidak berhati-hati dalam memberi kelulusan kerana adalah jelas suatu kesalahan meluluskan pemergian atas urusan peribadi tetapi menggunakan perbelanjaan kerajaan.
Agak kurang jelas bagaimana Azalina yang bukan anggota Kabinet, boleh mengetahui bahawa kelulusan itu diberikan oleh Muhyiddin dan bukannya Najib. Mungkin beliau mengetahuinya kerana ada menteri yang memberitahuinya, atau mungkin juga Rosmah sendiri yang memberitahunya ketika mereka sama-sama berada di awan biru dalam jet eksekutif ketika penerbangan ke Qatar itu.
Bagaimanapun, perkembangan ini nampaknya bakal menjerat Muhyiddin. Apakah tujuan Azalina mendedahkan perkara ini kalau bukan untuk meletakkan semua kesalahan ke atas bahu Muhyiddin pula?
Sejak beberapa hari lalu, semua kecaman mengenai isu jet ini lebih tertumpu kepada Rosmah semata-mata. Selain kewajaran dan kelayakan beliau menggunakan jet eksekutif itu yang dipertikaikan, tindakan beliau mewakili kerajaan dalam kawatan ke luar negara sebagaimana yang dimaklumkan oleh Shahidan juga turut menjadi pertikaian.
Ramai yang mempersoalkan bagaimana isteri seorang Perdana Menteri boleh mewakili kerajaan sedangkan tanggungjawab mewakili kerajaan sepatutnya hanya terhad kepada anggota Kabinet dan pegawai kerajaan sahaja.
Nampaknya, dalam isu jet eksekutif ini, semakin lama diperdebatkan, semakin banyak kepincangan yang terdedah. Rosmah yang sedap-sedap dan enjoy terbang dengannya, orang lain pula sedang cuba dikambinghitamkan untuk diletakkan beban kesalahan.
Apakah isu jet itu bakal memasuki episod baru berkaitan politik dan perebutan kuasa di peringkat tertinggi Umno pula? Azalina nampaknya sudah menebas lalang untuk membuka laluan ke arah itu.
Apa yang berlaku selanjutnya banyak bergantung kepada sama ada Najib atau Muhyiddin sedia berterus-terang mengenai perkara ini. Jika Najib yang meluluskannya, beliau harus berterus-terang dan memberikan hujahnya. Begitu juga jika Muhyiddin yang meluluskannya, beliau juga hendaklah tidak cuba menyembunyikan apa-apa, termasuk sama ada beliau mengetahui lawatan Rosmah itu hanya atas jemputan peribadi.
Selain Najib dan Muhyiddin yang belum bersuara dan menjelaskan perkara sebenar kontroversi ini, menteri Kabinet lain juga nampaknya mengambil sikap berdiam diri. Selain Shahidan, belum kedengaran lagi menteri lain yang bersuara sedangkan mereka inilah yang lebih mengetahui butir perbincangan dalam mesyuarat.
Dalam mempertahankan pemergian Rosmah itu pula, yang mempertahankannya setakat ini hanya bekas menteri saja iaitu Jamaluddin Jarjis, Noh Omar dan Azalina. Ketiga-tiga mereka ini pula, walaupun tidak dilantik sebagai menteri tetapi diberikan habuan lain seperti Azalina sebagai Pengerusi CCM Berhad, Noh Omar sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Selangor dan Jamaluddin sebagai duta khas ke Amerika Syarikat dengan gaji bulanan sebanyak RM27 ribu.
Sebagaimana kapal terbang digunakan untuk memusnahkan Bangunan World Trade Centre di New York dan kemudian membuka jalan untuk Amerika Syarikat menyerang beberapa negara Arab, jet eksekutif yang dinaiki Rosmah yang kini sedang menjadi isu juga sebenarnya sedang mencari mangsanya yang tertentu.
Mungkin Muhyiddin yang sedang disasarkan tetapi mungkin juga Najib yang terkorban akhirnya. – shahbudindotcom.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.